LINDELOF  sertai Benfica sejak 2012.
LINDELOF sertai Benfica sejak 2012.
 LINDELOF (kiri) mengasak pemain Perancis Olivier Giroud dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018 di  Solna, Sweden, kelmarin.
LINDELOF (kiri) mengasak pemain Perancis Olivier Giroud dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018 di Solna, Sweden, kelmarin.
AFP

London: Juara Liga Europa, Manchester United berjaya mendapatkan khidmat pertahanan tengah Benfica yang juga pemain kebangsaan Sweden, Victor Lindelof dengan bayaran sejumlah 35 juta euro (RM167 juta).

“Manchester United dengan sukacitanya mengumumkan kedua-dua pihak sudah mencapai persetujuan untuk mendapatkan Victor Lindelof dari Benfica dan kini semuanya tertakluk kepada pemeriksaan perubatan, pelepasan antarabangsa dan perjanjian lain.

“Satu pengumuman lanjut akan dibuat sebaik saja segala proses berjaya diselesaikan,” menurut United menerusi satu kenyataan, kelmarin.

Sejurus pengumuman itu, Benfica kemudiannya mengesahkan perjanjian itu bernilai 35 juta euro dan juga termasuk bonus 10 juta euro (RM48 juta).

Lindelof, 22, mula menyertai Benfica pada 2012 selepas berpindah dari Vasteras SK dan sepanjang lima musim bersama kelab Portugal itu, dia berjaya memenangi tiga kejuaraan liga dan dua Piala Portugal.

Pembelian pertahanan tengah itu adalah yang kedua selepas pengurus United, Jose Mourinho pada musim lalu membawa masuk seorang pemain di posisi sama iaitu Eric Bailly dari Villarreal dengan harga 30 juta euro (RM143 juta).

Selain khidmat dua pemain itu, Mourinho juga mempunyai beberapa pemain di bahagian pertahanan termasuk Chris Smalling, Phil Jones, Marcos Rojo dan Daley Blind yang boleh beraksi di posisi kiri dan kanan.

Lindelof akan muncul pemain pertama yang menandatangani kontrak bersama kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu musim depan.

Mereka turut memasuki pasaran untuk mencari seorang penyerang selepas menyenaraikan Zlatan Ibrahimovic, ketika ini berehat kerana kecederaan lutut serius, dalam senarai pemain yang akan dilepaskan, minggu lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2017 @ 10:43 AM