PEMAIN Malaysia, Syed Muhamad Syafiq (kanan) diasak pemain Filipina pada saingan awal Hoki Dalam Dewan.
PEMAIN Malaysia, Syed Muhamad Syafiq (kanan) diasak pemain Filipina pada saingan awal Hoki Dalam Dewan.
BERNAMA

SKUAD hoki dalam dewan lelaki Malaysia melaungkan amaran awal kepada pasukan lain apabila membuka saingan Sukan SEA dengan membelasah Filipina 16-0 hari ini.

Pasukan negara hanya memerlukan empat minit untuk berada di hadapan selepas membuka jaringan menerusi pukulan sudut kapten Najib Abu Hassan dan gol padang Shafiq Yaacob di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

Pasukan yang terdiri daripada pemain skuad pembangunan itu terus memburu peluang untuk kekal selesa di hadapan dengan jaringan 7-0 pada hujung babak pertama sebelum mengesahkan kemenangan dalam acara yang dipertandingkan buat kali pertama di Sukan SEA.

Shafiq beraksi cemerlang apabila menjadi penjaring terbanyak perlawanan dengan menjaringkan tiga gol padang pada minit keempat, 14 dan 40, serta jaringan pukulan sudut pada minit ke-28.

Jurulatih Muhammad Amin Rahim berkata, pemain agak gementar pada awal perlawanan kerana kali pertama beraksi dalam dewan yang penuh dengan penyokong sebelum menguasai perlawanan selepas itu.

“Keputusan ini memang sudah dijangka dan perlawanan ini lebih kepada meningkatkan keyakinan pemain sebelum bertemu pasukan yang lebih kuat seperti Thailand dan Indonesia. Apa yang penting bagi saya harus menang setiap perlawanan untuk mara ke final dan memastikan emas menjadi milik kita,” katanya.

Malaysia akan bertemu Vietnam malam ini sebelum mengharungi cabaran getir menentang Thailand esok, Indonesia pada Rabu sebelum menamatkan saingan round robin menentang Singapura pada Khamis.

Dua pasukan teratas akan mara ke perlawanan akhir manakala pasukan di kedudukan ketiga dan keempat akan beraksi pada penentuan pingat gangsa yang dijadualkan Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2017 @ 2:18 PM