JOAO Felix
JOAO Felix
AFP

PEMAIN Atletico Madrid dari Portugal Joao Felix diumumkan sebagai pemenang trofi ‘Budak Emas’ hari ini, oleh akhbar Itali Tuttosport untuk pemain bola sepak bawah 21 tahun terbaik di Eropah.

Penyerang berusia 20 tahun itu mengetepikan pemain sayap Borussia Dortmund dari England Jadon Sancho dan pemain tengah Bayer Leverkusen dari Jerman Kai Havertz.

Dia mengikut jejak pertahanan Belanda Matthijs De Ligt, yang menang tahun lalu ketika bermain untuk Ajax sebelum menyertai Juventus.

Felix pula berpindah dari Benfica ke Atletico Madrid musim ini dengan bayaran perpindahan sekitar 120 juta euro (RM551.1 juta).

Dia menjaringkan 15 gol untuk Benfica musim lalu dan musim ini tiga gol buat Atletico.

“Terima kasih kepada semua di Tuttosport untuk Anugerah Budak Emas 2019, saya amat berbangga,” katanya menerusi mesej video.

“Ini kali kedua pemain Atletico Madrid menang trofi ini dan saya sangat gembira.

“Terima kasih juga kepada Benfica, khususnya jurulatih saya Bruno Lege atas apa yang dilakukan kepada saya, dan keluarga saya kerana sentiasa berada di sisi saya.”

Pemenang terdahulu termasuklah Lionel Messi, Paul Pogba dan Kylian Mbappe, manakal Sergio Aguero adalah pemain Atletico terakhir memenangi anugerah itu pada 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 12:11 AM