Helmy Abd Rahman


SULTAN Mizan Zainal Abidin mencatat sejarah apabila kuda ditunggang baginda, RTES Annaversary mencatat rekod baru Sukan SEA dengan purata kelajuan 20.994 kilometer sejam acara endurance individu sejauh 80 kilometer, hari ini.

Catatan acara yang diadakan di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP), Setiu, itu disahkan secara rasmi oleh pegawai kejohanan pada 1.30 tengah hari, sekali gus membolehkan baginda merangkul emas buat Malaysia.

Sultan Mizan yang menunggang kuda RTES Annaversary menamatkan perlumbaan dalam tempoh 3:48:38.

Pingat perak kategori individu dimenangi atlet negara, Mohd Bulkhari Rozali, yang menunggang kuda JQ Tuan Junior dengan catatan 3:48:40.

Pingat gangsa diserahkan kepada atlet Thailand, Khuntaraporn Warit yang mencatat 4:16:5 walaupun seorang lagi atlet negara, Mohammad Fuad Hashim menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan masa 3:48:42.

Peraturan pertandingan yang menetapkan hanya dua atlet Edurance sesebuah negara layak naik ke podium bagi kategori individu.

Kategori berpasukan turut diungguli pasukan negara yang merangkul emas dengan catatan masa terkumpul keseluruhan 11: 31: 30

Pasukan negara dibarisi Mohammad Fuad, Mohd Adhwa Embong, Azizatul Asma Abdullah manakala Sultan Mizan dan Mohd Bulkhari yang sudah memenangi pingat dalam kategori individu dikecualikan berdasarkan peraturan pertandingan.

Thailand yang meraih perak menerusi Wipawan Pawitayalarp, Kitikorn Nongbeung dan Kanapos Taytaisong.

Pingat gangsa milik Kemboja dengan masa 16:38: 39 dibarisi trio Sovanchandara LY, Sopheaktra Lon dan Visal Phay.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 6:22 PM