SERAMAI 179 orang pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang berada di kampus Johor Bahru dihantar pulang ke kampung mereka menerusi program Penghantaran Pulang Pelajar IPT Zon Selatan di Dataran UTM, bermula hari ini.  FOTO Ihsan UTM
SERAMAI 179 orang pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang berada di kampus Johor Bahru dihantar pulang ke kampung mereka menerusi program Penghantaran Pulang Pelajar IPT Zon Selatan di Dataran UTM, bermula hari ini. FOTO Ihsan UTM
Mohamed Farid Noh


SERAMAI 179 pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kampus Johor Bahru pulang ke kampung menerusi program Penghantaran Pulang Pelajar IPT Zon Selatan di Dataran UTM, bermula hari ini.

Bagi fasa pertama, mereka dihantar ke beberapa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka (bagi kawasan yang berada di kawasan Zon Hijau sahaja) menggunakan 22 bas, sebuah van termasuk sebuah bas membawa pelajar Politeknik Ibrahim Sultan (PIS).

Dalam kenyataan media hari ini, UTM juga diberi kepercayaan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk mengetuai task force bagi menyelaras pergerakan pelajar di Zon Selatan pulang ketika Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP).

UTM melantik 50 pegawai pengiring yang bertanggungjawab mengiringi pelajar sehingga ke IPD yang berkenaan dan juga berperanan memastikan bas serta pelajar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Setiap pelajar diwajibkan menjalani saringan kesihatan sebelum dibenarkan menaiki bas malah pelajar juga perlu mengisi borang pengisytiharan sihat yang disediakan oleh Pusat Kesihatan Universiti (PKU).

"Selain itu bas yang membawa pelajar pulang juga diwajibkan menjalani kerja nyah cemar termasuk bagasi pelajar oleh 23 anggota bomba membabitkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Skudai, Iskandar Puteri, Pekan Nenas, Pontian dan Pontian Baru," katanya.

Hanya 20 orang pelajar sahaja dibenarkan dalam setiap bas bagi menjaga penjarakan sosial dan mereka diberikan bekalan makanan, topeng muka dan cecair pembasmi kuman.

Seramai 592 orang pelajar UTM memilih untuk kekal tinggal di kampus, namun keperluan asas seperti bantuan makanan akan tetap disediakan seperti biasa di mana universiti memastikan kafeteria dan kedai serbaneka sentiasa beroperasi supaya keperluan asas pelajar tidak terputus.

Sementara itu, Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir Dr Wahid Omar berkata, kelonggaran yang diberikan kepada mereka untuk pulang adalah satu rahmat kepada pelajar dan ibu bapa sempena bulan Ramadan ini setelah berada di kampus lebih 40 hari ketika PKP berlangsung.

"UTM sentiasa komited dalam mengutamakan kebajikan dan kepentingan pelajar dan dengan penghantaran pelajar pulang ini dapat sedikit sebanyak mengurangkan kegusaran pelajar serta melegakan hati ibu bapa mereka.

"Bagaimanapun, pelajar dinasihatkan untuk sentiasa berkomunikasi dengan penasihat akademik dan berusaha mengikuti kelas dalam talian sekiranya tiada halangan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2020 @ 12:05 PM