JANGAN sampai terlupa konsep kesederhanaan dalam pemakanan untuk keseimbangan dan kesihatan diri.
JANGAN sampai terlupa konsep kesederhanaan dalam pemakanan untuk keseimbangan dan kesihatan diri.
Prof Madya Dr Azri Bhari

Sebahagian besar dalam kalangan masyarakat turut mengambil peluang untuk menziarahi saudara-mara dan rakan taulan dalam merayakan hari kegembiraan sepanjang bulan Syawal. 

Budaya open house atau juga dikenali rumah terbuka sudah menjadi sebahagian daripada amalan masyarakat di Malaysia, bahkan dilihat baik dari kacamata Islam kerana dapat mengeratkan hubungan silaturahim. 

Hari Raya Aidilfitri sememangnya disambut dengan meriah oleh masyarakat di Malaysia dengan pelbagai juadah makanan yang dihidangkan bergantung kepada tradisi masing-masing. 

Juadah yang disediakan seperti ketupat, lemang dan rendang yang merupakan identiti makanan masyarakat Melayu Islam di Malaysia di samping pelbagai jenis hidangan nasi, lauk pauk dan kuih raya. 

Namun dalam menikmati juadah di bulan Syawal, perlu diingatkan supaya tidak berlebihan atau melampau kerana Islam sangat mementingkan kesederhanaan dalam segala tindakan dan perkara dilakukan. 

Hakikatnya, semua perkara yang berlebihan atau melampau dilarang dalam Islam kerana boleh mendatangkan kemudaratan dan bahaya. Sifat manusia yang menzalimi diri telah disebut oleh Allah SWT dalam ayat yang bermaksud: "Tuhan (Allah) tidak menzalimi mereka itu (maksudnya manusia), tetapi merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri." (Surah al-Rum: 9)

Berdasarkan ayat di atas, terbukti bahawa manusia sentiasa membuat sesuatu untuk memenuhi kehendak nafsu sehingga menjerumuskan atau menyeksakan diri kepada keadaan yang tidak baik.

Kesihatan manusia sebenarnya amat berkait rapat dengan pemakanan seharian. Terdapat beberapa panduan dan bimbingan yang diberikan oleh Islam dalam menikmati juadah hidangan dalam kehidupan seharian supaya kekal sihat dan cergas. 

Pertama,  makan dalam kuantiti sekadar dan secukupnya. Makan terlalu banyak tentu akan membuatkan berat badan seseorang tidak stabil. Makanlah makanan secukupnya, jangan berlebihan kerana Islam tidak menyukai tindakan berlebihan dalam sesuatu perkara.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Makan dan minumlah, tetapi jangan berlebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebihan." (Surah al-'Araf: 31)

Konsep makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang perlu diterapkan dalam kehidupan. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Kami adalah kaum yang tidak makan kecuali lapar dan apabila kami makan, kami berhenti sebelum kenyang." (Riwayat Ahmad: no. 16735)

Selain itu, perut yang kosong daripada makanan mempunyai manfaat, berbanding perut yang penuh mempunyai kesan buruk. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak ada tempat yang lebih buruk daripada memenuhi perut keturunan Adam. Cukup keturunan Adam mengambil apa yang dapat menguatkan tulangnya. Jika ia adalah sesuatu yang perlu untuk diisi, maka satu pertiga makanannya, satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga untuk nafasnya." (Riwayat al-Tirmizi: no. 2380)

Berlebihan dalam makan adalah tidak baik untuk kesihatan kerana boleh membawa kepada risiko obesiti dan menyukarkan pemprosesan makanan dalam bahagian perut seseorang. 

Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa perut adalah pusat segala penyakit. Sekiranya perut diisi makanan terlalu kenyang ia akan mematikan fikiran dan membutakan mata hati. Sebaliknya menjaga keseimbangan perut akan menajamkan mata hati dan fikiran.

Kedua,  memastikan status 'halalan tayyiban' (halal dan baik) sesuatu makanan. Makanan halal dan baik perlu diambil perhatian supaya lebih terjamin kebersihan dan keselamatan. Terlebih utama ialah status kehalalan makanan juga sangat penting kerana menjadikan tubuh akan lebih sihat dan bertenaga walaupun makanan yang diambil tidak mewah dan sedikit.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Makanlah makanan yang halal lagi baik daripada yang Allah telah rezekikan kepadamu dan bertakwalah kepada Allah yang kamu beriman kepada-Nya." (Surah al-Nahl: 114)

Selain itu, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar hanya kepada Allah kamu menyembah." (Surah al-Baqarah: 172)

Penggunaan konsep 'halalan tayyiban' dapat menentukan sesuatu makanan merangkumi aspek tersurat (fizikal) dan tersirat (yang tidak nampak secara zahir). Halal merupakan pematuhan kepada syariah yang memerlukan standard atau piawaian bagi sesuatu objek atau tindakan tertentu

'Tayyiban' ditakrifkan sebagai makanan yang bersih tanpa sebarang kotoran, sumber yang halal, pengambilannya tidak mendatangkan penyakit dan mudarat dan mempunyai nilai pemakanan serta elemen manfaat. Penggunaan 'tayyib' juga menumpukan kepada kehalalan sesuatu makanan dengan ciri-ciri baik, sedap, lazat dan berkhasiat.

Ketiga,  mengambil makanan yang berkhasiat dan gizi seimbang. Umat Islam dianjurkan mengambil pemakanan seimbang untuk kesihatan tubuh badan supaya nilai zat yang terkandung dalam makanan memberi kebaikan untuk tubuh badan.

Gizi bermaksud makanan yang dimakan setiap hari. Gizi yang seimbang adalah penting bagi manusia. Banyak faktor yang mendorong kepada keperluan gizi seimbang, antaranya termasuklah aktiviti seharian kerana akan bergantung kepada keperluan tenaga yang mencukupi daripada makanan yang dimakan. Selain itu, kelas makanan yang betul juga diperlukan bagi menjamin pertumbuhan tumbesaran dan juga menjaga kesihatan.

Keperluan makan bagi tubuh ialah bukan hanya terletak pada kuantiti makanan yang dimakan setiap hari, tetapi juga dari nilai gizi yang terkandung di dalamnya. Perbanyakkan mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan selari dengan cara pemakanan yang dilakukan oleh Nabi SAW.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa setiap pagi memakan tujuh butir kurma 'Ajwah, maka pada hari itu akan terhindar daripada racun dan sihir." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Selain itu, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya minuman yang paling disukai oleh Rasulullah SAW adalah 'al-Hulwa al-Barid' (minuman manis yang dingin)." (Riwayat al-Tirmizi)

Lazimnya, juadah di musim perayaan Aidilfitri atau rumah terbuka amat menyelerakan terutama selepas sebulan berpuasa, namun jangan sampai terlupa konsep kesederhanaan dalam pemakanan untuk keseimbangan dan kesihatan diri.

Penulis Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM)  Shah Alam, Selangor

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 6:00 AM