BAGI mengabdikan diri kepada Allah SWT, seseorang manusia diperintahkan supaya sentiasa bersyukur. - Gambar hiasan
BAGI mengabdikan diri kepada Allah SWT, seseorang manusia diperintahkan supaya sentiasa bersyukur. - Gambar hiasan
Oleh Prof Madya Dr Mohd Shukri Hanapi

Allah SWT menciptakan sumber alam yang amat luas dan tidak terhad itu adalah bagi tujuan kemudahan dan kegunaan manusia. Meskipun manusia dibenarkan menggunakannya, namun ia tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya. Sebaliknya manusia mesti mematuhi etika dan peraturan penggunaan yang ditetapkan oleh Allah SWT.

Salah satu daripada etika dan peraturan itu ialah makan makanan dari sumber yang halal lagi baik. Dalam al-Quran, terdapat banyak ayat yang menjelaskan berkaitan perkara ini. Antaranya ialah firman Allah SWT yang bermaksud, "Wahai para Rasul, makanlah daripada benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal soleh; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan segala perkara yang kamu kerjakan." (Surah al-Mu'minun ayat 51).

Firman SWT lagi yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman, makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadah kepadaNya." (Surah al-Baqarah ayat 172).

Kedua-dua ayat ini kemudiannya dihuraikan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud, "Wahai manusia! Sesungguhnya Allah SWT itu baik. Dia tidak menerima sesuatu amalan kecuali yang baik juga. Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan kepada orang-orang Mukmin seperti yang Dia perintahkan kepada para RasulNya. Maka Allah SWT berfirman: Wahai para Rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." (Surah al-Mu'minun ayat 51). FirmanNya lagi: "Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadah kepadaNya." (Surah al-Baqarah ayat 172). Seterusnya, Rasulullah SAW menyebutkan tentang lelaki yang jauh perjalanannya, rambutnya kusut masai lagi berdebu, dua tangannya menadah ke langit memohon doa: "Wahai Tuhan! Wahai Tuhan! Sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, dibekalkan dengan bahan-bahan haram, maka bagaimana doanya diperkenankan" (Riwayat Muslim dan al-Tirmizi).

Berdasarkan hadis ini jelas bahawa para Rasul dan orang Mukmin diperintahkan supaya makan makanan yang berkhasiat, suci daripada najis dan diperoleh menerusi sumber-sumber yang halal dan diharuskan syarak. Memakan makanan yang halal dan suci mempunyai hubungan yang erat dengan amalan kebaikan, sebaliknya memakan makanan yang haram dan kotor tidak mendatangkan keberkatan sekali gus menjauhkan seseorang itu daripada rahmat Allah SWT. Berhubung hal ini, Sahl bin 'Abdullah berkata, "Keselamatan itu terletak pada tiga perkara iaitu makan makanan yang halal, melaksanakan perkara fardu atau wajib dan mencontohi Nabi SAW." Selain itu, Abu 'Abdullah al-Sajiy atau nama sebenarnya Sa'id bin Yazid r.a. pula berkata, "Kesempurnaan ilmu itu terletak pada lima perkara iaitu mengenali Allah SWT, mengetahui kebenaran, melakukan sesuatu amalan dengan ikhlas kerana Allah, SWT beramal mengikut al-Sunnah dan makan makanan yang halal. Sekiranya salah satu dari lima perkara ini gugur, maka sesuatu amalan yang dilakukan itu tidak diangkat atau tidak diterima."

Justeru, penggunaan sumber alam hanya terhad kepada yang baik-baik dan halal saja. Hal ini disebabkan oleh matlamat akhir kehidupan manusia itu adalah untuk mencapai keredaan Allah SWT. Tidak mungkin matlamat ini tercapai jika aspek penggunaan sumber alam ini tidak dipedulikan dan diambil berat. Selain ayat 51 Surah al-Mu'minun dan ayat 172 Surah al-Baqarah itu, terdapat dua ayat lain yang memperincikan lagi tentang perkara ini. Allah SWT berfirman yang bermaksud "Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu." (Surah al-Baqarah ayat 168).

FirmanNya lagi yang bermaksud, "Dan makanlah daripada rezeki yang telah diberikan (oleh) Allah SWT kepada kamu iaitu yang halal lagi baik, dan bertakwalah kepada Allah SWT yang kepadaNya saja kamu beriman." (Surah al-Ma'idah ayat 88).

Menurut al-Qurtubiy dalam tafsirnya al-Jami' li Ahkam al-Qur'an, perkataan al-akl (makan) dalam ayat-ayat tersebut bermaksud memanfaatkan sesuatu dari segala aspek. Dalam perkataan lain, ia merangkumi makan, minum dan memanfaatkan segala sumber alam yang diciptakan oleh Allah swt untuk kemudahan dan kegunaan manusia.

Oleh itu, maksud kedua-dua ayat ini ialah Allah SWT memerintahkan umat manusia supaya memilih makanan dan menggunakan segala kemudahan sumber alam yang halal (halalan) dan baik (tayyiban) daripada rezeki kurnianNya. Al-Tabariy dalam Jami' al-Bayan fi Takwil al-Qur'an menjelaskan bahawa halal di sini merujuk kepada sesuatu yang tidak diharamkan oleh syariat, manakala baik pula merujuk kepada sesuatu yang bukan najis serta tidak memudaratkan badan dan akal manusia.

Meskipun manusia diberi kemudahan menggunakan segala sumber alam yang halal dan baik itu, mereka tetap dikehendaki sentiasa mengabdikan diri kepada Allah SWT. Misalnya, umat manusia ditegah daripada mengikuti segala jejak langkah syaitan (Surah al-Baqarah ayat 168). Khutuwat di sini bermaksud amalan-amalan dan langkah-langkah syaitan yang penuh dengan kesesatan dan dosa seperti pemborosan dan pembaziran. Ia patut dihindari kerana dapat menjauhkan umat manusia daripada mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Oleh itu, untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT, seseorang manusia diperintahkan supaya sentiasa bersyukur (Surah al-Baqarah ayat 172) dan bertakwa (Surah al-Ma'idah ayat 88) kepada Allah SWT di atas segala kurniaan rezeki yang tidak terhad itu.

Penulis Pensyarah di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2024 @ 7:01 AM