MOHD Farhan memetik strawberi.
MOHD Farhan memetik strawberi.
Zairee Mohd Yasak

“Boleh ke hidup?” Itu antara soalan yang sering ditanya kepada pengusaha tanaman strawberi tanah rendah di Kampung Solok Duku, Masjid Tanah, Alor Gajah, Melaka, Mohd Farhan Azuan, 29, sejak April tahun lalu.

Usaha mendalami teknik yang betul berkenaan penanaman pokok itu kini membuahkan hasil apabila beliau berjaya menanam lebih 20 baka pokok strawberi melalui kaedah fertigasi di hadapan rumahnya.

Bermula dari baka popular iaitu japanese sweet charlie (JSC) yang diperoleh dari Thailand. Malah, Mohd Farhan kini turut mengusahakan baka lain antaranya cupid, marshmellow, albion, snow rabbit dan shogun yang diperoleh dari serata dunia.

Bapa dua anak itu berkata, pada mulanya dia menanam strawberi untuk membantu isteri, Nurul Ain Khalid, 27, yang mengalami masalah hemoglobin rendah ketika mengandung anak kedua mereka.

“Menurut nasihat doktor, strawberi antara makanan yang membantu mengurangkan masalah itu, maka saya cuba menanamnya sendiri.

“Alhamdulillah, usaha saya berhasil dan bayi pun sihat. Minat itu kemudian saya teruskan dengan menanam baka lain dari Amerika Syarikat, Sepanyol, Jepun, Korea Selatan dan Ukraine,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

MOHD Farhan menunjukkan strawberi tanah rendah.
MOHD Farhan menunjukkan strawberi tanah rendah.

Kaedah fertigasi digunakan Mohd Farhan dibahagikan kepada dua kelompok tanaman iaitu menggunakan pasu dan batas mudah alih. Ia bagi memudahkan proses pemantauan perkembangan tumbuhan itu.

Apa yang lebih menarik, strawberi tanah rendah tidak bermusim jika dibandingkan dengan strawberi yang ditanam di tanah tinggi atau di kawasan dingin.

Mohd Farhan berkata, strawberi yang ditanamnya membiak dengan cepat di bawah sinaran matahari, tapi memerlukan bekalan air yang mencukupi iaitu lima kali siraman sehari.

Bagi mendapatkan buah yang bersaiz besar pula, dia menggunakan kaedah pembuangan bunga dalam tempoh empat bulan ke setahun atau hingga perdu pokok itu membesar.

“Kaedah ini dapat membantu pokok serasi dengan cuaca persekitaran yang panas. Jika penanam tidak menggunakan cara itu, mereka tetap dapat memetik strawberi, tapi ia bermula dengan saiz kecil pada peringkat permulaan pokok itu ditanam sebelum beransur-ansur menjadi besar.

“Jika penanam lebih menumpukan kepada pembiakan baka, kaedah sulur (pucuk yang tumbuh dari batang bawah tanah) digunakan dengan mengasingkan anak pokok ke pasu atau batas yang lain sebelum dipisahkan daripada induk dalam tempoh dua bulan ke atas,” katanya yang memulakan tanaman itu selepas berjaya menanam cili padi menggunakan kaedah sama, selain turut membantu 10 penanam baru dari seluruh negara.

SEBAHAGIAN pokok strawberi yang ditanam.
SEBAHAGIAN pokok strawberi yang ditanam.

Beliau berkata, antara perkara yang lebih menyukarkan penanam atau pembiak ialah apabila terdapat pihak yang mengambil jalan singkat dengan memborong pokok strawberi tanah tinggi matang untuk dipasarkan kepada penanam lain.

“Langkah ini bukan saja merosakkan pasaran tanaman itu, malah merugikan mereka yang ingin menanam strawberi.

“Penanam yang tiada pengalaman akan berasa kecewa pada peringkat permulaan kerana kebiasaannya induk strawberi tidak bertahan lama selepas ditanam di tanah rendah. Namun anak pokok yang berjaya dihasilkan dapat mengadaptasi perubahan cuaca dan terus bertahan serta membiak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 12:35 PM