NAMA Briged al-Qassam, sayap tentera Hamas diambil sempena nama seorang tokoh pejuang mujahidin Palestin. FOTO AFP
NAMA Briged al-Qassam, sayap tentera Hamas diambil sempena nama seorang tokoh pejuang mujahidin Palestin. FOTO AFP
Dr Mohd Khafidz Soroni

Dalam siri perang Palestin-Israel, nama Briged al-Qassam sering muncul dalam medan pertempuran sengit yang berlaku. Nama Briged al-Qassam yang juga sayap tentera Hamas sebenarnya diambil sempena nama seorang tokoh pejuang mujahidin Palestin yang terkenal bernama Syeikh Izzuddin al-Qassam atau nama penuhnya Syeikh Muhammad Izzuddin bin Abd al-Qadir al-Qassam yang gugur syahid genap 88 tahun lalu bulan ini.

Syeikh 'Izzuddin dilahirkan di Jabalah, Syria pada 1883. Bapanya seorang ahli sufi yang amat soleh dan warak. Pada 1896, ketika Izzuddin berumur 14 tahun, bapanya menghantar beliau untuk belajar di Universiti Al-Azhar, Mesir yang menyediakan peringkat pengajian lebih tinggi pada masa itu. Di Mesir, Izzuddin gigih menimba ilmu daripada guru di Al-Azhar sehinggalah beliau tamat pengajian pada 1904.

Setelah pulang ke tanah air, beliau mempelajari pula ilmu tasawuf daripada bapanya sendiri yang juga pemimpin sebuah tarikat tasawuf. Malah, selepas kewafatan bapanya, beliau mengambil alih tempat bapanya sebagai pemimpin tarikat berkenaan. Syeikh Zaki Mujahid menamakan tarikatnya sebagai Tariqat Syaziliyyah. Kata beliau dalam kitab al-A'lam as-Syarqiyyah (jld 1, hlm. 349): "Syeikh Izzuddin al-Qassam adalah syeikh Zawiyah Syaziliyyah di Jabalah al-Adhamiyyah, utara Syria." Namun, Muhammad Hasan Syurrab dalam bukunya Izzuddin al-Qassam Syaikhul Mujahidin fi Filastin (hlm. 33) menyebutkan, nama tarikat yang dibawa oleh bapa beliau ialah Tariqat Qadiriyyah.

Dalam fasa ini, beliau gemar menelaah kitab tasawuf di samping mengajar dan memberi bimbingan agama sehingga amat disayangi masyarakat sekeliling. Tatkala Perancis menjajah Syria seusai Perang Dunia Pertama pada 1918, beliau bangkit menentang mereka dengan bersungguh-sungguh dan menyeru kepada semua muridnya bahawa hukum berjihad pada saat itu adalah wajib. Beliau dengan tegas menggesa mereka supaya bangkit melaksanakan kewajipan berjihad. Bersama muridnya, beliau bergabung dengan pejuang yang lain. Penentangan ini membuatkan pihak Perancis berasa terancam, lantas mengeluarkan perintah hukuman mati ke atasnya. Namun, beliau berjaya meloloskan diri dan berhijrah ke Haifa, Palestin pada 1920.

Di Palestin, beliau aktif menyeru masyarakat Islam agar bangkit melaksanakan kewajipan berjihad di samping mengingatkan mereka bahaya gerakan Zionisme yang mula bertapak di Palestin melalui bantuan pihak Inggeris. Seruan jihad yang beliau laungkan bukan semata-mata melibatkan jihad menentang musuh, malah turut menitikberatkan jihad melawan hawa nafsu sebagai proses menyucikan jiwa. Ini kerana jiwa yang bersih pasti tidak akan gentar dengan ujian dan kematian. Beliau cukup terkenal dengan syiar perjuangannya: "Jihad ini adalah menang atau mati syahid."

Dengan segala bantuan kewangan yang ada beliau berusaha membeli senjata untuk murid dan pengikutnya. Beliau bukan seorang menteri atau pemimpin politik, tetapi hanyalah seorang alim yang tidak rela bangsanya dijajah dan dihina.

Pada 20 November 1935, pihak Inggeris dengan kekuatan yang besar berjaya mengepung beliau bersama lapan pengikutnya sehingga berlaku pertempuran hebat yang berlangsung selama berjam-jam. Hingga akhirnya beliau dan tiga pengikutnya gugur syahid dalam pertempuran tersebut. Kesyahidan beliau menjadi inspirasi kepada ramai pejuang yang ikhlas berjuang bagi membebaskan tanah air mereka daripada cengkaman musuh yang membawa kepada tercetusnya revolusi besar di Palestin pada 1936. (Lihat: al-Butulah wa al-Fida' 'inda as-Sufiyyah oleh As'ad al-Khatib, hlm. 225-227)

Syeikh Izzuddin al-Qassam tidak banyak menghasilkan karya penulisan kerana masanya banyak dihabiskan di medan dakwah dan jihad. Namun, antara sumbangannya yang dapat ditelaah ialah kitab An-Naqd wa al-Bayan yang disusun bersama sahabatnya, Syeikh Muhammad Kamil al-Qassab mengenai masalah menyaringkan suara dengan bertahlil, bertakbir dan seumpamanya ketika mengiringi jenazah. Dalam membahaskannya, mereka bukan sahaja merujuk kepada pandangan ulama fiqah, bahkan merujuk juga kepada pandangan ulama sufi seperti Syeikh Ibn Arabi, Imam as-Sya'rani, gurunya Syeikh Ali al-Khawwas dan Syeikh Abd al-Ghani an-Nabulusi. Ini membuktikan betapa luasnya pembacaan mereka dalam masalah yang dibahas.

Demikianlah sekelumit daripada riwayat hidup Syeikh Izzuddin al-Qassam, seorang alim Azhari, bertarikat sufi dan berfahaman Ahlus Sunnah Waljamaah (ASWJ). Maka itu, jelas bahawa Briged al-Qassam yang mengabadikan Syeikh Izzuddin al-Qassam pada nama pasukan mereka adalah kumpulan yang berpegang dengan fahaman ASWJ. Anehnya, entah dari mana muncul tiba-tiba tuduhan bahawa mereka ini berfahaman Syiah. Padahal amat mustahil bagi sesuatu gerakan untuk menjadikan tokoh yang bukan daripada fahaman mereka sebagai idola dan sumber inspirasi.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 7:02 AM