SEBAHAGIAN daripada peserta konvensyen bergambar kenangan.
SEBAHAGIAN daripada peserta konvensyen bergambar kenangan.
Zaiha Ahmad


KONVENSYEN Pemerkasaan Kepimpinan Mahasiswi 2022 (WSLEC2022) diadakan di UiTM Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam baru-baru ini.

Program anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UiTM dengan kerjasama Bahagian Mahasiswa Holistik, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi.

Majlis perasmian penutup konvensyen yang membawa tema Mahasiswi Unggul Aset Negara disempurnakan Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin, Naib Canselor Universiti Teknikal Melaka (UTeM) yang mewakili Menteri Pengajian Tinggi Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor (Hepa) dari beberapa universiti awam lain turut hadir pada majlis berkenaan.

Seramai 218 peserta hadir bagi mengikuti program dua hari itu bagi mewakili 39 universiti yang terbabit. Mereka ini terdiri daripada pemimpin pelajar yang terbabit dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) dan Exco persatuan daripada seluruh universiti awam, universiti swasta dan politeknik.

Penganjuran konvensyen ini adalah seiring aspirasi kerajaan untuk meletakkan lebih ramai wanita pada kedudukan pembuat keputusan. Ini juga selaras matlamat kementerian untuk melahirkan graduan holistik yang berketerampilan serta melahirkan barisan pelapis pemimpin masa hadapan yang diperlukan bagi pembangunan negara.

Melalui konvensyen ini mahasiswa diberikan pendedahan dan pengisian yang merangkumi beberapa aspek utama seperti elemen kecemerlangan dan sinergi dalam kepimpinan, pemikiran global dan profesionalisme yang selari dengan konsep dan nilai-nilai Keluarga Malaysia, Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), ESG (Environment, Social and Governance) dan SDG 3,4,5 dan 10 (Sustainable Development Goals).

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi melalui ucapannya turut menyatakan bahawa pembabitan mahasiswa yang berkaliber amat diperlukan bagi memastikan negara tidak ketandusan bakat kepemimpinan yang cemerlang dan berwibawa.

PROF Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim  (dua dari kiri) dan Dr Mohd Sazili (kiri) melawat tapak pameran konvensyen.
PROF Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim (dua dari kiri) dan Dr Mohd Sazili (kiri) melawat tapak pameran konvensyen.

"Inisiatif yang diikhtiarkan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM untuk memperkasakan hasrat kepimpinan dalam kalangan mahasiswi bukan saja menjadi tunjang kepada transformasi pendidikan negara, malah mampu mengisi kekosongan dan kekurangan pimpinan wanita dalam pelbagai bidang serta lapangan," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts Dr Roziah Mohd Janor dalam ucaptamanya turut menggariskan lima 'praktis' utama sebagai teras dalam Melestarikan Kepimpinan Dinamik iaitu; Pemerkasaan Jati Diri, Keunggulan Sahsiah, Keterampilan Hikmah, Tahan Uji dan Keupayaan Memimpin.

Pada masa sama, konvensyen berkenaan mengangkat enam Kluster Kepimpinan yang menjadi inti dan tunjang wacana iaitu kluster Patriotisme & Perundangan, Keusahawanan & Ekonomi, Kesukarelawanan, Kesejahteraan Sosial, Profesional dan Kecantikan Kesihatan. Dalam usaha untuk memantapkan lagi wacana dan pembicaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 6:30 AM