JACKIE gembira dapat tamatkan penantian 16 tahun pingat emas baling tukul besi. -Foto YAZIT RAZALI
JACKIE gembira dapat tamatkan penantian 16 tahun pingat emas baling tukul besi. -Foto YAZIT RAZALI
Aida Adilah Mat dan Firdaus Hashim


SELEPAS tiga kali meraih gangsa pada tiga temasya Sukan SEA sebelum ini, Kuala Lumpur menjadi saksi kebangkitan atlet baling tukul besi negara Jackie Wong yang membalas dendam kekalahannya dengan merangkul emas, hari ini.

Bukan saja meraih emas dengan balingan 65.9 meter, Jackie turut melakarkan kejayaan berganda apabila memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri 65.34m dan juga rekod temasya milik Caleb Stuart dari Filipina 65.63m seterusnya membuktikan bahawa dia adalah jaguh rantau Asia Tenggara.

Ia kejayaan penuh bermakna buat Jackie apabila dapat menamatkan penantian negara untuk merangkul emas selama 16 tahun dalam acara itu selepas kali terakhir memenanginya menerusi Wong Tee Kui pada 2001.

Bagi Jackie, kehadiran ibu bapanya yang datang dari Sarikei, Sarawak untuk menyaksikan dia beraksi selain sorakan penonton yang memberikan semangat dan pengorbanan jurulatih Gu Yuan menjadi kunci kepada kejayaannya.

“Saya sangat bangga dengan prestasi ini. Bukan saja rekod kebangsaan tapi juga rekod temasya. Sorakan penyokong begitu meriah sekali.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada pesaing saya kerana mereka memberikan saingan sengit seterusnya memberikan saya motivasi untuk baling lebih jauh lagi,” katanya.

Pingat perak menjadi milik peserta Thailand Kittipong Boonmawan yang mencatat 65.49m manakala gangsa diraih wakil Filipina Ferrera Arnil dengan balingan 55.94m.

Untuk rekod, ia adalah rekod kebangsaan kesembilan yang berjaya dipecahkan oleh Jackie selepas berlatih di bawah bimbingan Gu Yuan sejak empat tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 5:31 PM