HAMDAN (kiri) menunjukkan halia organik.
HAMDAN (kiri) menunjukkan halia organik.
PENGUNJUNG berpeluang menikmati air halia.
PENGUNJUNG berpeluang menikmati air halia.
HALIA organik yang ditanam secara berkelompok.
HALIA organik yang ditanam secara berkelompok.
Mohd Rafi Mamat

Bebas sebarang bahan kimia menjadi kelebihan pada halia organik yang ditanam secara berkelompok di kawasan Gunung Karak, Bentong, Pahang berkeluasan 74.9 hektar ini.

Persekitaran tidak tercemar dan peratus kelembapan tinggi menjadikannya subur serta mempunyai pelbagai khasiat perubatan.

Ketua projek Hamdan Yusop berkata, seramai 50 petani terbabit dalam projek halia organik Gunung Karak yang mula diusahakan awal 2016.

Beliau berkata, ia mendapat sokongan agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

“Petani terdiri daripada penduduk Kampung Tok Muda yang mengusahakan tanaman halia seluas dua hektar dan kerjasama secara berkumpulan memberikan kejayaan kepada projek sulung itu.

“Projek ekonomi di bawah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tok Muda itu hanya menumpukan kepada produk hiliran. Kini sebanyak empat produk berasaskan halia dikeluarkan usahawan desa terdiri daripada wanita,” katanya.

Hamdan berkata, pihaknya tidak memasarkan halia mentah walaupun mendapat permintaan menggalakkan dengan harga tinggi.

Ini kerana semua hasil dibekalkan terus kepada usahawan yang mengeluarkan produk seperti serbuk halia, kuah rojak, jeruk dan jamu.

“Lebih banyak produk hiliran bakal dikeluarkan selepas ini sebagai memenuhi permintaan pengguna tempatan dan luar yang mengakui banyak khasiat pada halia organik.

“Tempoh matang tanaman halia antara 10 bulan hingga setahun. Ia tidak menggunakan baja kimia dan racun menyebabkan saiz halia Gunung Karak agak kecil namun kualitinya pada tahap terbaik.

“Setiap perdu halia mencapai berat antara sekilogram hingga tiga kilogram dengan aktiviti gembur tanah pada setiap pokok dilakukan setiap minggu bagi memastikan jumlah halia bertambah dan tidak rosak,” katanya.

Menurutnya, projek halia organik Gunung Karak yang diusahakan kini turut menjadi produk pelancongan dan mereka yang datang diberi peluang melihat demonstrasi memungut hasil, melawat kawasan tanaman serta mendapat penerangan tanaman.

“Empat produk hiliran kini dimajukan usahawan wanita terdiri daripada penduduk setempat dan produk terbabit dipasarkan di kawasan ini selain beberapa daerah lain.

“Saya sedia bertukar pengalaman dengan pihak berminat mengusahakan tanaman halia organik,” katanya yang bercadang memperluaskan lagi projek itu.

Usahawan jeruk halia muda, Maslinda Kinot, 47, berkata, dia berpuas hati dengan sambutan pengguna terhadap produk dihasilkan hampir setahun lalu itu selepas mendapat tunjuk ajar beberapa pihak.

“Selain jeruk, saya turut menghasilkan serbuk halia dan beberapa proses perlu dilakukan secara tradisional yang tidak mengubah rasa atau khasiat sebenar halia organik Gunung Karak,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Pengarah FAMA Pahang, Rosli Aw Da berkata, pihaknya akan berusaha membantu usahawan produk berasaskan halia Gunung Karak dengan membantu aktiviti promosi dan pelabelan.

Katanya, produk berasaskan halia terutama keluaran Bentong mempunyai permintaan tinggi pengguna. Justeru usaha memperkenalkannya perlu dilakukan secara berterusan di dalam dan luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 11:56 AM