GIANNI (kanan) sudah mengkaji kelemahan dan kelebihan Shibuya.
GIANNI (kanan) sudah mengkaji kelemahan dan kelebihan Shibuya.
Aida Adilah Mat

Bali, Indonesia: Seni mempertahankan diri campuran (MMA), One Championship kembali menghangatkan arena tempatan di Stadium Negara, Kuala Lumpur, 18 Ogos ini.

Membabitkan lima peserta tempatan dalam pertarungan dikenali ‘Quest for Greatness’ kelibat adik-beradik Subba - Gianni dan Keanu - yang kini berpangkalan di Bali Muay Thai Gym Indonesia antara dinanti ramai.

Gianni menimbulkan tanda tanya apabila terpaksa berehat sembilan bulan berikutan patah pergelangan tangan kiri yang memaksanya menarik diri daripada pertarungan Februari lalu.

Justeru hanya Gianni sendiri yang mempunyai rekod 8-2 ada jawapannya.

“Saya memang tidak sabar untuk beraksi. Sembilan bulan menanti panggilan dan akhirnya Kuala Lumpur menjadi saksi kebangkitan saya,” katanya yang akan bertarung menentang lawan dari Jepun Riku Shibuya.

Mengulas mengenai lawannya itu, Gianni berkata, memang dia ingin bertemu Shibuya namun perlu lebih berwaspada kerana lawannya itu pasti mahu kemenangan selepas dua tahun berehat akibat kecederaan serius retina matanya.

“Saya sudah mengkaji kelemahan dan kelebihan Shibuya. Shibuya seorang yang pantas dan tumbukannya agak liar. Dia bijak menggunakan segala ruang yang ada selain pantas menyerang.

“Disebabkan itu saya perlu bijak menanganinya dan menyerang kelemahannya,” katanya.

Bagaimanapun sejak berpangkalan di Bali, Gianni mengakui banyak peningkatan dari segi teknik dapat diperbaiki apabila banyak dibantu pengasas MMA Gym Bali Andrew dan Anthony Leone.

Berdasarkan rekod Gianni memenangi lima daripada enam pertarungan sebelum Februari lalu manakala Shibuya adalah bekas juara dunia One Flyweight.

Selain Giani dan Keanu, peserta tempatan lain yang akan berentap adalah Ev Ting dan Agilan Thani selain peserta wanita pertama One Championship, Ann Osman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2017 @ 10:26 AM