NOR Ehsan menunjukkan buah strawberi ditanamnya dengan kerjasama UMT di Kampung Jambu Bongkok, Marang. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
NOR Ehsan menunjukkan buah strawberi ditanamnya dengan kerjasama UMT di Kampung Jambu Bongkok, Marang. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
Ahmad Rabiul Zulkifli


LAZIMNYA, pokok strawberi ditanam di tanah tinggi, tetapi berlainan dengan strawberi ditanam seorang lelaki yang menyahut cabaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menanam buah itu di Ladang Penternakan Madu Lebah dan Kelulut di Kampung Jambu Bongkok, Marang.

Hasilnya, 300 pokok strawberi ditanam itu mengeluarkan hasil, malah rasa buah strawberi itu dikatakan lebih manis berbanding strawberi ditanam di kawasan tanah tinggi termasuk Cameron Highlands.

Pengusahanya, Nor Ehsan Abdul Rahman, 41, berkata, dia dengan kerjasama UMT mula menanam 100 pokok strawberi sejak Jun 2018.

“Alhamdulillah dengan menggunakan teknik betul selain penggunaan baja biochar diperkenalkan UMT, pokok strawberi itu berbuah selepas tiga bulan.

“Pada awalnya, saya berasa tidak yakin, maklumlah strawberi biasanya ditanam di kawasan tanah tinggi.

“Bagaimanapun proses tumbesaran pokok strawberi lancar sehingga mengeluarkan hasil membuktikan strawberi sesuai ditanam di kawasan tanah rata," katanya ketika ditemui di Galeri Madu Big Bee Haney di Jalan Jambu Bongkok, Marang, hari ini.

Nor Ehsan berkata, projek penanaman strawberi itu masih di peringkat kajian dan percubaan dijalankan bersama UMT.

Beliau berkata, pada setiap minggu, seramai 20 pengkaji, pensyarah dan penuntut UMT diketuai Dr Wan Zaliha Wan Sembok akan berkunjung ke tapak tanaman untuk menjalankan pemantauan dan kajian.

“Bentuk buah strawberi yang dihasilkan sekarang masih belum mencapai piawai strawberi ditetapkan, ia masih berbentuk bujur dan tidak bulat.

“Bagaimanapun, rasanya lebih manis berbanding strawberi dijual di pasaran dan itu ialah kelebihan strawberi dari kawasan tanah rata," katanya.

Menurutnya, buah strawberi sudah dituai sebanyak empat kali sepanjang enam bulan projek itu dijalankan.

Katanya, selain menguji keberkesanan tanaman strawberi ditanam di kawasan tanah rata, dia merancang untuk mengeluarkan madu kelulut berasaskan strawberi.

“Beberapa sarang kelulut ditempatkan berhampiran tanaman strawberi itu dan lebah kelulut dilihat sudah mula hinggap pada bunga strawberi.

“Melalui proses itu, pada masa akan datang lebah kelulut yang diternak di situ akan menghasilkan madu berasaskan strawberi pula," katanya.

Sementara itu Wan Zaliha berkata, program pemindahan ilmu itu dibiayai dana Asimilasi Pengetahuan dan Teknologi (KTAG2019) UMT.

Beliau berkata, selain suhu dan kelembapan sesuai, strawberi tanah rendah memerlukan teknik pembajaan dan bahan perantaraan efektif bagi memperoleh hasil tinggi.

“Pendebungaan oleh lebah kelulut memainkan peranan sangat signifikan dalam memperoleh bentuk buah cantik dan berkilat.

“Pendebungaan lebah kelulut ke atas strawberi tanah rendah ini adalah hasil idea rakan penyelidik, Prof Madya Dr Wahizatul Afzan Azmi," katanya.

Beliau berkata, campuran sabut kelapa dan arang hitam melalui hasil pembakaran sisa pertanian dengan teknik pyrolysis dan digabung jalinkan dengan semburan baja foliar.

Katanya, baja foliar atau ekstrak rumpai laut yang dikaji mempunyai kandungan hormon tumbuhan dan mineral nutrien tinggi diaplikasikan bagi meningkatkan hasil buah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 January 2020 @ 5:04 PM