Fazurawati Che Lah

SEMESTER baharu bermula seminggu lalu selepas hampir sebulan mahasiswa di universiti awam bercuti. Sudah tentu rutin sebagai siswa bermula, pagi dengan aktiviti kuliah disambung pula kelas tutorial pada sebelah petang.

Waktu pelajar kini terisi dengan kelas yang padat sehingga tiada masa untuk memikirkan aktiviti di luar bilik kuliah.

Dek kesibukan itu, segelintir siswa mula memilih untuk tidak bergiat aktif di kampus, sebaliknya menghabiskan kebanyakan masa di kuliah, katil dan kafe.

Inilah yang dinamakan budaya 3K (kuliah, katil dan kafe). Malangnya budaya itu dilihat kian membarah dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sehingga mendapat perhatian Menteri Pendidikan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Dr Zaliman Sauli berkata, masalah 3K yang melanda sebahagian mahasiswa itu menyebabkan mereka lupa tujuan datang ke menara gading.

Katanya, mahasiswa hari ini ‘selesa’ kerana semua benda boleh diperoleh dengan mudah dan menganggap kuliah sudah cukup untuk membentuk jati diri.

“Semua bergantung kepada sikap, apabila sudah berasa selesa dan tiada persaingan, kebanyakan akan memilih untuk berbuat demikian iaitu balik sahaja dari kuliah, berlama-lama di kafe sambil bersembang serta lebih suka berehat-rehat di katil.

PELAJAR boleh babitkan diri dengan program yang membentuk kepemimpinan.
PELAJAR boleh babitkan diri dengan program yang membentuk kepemimpinan.

“Bukan itu saja, ada pelajar yang lebih gemar bermain dan bersendirian dengan telefon bimbit daripada menumpukan perhatian kepada subjek yang diajar dalam kuliah,” katanya.

Prof Zaliman tidak menolak kebanyakan siswa yang sudah bergelar senior antara yang berdepan budaya 3K kerana mereka menganggap diri sudah berada di zon selesa.

“Mereka yang bergelar senior ini sudah tahu dan faham corak pengajian di universiti, disebabkan itulah kebanyakannya memilih tidak lagi bergiat aktif.

“Mereka banyak memilih untuk berada di zon selesa saja dengan tidak memfokuskan kegiatan luar kuliah dan lebih suka berehat-rehat di atas katil serta hanya menumpukan kepada kuliah semata-mata,” katanya.

Beliau berkata, mereka tersekat pada masalah 3K sehingga tidak mahu terbabit dalam mana-mana program yang dianjurkan universiti sedangkan ia boleh mendatangkan kerugian kepada diri sendiri kerana ia secara tidak langsung menjadikan mereka tidak fokus dengan impian iaitu menjadi graduan yang serba boleh dan pilihan majikan.

Katanya, pembabitan mahasiswa dalam program yang dianjurkan oleh universiti adalah penting untuk mereka, khususnya selepas tamat pengajian.

“Mereka yang aktif menyertai aktiviti dianjurkan berupaya membentuk jati diri lebih baik berbanding sebelum ini. Malah, ia dapat membantu diri mahasiswa lebih yakin dan mampu berdepan pelbagai cabaran yang terbentang di hadapan mereka ketika berada dalam alam pekerjaan kelak,” katanya.

AKTIVITI kemasyarakatan membentuk sahsiah pelajar.
AKTIVITI kemasyarakatan membentuk sahsiah pelajar.

Prof Zaliman berkata, universiti memandang berat masalah itu dan beberapa pendekatan turut dirancang bagi menarik minat pelajar kembali aktif, sekali gus membendung masalah 3K.

Beliau berkata, budaya 3K di IPT masih terkawal kerana terdapat sebila­ngan pelajar yang aktif dengan kegiatan kampus dan mahu ke depan.

Bagaimanapun, katanya, kegiatan dijalankan kini lebih terarah kepada minat dan kehendak pelajar supaya menjadi tarikan untuk mereka bergiat aktif.

“Pihak pengurusan sentiasa mendengar denyut nadi pelajar dan setiap aktiviti yang dijalankan memenuhi kehendak minat pelajar.

“Pelajar sekarang lebih sukakan aktiviti yang segar dan memberi pengalaman baharu, bukan lagi mengikuti forum atau seminar saja,” katanya.

Katanya, antara program yang berjaya menarik minat pelajar kini sudah tentu program mobiliti atau pertukaran pelajar.

“Sambutan pelajar ke atas program seperti ini sangat luar biasa kerana aktiviti sebegitu memberi pengalaman baharu kepada pelajar dan menjadi trend terkini dalam proses pembelajaran pada zaman ini.

“Selain membolehkan pelajar mengenali budaya masyarakat luar, program itu turut membuka minda siswa khususnya berkaitan kecanggihan teknologi yang digunakan dalam memajukan negara,” katanya.

Selain aktiviti itu, Prof Zaliman berkata, pelbagai program yang dijalankan universiti dikaji dan disusun sebaik mungkin agar selari dengan permintaan majikan itu sendiri.

Katanya, program anjuran universiti memang terbaik, namun pembabitannya bergantung kepada sikap mahasiswa.

“Bergelar mahasiswa bukan hanya untuk mendapatkan sekeping sijil dengan keputusan yang cemerlang tetapi mempunyai nilai tambah kepada diri sendiri.

“Kita mahu pelajar yang berkeyakinan ketika berucap atau bercakap di khalayak, pemikiran terbuka dan graduan yang boleh melakukan pelbagai tugasan, mengetuai cabaran serta mereka ini boleh bekerja seperti diarahkan,” katanya.

SEDAR tujuan utama ke menara gading.
SEDAR tujuan utama ke menara gading.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 4:13 PM