SHAHRUL Zaman
SHAHRUL Zaman
Farah Azharie

Kuala Lumpur: Skuad ragbi wanita negara bertekad melakukan kejutan dengan mempamerkan aksi membanggakan biarpun dikumpulkan secara bersama dalam tempoh kurang setahun.

Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, beliau percaya anak buahnya itu mampu mara ke final dan mampu mencapai sesuatu yang istimewa dalam kejohanan dua hari itu.

“Pasukan wanita menunjukkan perkembangan bagus, melebihi jangkaan dan saya optimis mereka mampu melakarkan kejutan dengan mara ke final meskipun sasaran kita hanya memenangi sebarang pingat tanpa mengira warna,” katanya.

Shahrul berkata, kedua-dua pasukan wanita dan lelaki akan mendapat suntikan semangat sebelum kejohanan apabila penasihat teknikal yang juga jurulatih Auckland 7 Sebelah Edwin Cocker tiba dari New Zealand untuk melakukan persiapan akhir mereka.

“Cocker sudah tiba dari New Zealand dan kami berharap dia dapat bekerjasama dengan pasukan jurulatih tempatan untuk memperbaiki persembahan pasukan terutama dari aspek mental, kekuatan mental dan psikologi untuk menangani pasukan lain.” katanya.

Perlawanan ragbi 7 sebelah akan diadakan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 19 hingga 20 Ogos dengan dua emas menjadi rebutan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 10:42 AM