AKTIVITI menanam kubis oleh Khairilazhar (empat dari kiri) dan Zulkfli (lima dari kiri) bersama wakil dari MPAJ, PIBG, Jabatan Pertanian, Yayasan Waqaf Malaysia, Petron Taman Putra dan Pustaka Rakyat.
AKTIVITI menanam kubis oleh Khairilazhar (empat dari kiri) dan Zulkfli (lima dari kiri) bersama wakil dari MPAJ, PIBG, Jabatan Pertanian, Yayasan Waqaf Malaysia, Petron Taman Putra dan Pustaka Rakyat.
Suhaila Khairie dan Lydia Saiful


KEBUN Komuniti 3RGG (Reduce, Reuse, Recycle, Go Green) Sekolah Kebangsaan Tasek Permai, Ampang, Selangor ini menzahirkan kesungguhan dan kegigihan warganya.

Ia ditubuhkan Unit Kitar Semula di bawah Unit Hal Ehwal Murid sekolah berkenaan dan dirasmikan Pengarah Belia, Masyarakat dan Landskap Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Khairilazhar Ismail

baru-baru ini.

Menariknya, nama Kebun Komuniti 3RGG dipilih kerana ia begitu sinonim warga sekolah berkenaan yang mengamalkan konsep 3R dan sentiasa bergiat aktif dalam program kitar semula anjuran MPAJ sehingga berjaya menerima beberapa anugerah.

Pada masa sama, ia juga bertujuan merealisasikan hasrat guru besarnya, Zulkifli Hassan, 59, selain inisiatif menjadikan sekolah berkenaan tampil dengan identiti tersendiri bagi Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25).

Menurut Zulkifli, beliau berazam mengindahkan kawasan tebing bukit terbiar berhampiran pagar utama sekolah sebagai kawasan yang boleh dimanfaatkan bagi menaikkan imej sekolah itu.

"Perkara ini mendorong saya untuk mewujudkan Kebun Komuniti 3RGG yang digunakan sebagai alternatif baharu kepada murid-murid dalam menimba ilmu.

"Penyertaan murid dalam menjaga dan menjual hasil tanaman kebun juga dapat menyemai budaya keusahawanan dalam diri mereka," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Zulkifli berkata, pihak MPAJ adalah salah satu organisasi yang banyak memberi sokongan kepada mereka.

"Antara pihak lain yang memberi sumbangan termasuk Yayasan Wakaf Malaysia, pengusaha pam minyak Petron dan Persatuan Ibu bapa Dan Guru (PIBG) bagi membeli keperluan berkebun.

"Ada juga sumbangan yang diperoleh dari hasil kemenangan sekolah dalam pertandingan kitar semula, jualan tanaman sayur kepada ibu bapa serta sumbangan orang awam yang berminat membantu menjayakan projek ini," katanya.

Menurutnya, kebun itu berpotensi besar sebagai sumber pendapatan tambahan, namun pihak sekolah masih memerlukan sokongan dan sumbangan kewangan bagi memastikan ia kekal terjaga selain terus menyumbang manfaat.

"Saya mengalu-alukan sumbangan kewangan terutama daripada pihak bank, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat korporat dan komuniti setempat pada masa hadapan.

"Hasrat saya, kewujudan kebun komuniti ini dapat merapatkan kerjasama antara sekolah dengan ibu bapa dan komuniti setempat," katanya yang bakal bersara wajib pada pertengahan Januari depan.

Sementara itu, Penyelaras Kebun Komuniti 3RGG, Hasmanie Hamzah, 43, pula berkata, kebun komuniti itu menerima sokongan penuh daripada warga SK Tasek Permai serta Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB).

"Sumbangan KSIB terdiri daripada barangan kitar semula dan digunakan semula sebagai pasu bunga bagi mencantikkan kebun komuniti ini.

"Oleh itu, pihak sekolah berharap agar lebih banyak pembabitan daripada ibu bapa dalam menjayakan Kebun Komuniti 3RGG," katanya.

Hasmanie yang juga guru pendidikan Islam berkata, pihak sekolah akan mengekalkan usaha penjagaan kebun komuniti itu secara berterusan.

"Sayur-sayuran yang ditanam sering membuahkan hasil yang lumayan dan selepas dipetik, kami akan menanam semula sayur baharu.

"Hasil tuaian pula dijual kepada ibu bapa melalui aplikasi WhatsApp dan keuntungan yang diperoleh setakat ini sangat berbaloi kerana kebanyakan ibu bapa membeli sambil menderma.

Sementara itu, murid SK Tasek Permai, Hashraf Nabil Mohd Nazlan, 12, berkata, usaha mewujudkan kebun ini memberikan banyak kelebihan dalam pembelajaran dan kehidupan harian.

"Pelaksanaan Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) di dalam kelas sains juga menggunakan tumbuhan hijau untuk memudahkan guru memberikan contoh.

"Guru di dalam kelas dapat menceritakan dengan lebih jelas proses pokok membesar dan kebaikan tumbuhan hijau kepada manusia.

"Berkebun juga adalah aktiviti yang menarik kerana hasil tanaman lebih memuaskan, bersih dan sihat untuk dimakan," katanya.

Bagi Nur Fasha Asmira Firdaus, 12, dia berasa seronok dengan kewujudan Kebun Komuniti 3RGG di sekolahnya.

"Saya sangat teruja dapat merasai pengalaman berkebun bahkan mempelajari proses penanaman dan penjagaan sayur-sayuran dengan lebih baik.

"Malah saya juga memang berminat menjaga kebun komuniti ini kerana dapat membantu menambahkan kewangan sekolah dan dapat mencantikkan lagi sekolah," katanya yang juga ketua pengawas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2023 @ 7:01 AM