TVET menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat melalui latihan berasaskan pekerjaan
TVET menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat melalui latihan berasaskan pekerjaan
Dr Mohd Faizal Tokeran

Ketua Sekretariat MTVET

SECARA umumnya, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memainkan peranan signifikan dalam membangunkan bakat tersedia masa hadapan bagi memastikan negara tidak ketandusan bakat berkualiti untuk merealisasikan agenda besar negara.

Oleh itu, kerajaan secara berterusan memberi penekanan terhadap TVET kerana sedar permintaan dan keperluan industri kepada modal insan yang berkeupayaan seiring dengan peredaran teknologi di peringkat nasional mahupun di peringkat global.

TVET menjadi pemacu utama atau 'game changer' bagi melahirkan tenaga mahir tempatan yang secara langsung mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

TVET adalah proses pendidikan dan latihan menjurus ke arah pekerjaan dan menekankan amalan industri dalam pelbagai bidang berkaitan.

Ia menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat meliputi peringkat sekolah menengah, lepasan sekolah sehingga ke tenaga kerja industri melalui latihan berasaskan pekerjaan serta latihan berterusan dan pembangunan profesional.

TVET di Malaysia

TVET di Malaysia bermula sejak sebelum merdeka. Ia mengalami perkembangan serta melalui proses penyelidikan dan pembangunan bagi memantapkan lagi sistem sedia ada.

Pada awal zaman penjajahan British, pendedahan terhadap bidang pekerjaan seperti pertukangan kayu, pertukangan besi dan jahitan mula diajarkan kepada pelajar di Penang Free School pada 1816.

Pendidikan vokasional mula diberi perhatian oleh kerajaan Inggeris apabila terdapat keperluan untuk melatih rakyat bagi mengisi kekosongan jawatan di jabatan kerajaan.

Sehubungan itu, pada 1906 Treacher Training School dibuka di Kuala Lumpur bagi melatih juruteknik Jabatan Buruh dan Kereta Api Tanah Melayu.

TVET di Malaysia terus berkembang dengan merangkumi spektrum kemahiran dan pengetahuan yang lebih luas.

Ini menyaksikan peralihan dari segi penawaran kursus TVET daripada bidang tradisional kepada bidang berteknologi tinggi.

Pembangunan TVET secara formal di Malaysia bermula dengan dua institusi awam iaitu Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Lumpur dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua, Selangor.

Sehingga Disember 2023, institusi TVET terus berkembang dan kini sebanyak 1,345 institusi TVET di seluruh negara dengan 669 institusi TVET awam, 652 institusi TVET swasta dan 24 institusi TVET di bawah kerajaan negeri.

Isu semasa dan cabaran sektor TVET Negara

Selepas lebih empat dekad penubuhannya, TVET dilihat berpotensi berkembang dengan lebih baik melalui perancangan komprehensif selaras dengan pertumbuhan ekonomi negara masa kini.

Perkembangan pesat dan perubahan dalam pelaksanaan TVET membawa kepada kepelbagaian pendekatan penyampaian serta mekanisme jaminan kualiti program ditawarkan oleh penyedia TVET.

Dalam memastikan agenda pemerkasaan TVET negara dapat direalisasikan, pelbagai usaha dilaksanakan khususnya bagi mencapai matlamat meningkatkan produktiviti dan daya saing negara.

Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa isu dan cabaran yang membelenggu ekosistem TVET negara dan ia memerlukan penyelarasan serta komitmen berterusan merentasi semua pemegang taruh terbabit dalam usaha merungkaikannya yang meliputi aspek tadbir urus, kualiti, hubungan industri, pembiayaan serta penjenamaan.

Pelaksanaan TVET merentasi pelbagai kementerian, agensi, kerajaan negeri menyebabkan wujudnya ketidakselarasan terutama dari segi peranan dan tangggungjawab serta pengoperasian.

Pertindihan fungsi dan skop dalam pengendalian program TVET ini juga antara topik penting dibangkitkan oleh masyarakat hari ini.

Keterbatasan penyelarasan pengumpulan data menyebabkan landskap TVET yang sebenar sukar untuk dilihat dan mengakibatkan perancangan, unjuran serta analisis berkaitan TVET yang dihasilkan terhad.

Kualiti program dan graduan TVET juga sering menjadi perhatian umum selama ini.

Oleh itu, usaha untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi perlu meliputi pelbagai aspek termasuk reka bentuk, penyampaian dan kajian semula kurikulum TVET.

Pemain industri berpandangan bahawa kurikulum TVET sedia ada perlu selari dengan keperluan industri bagi menangkis persepsi negatif terhadap program TVET tempatan.

Khazanah Research Institute (KRI) melaporkan bahawa wujudnya ketidakpadanan antara permintaan industri dengan kemahiran yang dimiliki oleh graduan TVET disebabkan pembabitan dan kerjasama industri yang tidak menyeluruh.

Sehingga kini, tiada sebarang peruntukan undang-undang atau polisi khusus dibangunkan bagi memastikan keterlibatan industri dalam pelaksanaan TVET meliputi aspek seperti pembangunan kurikulum serta perkongsian kepakaran dan teknologi.

Pembiayaan TVET pula berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti input belanjawan secara berpusat, birokrasi, tiada penyeragaman yuran serta kebergantungan tinggi kepada dana kerajaan.

Agihan pembiayaan adalah berdasarkan rekod perbelanjaan dan enrolmen pelajar bagi tahun sebelum tanpa mengira prestasi sebenar sesebuah institusi itu sendiri.

Ekosistem TVET yang tidak selaras juga memberi kesan dan impak negatif terhadap reputasi serta imej TVET.

Sehingga kini, tiada jenama tunggal yang digunakan secara bersama dalam mempromosikan program TVET.

Ketidakselarasan aktiviti promosi dan kepelbagaian penjenamaan TVET yang digunakan merentasi pelbagai kementerian atau agensi menimbulkan kekeliruan masyarakat mengenai kewujudan sistem atau jenama TVET itu sendiri.

Menyedari hakikat ini, kerajaan memberikan tumpuan khusus ke arah melahirkan modal insan berkualiti dan berkemahiran tinggi.

Usaha ini selari dengan fokus Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan terus diperhebat melalui agenda pemerkasaan TVET negara.

TVET dikenal pasti sebagai salah satu daripada 14 pemacu perubahan dalam RMK-12, dengan pelbagai strategi dirangka termasuk merombak tadbir urus TVET dan meningkatkan kualiti program TVET melalui kerjasama industri.

TVET berperanan penting dalam menyediakan tenaga kerja mahir yang memerlukan kemahiran spesifik dan berupaya menjana pendapatan tinggi.

Hal ini penting kerana kerajaan berhasrat mencapai sasaran 35 peratus tenaga kerja mahir menjelang 2030 kerajaan berhasrat mencapai sasaran 35 peratus tenaga kerja mahir menjelang 2030.

PELBAGAI strategi dirangka termasuk merombak tadbir urus, meningkatkan kualiti program melalui kerjasama industri.
PELBAGAI strategi dirangka termasuk merombak tadbir urus, meningkatkan kualiti program melalui kerjasama industri.

Dasar TVET Negara 2030

Dasar TVET Negara 2030 adalah usaha penyelarasan pelaksanaan program TVET di Malaysia.

Dasar ini mengambil kira dasar sedia ada yang berkaitan seperti Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Pendidikan Tinggi Nasional serta Akta-akta sedia seperti Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652) dan Akta Agensi Kelayakan Malaysia 2007 (Akta 679).

Pelaksanaan program TVET oleh pelbagai Institusi TVET awam dan swasta yang semakin berkembang susulan penekanan yang diberi oleh Kerajaan memerlukan satu mekanisme yang selaras dan seragam.

Ia termasuk isu tadbir urus, pengurusan pembiayaan dan kewangan, kawalan kualiti dan pengiktirafan, kerjasama strategik serta ketampakan dan kebolehcapaian TVET dalam kalangan masyarakat.

Berdasarkan perkembangan terbabit, satu dasar yang komprehensif diperlukan bagi memastikan pemerkasaan TVET dapat dicapai secara holistik.

Justeru, Dasar TVET Negara 2030 ini akan berperanan sebagai rujukan dalam memandu institusi TVET menawar dan melaksana program TVET yang berkualiti berdasarkan keperluan industri.

Dasar TVET Negara 2030 ini bermatlamat untuk membawa Malaysia ke arah negara maju berpaksikan modal insan berkemahiran melalui pelaksanaan program TVET yang responsif, fleksibel dan inklusif.

Dalam usaha merealisasikan visi dan misi yang digariskan, objektif utama pembangunan dan pelaksanaan Dasar TVET Negara 2030 adalah sebagai garis panduan dalam usaha melahirkan modal insan berkemahiran bagi memenuhi keperluan industri seperti yang digariskan dalam New Industrial Master Plan (NIMP) 2030, National Energy Transition Roadmap (NETR), Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) dan Sustainable Development Goals (SDG) serta dasar semasa berkaitan supaya perkara berikut dapat direalisasikan.

Antara dasar itu ialah latihan dan pendidikan yang relevan dengan pekerjaan semasa dan masa hadapan bagi memastikan ketersediaan graduan ke alam pekerjaan dengan pendapatan yang tinggi dapat disediakan.

Kedua, TVET berimpak tinggi dalam bidang kritikal dibangunkan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dalam pelbagai bidang.

Dasar ketiga adalah industri yang mempunyai potensi pertumbuhan ekonomi dan pekerjaan yang tinggi dibekalkan dengan tenaga kerja berkualiti yang diperlukan khususnya bagi bidang tertentu.

Antara bidang itu termasuk industri berasaskan peralihan tenaga, industri berasaskan teknologi dan digital; industri elektrik dan elektronik bernilai tinggi; pertanian dan industri asas tani serta industri nadir bumi.

Dasar keempat adalah adalah persekitaran yang kondusif dan membolehkan pembangunan serta penyampaian perkhidmatan berkualiti bagi sektor TVET untuk melahirkan pekerja yang berdaya saing di peringkat global dapat diwujudkan.

Akhir sekali, dasar kelima ialah keperluan tenaga kerja bagi sektor asas untuk mencapai kesaksamaan sosial dan keterangkuman ekonomi dapat dipenuhi termasuk pemerkasaan elemen keusahawanan.

Ke arah pelaksanaan TVET secara holistik

Pelaksanaan dasar ini akan membabitkan semua pemegang taruh yang terbabit secara langsung dan tidak langsung dalam pelaksanaan program TVET negara.

Setiap pemegang taruh juga akan bertanggungjawab untuk merancang, melaksana, memantau, menilai dan menyelaras program dan aktiviti dengan merujuk kepada Dasar ini sebagai panduan menyeluruh.

Secara keseluruhannya, Dasar TVET Negara 2030 ini adalah rujukan komprehensif yang menetapkan aspirasi dan hala tuju Kerajaan bagi memastikan penyelarasan pelaksanaan TVET secara holistik sehingga tahun 2030.

Dasar TVET Negara 2030 ini menggariskan kepentingan kerjasama kolektif di antara Kerajaan, institusi TVET awam dan swasta serta industri dalam memacu pembangunan modal insan berkemahiran negara.

Kejayaan pelaksanaan Dasar TVET Negara 2030 ini sangat signifikan untuk mengekalkan daya saing global terutama dalam bidang TVET yang bermatlamat untuk melahirkan pekerja berkemahiran dan berpendapatan tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2024 @ 7:02 AM