Briged Al-Qassam
Briged Al-Qassam
Mohd Rozaimy Ridzuan

Mantera 'belia adalah pemimpin dan penentu masa depan negara' begitu sinonim dikaitkan dengan golongan belia.

Golongan belia kini semakin mendapat tempat di hati penggubal dasar sehinggakan hampir keseluruhan dasar-dasar kerajaan tersisip dengan agenda perjuangan belia.

Kerajaan Malaysia mengiktiraf 15 Mei setiap tahun sebagai hari belia dan pengiktirafan itu mencerminkan bahawa kerajaan meletakkan golongan belia sebagai pemacu bersama ke arah membangunkan negara.

Kecanggungan langkah pihak kerajaan dalam menangani isu pokok belia dikhuatiri akan menjejaskan legitimasi kerajaan pada masa hadapan.

Tinggal lagi golongan belia perlu mempersiapsiagakan diri untuk turut sama mencurahkan idea dan tenaga dengan bermodalkan pemikiran rasional yang tinggi dan disulami dengan akhlak yang terpuji.

Peristiwa pertempuran antara Israel-Palestin baru-baru ini sedikit sebanyak membuka ruang untuk kita berfikir sejenak bagaimana Briged Al-Qassam yang rata-rata nya adalah golongan belia berjaya memberi tentangan yang hebat kepada rejim Zionis.

Briged yang digelar sebagai 'pemuda perindu syahid' ini begitu digeruni oleh Rejim Zionis Israel kerana begitu hebat memberi serangan balas terhadap mereka walaupun memiliki peralatan ketenteraan yang secara relatifnya kurang canggih berbanding tentera Zionis.

Sifat keberanian yang ada, disulami dengan keperibadian Mukmin sejati inilah yang sepatutnya diteladani oleh belia Malaysia supaya belia dapat membawa Malaysia ke satu destinasi pembangunan yang belum pernah lagi dicapai oleh negara.

Majoriti anggota Briged Al-Qassam memiliki kecerdasan akal yang tinggi kerana mereka mengangkat martabat ilmu dan sering hadir di majlis pengajian dan halaqah ilmu.

Hal ini jelas menunjukkan bahawa briged ini bukan sahaja berjihad secara fizikal dalam mempertahankan negara, malah mereka juga berjihad dalam memperjuangkan budaya keilmuan.

Mereka menggunakan kecerdasan akal fikiran untuk membangunkan senjata kententeraan mereka sendiri dengan mengumpulkan saki-baki roket yang cuba dilepaskan oleh Israel ke Gaza, namun tidak berjaya meletup pada ketika itu.

Selain itu, anggota briged ini membangunkan semula ratusan peluru yang terdapat pada kapal perang British dalam Perang Dunia Pertama dulu untuk membina roket baharu mereka.

Bayangkan bagaimana peluru yang 'bersemadi' di dalam kapal British sejak lebih 100 tahun lalu masih lagi boleh digunakan oleh briged ini untuk membuat roketnya sendiri sedangkan pakar persenjataan British pun menyifatkan perkara itu adalah mustahil. Anggota Bridged Al-Qassam juga menjauhi amalan merokok.

Mereka berpendapat bahawa amalan menjauhkan diri dari aktiviti merokok adalah antara perkara pokok yang perlu ada pada setiap anggota briged sebelum mereka melakukan perkara yang lebih besar iaitu mengalahkan tentera musuh.

Bagi mereka, jikalau nafsu untuk merokok pun tidak berjaya dilawan, lupakan saja untuk melawan tentera musuh.

Memang benar sekiranya diperhalusi sebaiknya, belia di Malaysia jauh terkehadapan dari segi politik, ekonomi dan sosial berbanding belia di Palestin.

Ia berlaku kerana mereka menghadapi cabaran dalaman dan luaran yang begitu hebat sehingga menjadikan ekonomi negara mereka terbantut.

Namun, pasti ada perkara baik yang boleh diteladani oleh belia di Malaysia seperti yang dinyatakan tadi. Belia di Malaysia perlu memartabatkan ilmu pengetahuan kerana perjuangan menuntut ilmu adalah satu bentuk jihad.

Belia boleh berjihad dengan menggunakan kepetahan lidah, kebolehan menulis dan kebolehan dalam pelbagai ilmu pengetahuan terutamanya dalam bidang sains dan teknologi.

Hari ini, belia digesa untuk melengkapkan diri dengan ilmu ekonomi digital bagi memastikan kelangsungan hidup dalam suasana pandemik yang nampaknya tidak berkesudahan.

Tidak lama lagi, golongan muda belia seawal usia 18 tahun akan diberikan hak untuk mengundi dalam pilihan raya.

Golongan belia perlu bijak memilih ketua dan parti politik yang betul-betul berupaya membawa negara ke arah pembangunan yang mampan dan bukan bersifat retorik semata-mata.

Belia perlu menggunakan dasar sebagai alat pengukuran untuk memilih kerajaan baharu.

Hal ini menuntut belia sentiasa cakna mengenai dasar-dasar kerajaan terdahulu dan semasa dalam membuat keputusan parti politik mana yang selayaknya diangkat sebagai kerajaan.

Belia yang tidak mempunyai ilmu akan membuat keputusan pincang dan menjadi lalang yang boleh dimanipulasikan oleh pihak tertentu dalam meraih undi.

Keputusan yang pincang itulah nanti akan merugikan golongan belia dan seterusnya merencatkan usaha untuk mencapai negara maju.

Jangan pula nanti selepas pilihan raya berlangsung, rakyat dilihat sebagai anjing menyalak di ekor gajah.

Selain itu, belia di Malaysia patut mencontohi sifat anggota Briged Al-Qassam yang tidak merokok.

Cerita mengenai bahana merokok ini sudah lama diperkatakan, tetapi masih tidak berjaya menghantui pemikiran perokok tegar untuk berhenti merokok.

Kajian yang dijalankan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendapati kanak-kanak seawal umur lima hingga tujuh tahun sudah mula terdedah dengan aktiviti merokok.

Selain itu, kajian dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati kes kematian disebabkan Covid-19 adalah lebih tinggi di kalangan perokok berbanding pesakit yang tidak merokok.

Di Malaysia, lebih 4.7 juta orang berumur 15 tahun dan ke atas adalah perokok. Oleh itu, marilah bersama-bersama membangunkan negara dengan cara memartabatkan ilmu dan menjauhi amalan merokok supaya belia yang ada pada hari ini betul-betul menjadi pemegang taruh negara dan bukannya mempertaruhkan negara.

Penulis adalah Pensyarah Dasar Awam di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 6:15 AM