AJARAN Islam dapat bertahan sebagai sebuah agama yang dianuti oleh ramai umat manusia semenjak berzaman kerana sifatnya yang syumul.
AJARAN Islam dapat bertahan sebagai sebuah agama yang dianuti oleh ramai umat manusia semenjak berzaman kerana sifatnya yang syumul.
Datuk Mohd Ajib Ismail

MENYOROTI kembali sejarah kewujudan agama dalam kalangan umat manusia, pelbagai jenis kepercayaan dianuti sama ada agama yang menyembah dewa-dewa dan berhala mahupun agama yang tidak mempunyai tuhan serta berasaskan budaya dan falsafah. Kebanyakan manusia percaya bahawa di sebalik kewujudan alam semesta, terdapat kekuatan dan kekuasaan supranatural yang mengatur dan menciptakan alam. Kekuatan dan kekuasaan tersebut tidak dapat dilihat secara fizikal, namun dipercayai dan diyakini kewujudannya. Secara umumnya agama difahami sebagai suatu konsep penyerahan diri kepada sebuah kepercayaan dan kuasa luar biasa yang lazimnya tidak dapat dilihat. Sebahagian pengkaji pula berpandangan, umat manusia mempercayai kewujudan banyak tuhan sebelum kedatangan agama Islam yang membawa ajaran tentang keyakinan bahawa hanya ada satu Tuhan yang mentadbir alam semesta.

Kepercayaan terhadap keesaan Tuhan disandarkan kepada sebuah kisah yang dinyatakan di dalam al-Quran surah Al-An'am ayat 74-79 bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: "Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata." Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia daripada orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin. Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: "Inikah Tuhanku?" Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: "Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang." Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: "Inikah Tuhanku?" Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: "Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku daripada kaum yang sesat." Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: "Inikah Tuhanku? Ini lebih besar". Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: `Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) daripada apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya). "Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku daripada orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)."

Manusia secara fitrahnya diciptakan oleh Allah SWT dengan naluri kehidupan beragama.  

Firman Allah SWT dalam surah Rum ayat 30 yang bermaksud: "Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut- pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh daripada kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semula jadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." 

Agama dapat memberikan jawapan dan makna yang jelas kepada tujuan kehidupan manusia, menunjukkan kebenaran yang hakiki, menenangkan perasaan cemas dan gundah gulana, serta menyemai pengharapan dan dorongan bagi jiwa. Walaupun manusia diciptakan dengan akal fikiran, namun tidak semua persoalan boleh diselesaikan atau ditangani oleh akal semata-mata. Tanpa agama manusia tidak mampu memahami sepenuhnya tentang asal-usul, erti dan matlamat kehidupan, cara terbaik untuk menjalani kehidupan, persoalan tentang ketuhanan, kehidupan selepas mati, perkara-perkara ghaib seperti malaikat, syurga dan neraka, pembalasan amal dan sebagainya. Bahkan kegemilangan sesebuah tamadun manusia seringkali dikaitkan dengan faktor agama dan kerohanian.

Agama ialah suatu keyakinan dan kepercayaan di dalam hati yang kemudian mendorong kepada amal perbuatan. Ia juga adalah sebuah peraturan atau undang-undang yang wajib dipatuhi supaya umat manusia dapat hidup dengan aman dan tenteram berdasarkan kehendak agama tersebut. Di dalam al-Quran, agama diistilahkan sebagai ad-din yang bermaksud suatu cara hidup atau  way of life  yang diredai oleh Allah.  

Perkara tersebut berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 19 yang bermaksud: "Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisab-Nya."

Sewaktu Nabi Muhammad SAW berhadapan dengan ujian getir dalam menyampaikan risalah Islam, Allah SWT memberikan jaminan bahawa umat manusia akan berbondong-bondong menerima ajaran Islam sebagai agama yang benar yang diwahyukan oleh Allah SWT melalui nabi dan rasul. 

Firman Allah SWT dalam surah Al-Nasr ayat 1-2 yang bermaksud: "Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah), Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai."

Ajaran Islam dapat bertahan sebagai sebuah agama yang dianuti oleh ramai umat manusia semenjak berzaman kerana sifatnya yang syumul, dikenali sebagai sebuah cara hidup sempurna yang mengatur tata cara kehidupan meliputi aspek akidah, ibadah, mua'malah, siasah, sosial dan ekonomi. Islam dikenali sebagai agama yang membawa mesej keamanan, keselamatan dan kesejahteraan, sebaliknya bukan membawa pendekatan paksaan atau berasal daripada ideologi ciptaan manusia yang tertakluk dengan kekurangan dan kelemahan.

Namun begitu, mengapakah masih wujud golongan manusia yang mencipta atau menjadi pengikut kepada agama baharu? Perasaan tidak berpuas hati, protes dan penentangan, ingin mendapatkan pengaruh dan sokongan dan akal fikiran yang tidak dipandu dengan wahyu adalah antara faktor yang mendorong kepada perbuatan tersebut. Sesetengah agama baharu cuba berselindung di sebalik nama keamanan, pertukaran budaya serta kerja-kerja amal dan sukarelawan. Justeru, menjadi tanggungjawab setiap individu, keluarga, institusi pendidikan seperti sekolah, universiti, masjid dan surau serta lain-lain bergandingan untuk memperkukuhkan jati diri seorang Muslim dengan menyampaikan kesedaran tentang ajaran dan kepercayaan yang menyeleweng daripada ajaran Islam agar tidak mudah terjebak dan terpengaruh dengan anasir yang merosakkan akidah. Dalam hal ini, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) terus komited dalam melaksanakan pelbagai program dakwah dan penerangan tentang ajaran Islam kepada masyarakat serta menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa terhadap sebarang ajaran yang didapati menyeleweng daripada ajaran Islam. Hakikatnya iktikad yang mapan terhadap ajaran Islam membebaskan manusia daripada kepercayaan agama palsu. 

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 83 yang bermaksud: "Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain daripada agama Allah? Padahal kepada-Nyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepada-Nya mereka dikembalikan."

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 5:59 AM