PENUNTUT beratur mendapatkan sarapan percuma.
PENUNTUT beratur mendapatkan sarapan percuma.
Fazurawati Che Lah


PUSAT Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah mengambil inisiatif menjual tudung terpakai dengan tujuan menyediakan sarapan percuma kepada mahasiswa.

Projek Jualan Amal Tudung Terpakai yang dianjurkan Jabatan Komunikasi itu berjaya menyediakan sarapan kepada lebih 50 mahasiswa selama sebulan pada semester lalu.

Mahasiswa dari Langkawi, Norzulaikha Azmi, 23, berkata program itu membantu dia berjimat sekitar RM2 hingga RM3 sehari untuk sarapan sebelum memulakan aktiviti kuliah.

Katanya, dia gemar bersarapan kerana mahu kekal bertenaga untuk meneruskan aktiviti kelas yang panjang.

“Program ini sedikit sebanyak membantu penuntut memerlukan terutamanya daripada golongan B40 bagi memastikan mendapat keperluan makanan yang boleh membekalkan tenaga kepada pelajar untuk kekal fokus di dalam kelas.

PELAJAR tidak ketinggalan melihat tudung terpakai pelbagai fesyen.
PELAJAR tidak ketinggalan melihat tudung terpakai pelbagai fesyen.

“Sesetengah penuntut yang tidak bersarapan dilihat tidak bermaya ke kelas ditambah pula dengan waktu kelas yang tanpa henti membuatkan ramai
kalangan kami terpaksa ikat perut,” kata mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Komunikasi itu.

Walaupun jarang bersarapan untuk memulakan aktiviti kelas pada sebelah pagi, Muhamad Izuan Mohd Nasir, 22, penuntut tahun ketiga universiti itu kagum dengan usaha pensyarah dan Jabatan Komunikasi yang prihatin dengan nasib mahasiswa.

“Macam saya, tidak lebih daripada RM5 diperuntukkan untuk sarapan, maka dalam sebulan memerlukan lebih daripada RM100 untuk sarapan. Jadi, saya memilih tidak selalu bersarapan dan hanya makan untuk tengah hari sahaja,” katanya.

Pengarah projek, Dr Adibah Ismail, berkata projek itu bagi membantu penuntut yang memerlukan iaitu kelompok B40 supaya bertenaga dan menjadikan mereka lebih fokus di dalam kuliah.

“Pelajar menikmati sarapan percuma yang diedarkan setiap pagi di sekitar foyer pusat pengajian.

“Antara menu sarapan yang disediakan seperti nasi lemak, bihun goreng, roti, minuman kotak dan air mineral. Menu itu berbeza setiap hari bagi memberikan kelainan kepada penuntut,” katanya.

Menurutnya, idea projek itu dicetuskan Ketua Jabatan Komunikasi, Profesor Madya Dr Haslina Halim yang menyarankan supaya jabatan menganjurkan aktiviti berbentuk khidmat masyarakat untuk menggalakkan pembabitan aktif kakitangan akademik dalam memberi sumbangan kepada komuniti setempat bermula dari dalam kampus terlebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 6:01 AM