MUSA (tengah) bersama peserta Larian Obor KL2017 di McDonald's Bandar Perda.
MUSA (tengah) bersama peserta Larian Obor KL2017 di McDonald's Bandar Perda.
Muhammad Shalaby Shahbuddin


Bukit Mertajam: Seramai 102 pemegang obor tampil menyertai Larian Obor Kuala Lumpur 2017 sempena Sukan SEA Ke-29 dan Sukan Para ASEAN Ke-9 ketika tiba di McDonald’s Bandar Perda, pagi semalam.

McDonald’s Bandar Perda adalah ‘pit stop’ kedua larian sekali gus menjadi majlis kedua daripada tiga acara dihoskan McDonald’s hasil perjanjian ditandatangani dengan MASOC sebagai penaja perak dan restoran rasmi KL2017, April lalu.

Program pelepasan dan penyerahan Larian Obor KL2017 dimulakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Ahmad Badawi di Kepala Batas sebelum ke McDonald’s Bandar Perda membabitkan jarak 20 kilometer.

Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri N Vijayan Kumar Nambiar berkata, lebih 10,000 individu menyertai larian itu yang bermula di lima daerah di Kedah, dua hari lalu.

Secara keseluruhan seramai 289 pembawa obor untuk lima daerah - Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

Acara semalam menyaksikan obor berkenaan diserahkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh Datuk Mahmud Zakaria yang mewakili daerah SPS yang menjadi lokasi terakhir acara larian di negeri ini sebelum diserahkan kepada Perak hari ini.

Majlis semalam turut menyaksikan Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam Datuk Musa Sheikh Fadzir mewakili SPT menyerahkan obor kepada Mahmud di McDonald’s Bandar Perda.

Turut hadir, Naib Presiden Kewangan McDonald’s Malaysia Lee May Yin dan Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi.

Acara berkenaan mendapat sambutan pelbagai pihak termasuk lebih 2,500 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika larian singgah di Kem Sungai Ara selain disokong Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh.

Sementara itu, May Yin berkata, sebagai sebuah restoran keluarga dan tempat pertemuan bagi rakyat Malaysia tanpa mengira usia, McDonald’s berbesar hati menjadi hos Larian Obor Kuala Lumpur 2017 sekali gus menyumbang kepada temasya sukan berkenaan.

Larian Obor KL2017 dijadual berakhir di Kuala Lumpur pada 19 Ogos, sekali gus menandakan bermulanya temasya Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2017 @ 10:11 AM