STEPHEN (kanan) menyerahkan sijil pengiktirafan UMPSA sebagai IMI International Training Centre for EV Training kepada Dr Yuserrie dalam pertemuan di UMPSA.
STEPHEN (kanan) menyerahkan sijil pengiktirafan UMPSA sebagai IMI International Training Centre for EV Training kepada Dr Yuserrie dalam pertemuan di UMPSA.
Suliati Asri


UNIVERSITI Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menjadi satu-satunya universiti di Malaysia yang menerima pentauliahan Persijilan Antarabangsa Institut of the Motor Industry (IMI) United Kingdom sebagai pusat latihan kenderaan hibrid dan elektrik.

Sijil pengiktirafan UMPSA sebagai IMI International Training Centre for EV Training itu disampaikan sendiri IMI External Quality Assurer daripada IMI UK iaitu Stephen Longworth kepada Naib Canselor UMPSA, Profesor Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin dalam satu pertemuan yang berlangsung di UMPSA Pekan, Pahang, baru-baru ini.

Turut hadir IMI International External Quality Assurer, Penny Peng; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Prof Dr Ahmad Ziad Sulaiman; Penolong Naib Canselor (Pengembangan Akademik), Profesor Dr Kamal Yusof dan Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal & Automotif (FTKMA), Prof Dr Mahadzir Ishak @ Muhammad.

Dr Yuserrie berkata, selain menyampaikan sijil pentauliahan, kunjungan pihak IMI ke UMPSA bagi melengkapkan modul IMI International Full Centre Approval and IMI International Accredited Assessor/Verifier Workshop di FTKMA.

Katanya, IMI adalah salah satu institusi automotif yang diberi hak untuk mengeluarkan sijil profesional dan kompetensi dalam kenderaan berkuasa tinggi melebihi 60V DC.

"Pelatih yang mendapat sijil profesional daripada IMI juga layak bekerja di luar negara yang mengiktiraf sijil daripada IMI.

"Pencapaian ini membolehkan lebih ramai pelatih teknikal berkemahiran dan diiktiraf dunia dilahirkan khususnya dalam bidang penyenggaraan kenderaan elektrik keluaran pengeluar dari seluruh dunia," katanya.

Dr Yuserrie berkata, usaha ke arah mendapat persijilan pusat latihan itu bermula dua tahun lalu dengan membangunkan makmal EV, melakukan tanda aras (benchmarking) dan memberi latihan kepada tenaga pengajar.

"Dengan pertaulihan ini, UMPSA akan menyediakan latihan mendapatkan sijil profesional bagi penyelengaraan EV yang diiktiraf IMI kepada pelajar UMPSA dan turut dimanfaatkan dengan memberi latihan kepada pihak industri dan komuniti.

"Pihak UMPSA juga amat menghargai sokongan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan komitmen semua dalam memastikan kejayaan dalam pengiktirafan ini," katanya.

Pada masa sama, pihak FTKMA sudah menjalani beberapa siri latihan bagi memastikan UMPSA mendapatkan pengiktirafan sebagai IMI International Training Centre for EV Training yang bermula sejak 11 hingga 21 Mac lalu.

Ini termasuk program latihan IMI Systems and procedure training for Administrator; Centre Coordinator & Invigilator; IMI Systems and procedures training for Training Technical Trainers; IMI International full Centre Approval dan IMI International Accredited Assessor/Verifier Workshop.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 6:30 AM