ISTIQAMAH solat berjemaah pada akhir Ramadan. FOTO AFP
ISTIQAMAH solat berjemaah pada akhir Ramadan. FOTO AFP
Mohd Rizal Azman Rifin

Alhamdulillah, kita sudah berada di fasa terakhir Ramadan. Pejam celik, kita sudah menuju ke penghujung bulan 1,001 rahmat ini. Apabila sudah berada di fasa terakhir ini, kita seolah-olah sedang memasuki medan perang?

Ini kerana di saat itulah hati kita ditenggelamkan rasa keterujaan untuk menyambut 1 Syawal. Rasa sangat teruja untuk menyambut Aidilfitri menyebabkan kita dihanyutkan dengan pelbagai aktiviti mengadakan aneka persiapan supaya 1 Syawal yang bakal menjelang dapat diraikan dengan penuh kemeriahan.

Jadi, apa impaknya situasi seperti itu? Memang betul rasa keterujaan yang menyelimuti sanubari bagi meraikan Aidilfitri adalah lumrah dan keadaan sebegitu bukan sahaja dirasakan oleh golongan kanak-kanak sahaja, tetapi kita yang dewasa apa kurangnya.

Lihatlah sendiri bagaimana situasi ketika solat berjemaah seperti solat fardu dan solat sunat Tarawih dan Witir di masjid, surau kini sudah terkena tempias aura Syawal. Jika sebelum ini kehadiran jemaah begitu hangat dengan jumlah yang cukup ramai memenuhi setiap ruang solat di dalam masjid/surau.

Namun, sikap dan 'penyakit lama' terus kekal berlaku, iaitu jumlah jemaah merosot dan merudum hingga ada masjid dan surau hanya tinggal dua atau tiga saf sahaja. Jika di peringkat awal dan pertengahan Ramadan, golongan kanak-kanak menjadi 'penghibur utama' yang meriuhkan situasi di rumah Allah, tetapi keadaan itu menjadi sedikit lengang kerana mereka beralih arah dan bertukar gaya dengan melayan 'amukan sambutan pra Syawal' dengan bermain bunga api dan pelbagai aktiviti yang lain lagi.

Pada 10 hari terakhir Ramadan inilah, kita betul-betul sedang 'berjuang' sama ada mahu terus istiqamah mengaut semaksimumnya fadilat Ramadan. Perjuangan antara niat murni untuk kekal berada di saf solat berjemaah atau membiarkan diri dibuai rasa ria untuk beraya dengan mengadakan pelbagai aktiviti memperlengkapkan diri dan rumah kediaman.

Medan tempur ini sangat sengit untuk ditempuh kerana silap perhitungan dan kurang berwaspada dengan gelombang dan amukan nafsu bakal membuatkan kita dibenam ke lembah merugikan kerana membiarkan ganjaran pahala besar 10 Ramadan terakhir begitu sahaja.

Tambah memberi tekanan terhadap kekukuhan istiqamah ialah apabila pusat beli-belah rancak mengadakan promosi jualan raya secara agresif. Fenomena ini sebenarnya sangat membuai naluri dan acap kali kita tewas dengan suasana yang memercikkan aura Syawal. Baik golongan kanak-kanak, apatah lagi kita yang dewasa ini pasti layu dipujuk rayu oleh nafsu agar mendahulukan aktiviti mempersiapkan sambutan raya daripada kekal istiqamah.

Sebenarnya, tidak salah membuat sambutan Aidilfitri. Malah, dalam situasi tertentu, kita amat disaran untuk menyediakan pakaian baru mengikut kadar kemampuan masing-masing. Tetapi, yang sedihnya dan malang sekali apabila persiapan sambut Aidilfitri menyebabkan kita terpaksa menggadai masa untuk meraih fadilat Ramadan yang masih berbaki.

Sedangkan 10 hari terakhir Ramadan adalah 'masa emas' yang seharusnya kita manfaatkan sepenuhnya. Amat rugi seandainya amalan 10 hari terakhir ini tidak diaktifkan secara penuh bertenaga. Kita semua sekarang memasuki 10 hari terakhir bulan Ramadan. Inilah zon masa kemuncak Ramadan kepada umat Islam untuk meningkatkan amal ibadah mereka kepada Allah.

Terdapat padanya satu malam yang sangat mulia dan penuh berkat. Jika kita berjaya melaksanakan amal ibadah, maka kelebihan dan pahalanya adalah sama dengan 1,000 bulan atau 83 tahun. Apakah 'tawaran luar biasa' yang Allah kurniakan untuk umat Nabi Muhammad SAW (kita semua) sanggup kita biarkan berlalu begitu sahaja? Tidakkah hati kita tidak terasa ditarik-tarik untuk memburu malam Lailatul Qadar itu?

Kita selalu membaca kisah umat terdahulu yang dikurniakan umur yang panjang, sedangkan umat Nabi Muhammad SAW jauh lebih singkat. Pasti ada juga terdetik jauh di penjuru hati, betapa beruntungnya umat terdahulu atas kurniaan itu.

Bagi kita umat Islam, lebih-lebih lagi kita yang hidup di waktu mutakhir ini, secara majoritinya hanya berumur sekitar 60 hingga 70 tahun sahaja. Jarang-jarang kita menemui yang mencapai umur lanjut sampai 100 tahun lebih.

Bahkan pada zaman kita ini cukup ramai yang mati seawal usia remaja dan muda kerana berpenyakit, kemalangan, bencana alam dan sebagainya. Jadi, apabila kita meneropong sirah yang meriwayatkan umat Nabi terdahulu yang panjang usianya, tentu kita berasa seolah-olah kita (umat Nabi Muhammad SAW) akan ketinggalan dari sudut memperoleh ganjaran pahala disebabkan singkatnya masa hidup yang ditetapkan Allah.

Sebenarnya, Allah itu Maha Adil khususnya kepada umat Nabi Muhammad SAW yang dijadikan semulia-mulia umat dari kalangan seluruh umat manusia. Allah mengurniakan kepada umat Nabi Muhammad SAW masa, hari, bulan dan malam yang dilipat gandakan pahalanya di sisi Allah SWT.

Maka sudah tentulah daripada semua itu kemuncaknya adalah malam Qadar yang disebut kelebihannya oleh Allah SWT khusus di dalam surah al-Qadr. Amalan Rasulullah SAW adalah contoh dan teladan terbaik untuk diikuti. Baginda adalah manusia yang paling banyak beribadah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT pada malam-malam sebegini walaupun Baginda adalah Nabi yang maksum dari segala dosa.

"Carilah Lailatulqadar pada 10 akhir bulan Ramadan dalam malam ganjil" - (Hadis riwayat Imam Bukhari). Inilah adalah pesanan baginda Rasulullah SAW buat kita semua. Baginda apabila masuknya hari 10 terakhir Ramadan, Baginda akan mengetatkan kain, menghidupkan malam itu dan mengejutkan ahli keluarganya (untuk turut menghidupkan malam )." (Hadis riwayat Imam Bukhari)

Jadi, dua sabda Baginda itu seharusnya menjadi panduan sekali gus kayu ukur untuk menjadi penanda aras sama ada kita mampu memenangi godaan nafsu atau dan keluar sebagai seorang wira yang menjuarai fadilat Ramadan. Biar kita dapat 'menawan' 10 hari terakhir Ramadan dengan amalan diredai Allah SWT.

Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2024 @ 7:00 AM