Antara pemain UiTM dan pilihan UTM yang beraksi pada perlawanan golf Muhibbah di Johor.
Antara pemain UiTM dan pilihan UTM yang beraksi pada perlawanan golf Muhibbah di Johor.

Johor: Juara bertahan golf Universiti Awam (UA) 2019, Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengekalkan rentak kemenangan apabila menewaskan pilihan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam perlawanan Golf Muhibbah.

Kejohanan berlangsung di Forest City Golf Resort, Gelang Patah, Johor baru-baru ini.

UiTM diketuai Naib Canselornya, Profesor Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraii Kasim serta Timbalan Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Rahmat Mohd tidak berdepan masalah untuk mengatasi pilihan UTM yang diketuai Profesor Abdul Ghani Khalid.

UTM turut disertai Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Datuk Ir Dr Abdul Wahid Razaly serta beberapa pemain jemputan lain dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Kapten UiTM, Dzulkarnain Mazlan berkata, selain menggalakkan aktiviti rekreasi program berkenaan turut merapatkan hubungan silaturahim di kalangan kaki tangan universiti.

Katanya, kejohanan itu turut menjadi medan persiapan pasukan golf UiTM untuk menyertai kejohanan UA ke-48 akan datang.

"UiTM bakal menjadi tuan rumah kejohanan UA akan datang sudah pasti pihak universiti akan meletakkan sasaran terbaik dari segi penganjuran dan pencapaian keseluruhan." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 8:24 PM