UCAPAN takbir  ‘Allahuakbar’  adalah ucapan mulia bagi membesarkan Allah SWT seperti yang dilakukan pada hari raya. FOTO Arkib NSTP
UCAPAN takbir ‘Allahuakbar’ adalah ucapan mulia bagi membesarkan Allah SWT seperti yang dilakukan pada hari raya. FOTO Arkib NSTP
Dr Mohd Khafidz Soroni

Ucapan takbir iaitu 'Allahuakbar' (Allah Maha Besar) adalah ucapan mulia bagi membesarkan Allah SWT. Apabila takbir diucapkan, kita wajib menyedari dan mengetahui bahawa Allah SWT itu lebih besar dan agung berbanding segala sesuatu yang lain selain daripada-Nya. Malah, segala sesuatu yang lain itu tidak layak untuk dibesarkan atau ditinggikan, apatah lagi ditakutkan.

Apabila kita bertakbir bererti kita membesarkan Allah SWT dan mengecilkan yang lain daripada-Nya. Maka itu, ucapan ini disyariatkan dalam azan dan iqamah yang dilaksanakan lima kali sehari. Begitu juga ketika kita melakukan takbiratul ihram dan takbir intiqal dalam setiap ibadah solat. Ia juga disyariatkan dalam takbir Aidilfitri dan Aidiladha, dua perayaan dan hari kegembiraan bagi umat Islam. Semuanya bagi membesarkan dan mentakzimkan Allah SWT, Tuhan semesta alam yang mencipta dan mengurus tadbir segala makhluk yang dijadikan. Tiada yang lebih besar selain daripada-Nya.

Bagaimanapun, bertakbir tidak hanya terbatas pada semua perkara yang disebutkan di atas. Malah, Nabi SAW juga pernah melaungkan takbir ketika hendak melancarkan peperangan. Ini berlaku ketika perang Khaibar pada tahun ketujuh Hijrah ketika baginda hendak menyerang kaum Yahudi Khaibar yang melakukan pengkhianatan. Baginda SAW bersabda: "Allahuakbar. Hancurlah Khaibar. Sesungguhnya apabila kami turun di kawasan sesuatu kaum, maka sudah tentu buruklah hari orang yang telah diberikan amaran itu." Baginda SAW mengulanginya sebanyak tiga kali. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Baginda SAW juga diriwayatkan pernah mengucapkan takbir ketika gembira dengan kemenangan yang diraih serta kedatangan ahli Yaman. Kata Ibn Abbas RA: Sewaktu Nabi SAW berada di Madinah, baginda pernah bersabda: "Allahuakbar. Allahuakbar. Telah datang pertolongan Allah. Telah datang pembukaan. Telah datang ahli Yaman, iaitu satu kaum yang bersih hati mereka lagi mudah ketaatan mereka. Iman itu bersifat Yaman. Fiqah itu bersifat Yaman. Hikmah itu bersifat Yaman." (Riwayat Ibn Hibban dalam Sahihnya) Maksudnya, diumpamakan iman, fiqah dan hikmah sedemikian adalah disebabkan sifat bersih hati dan mudah taat yang ada pada ahli Yaman terbabit.

Selain itu, Nabi SAW turut memperakukan takbir yang diucapkan oleh sebahagian sahabatnya dalam situasi tertentu. Antaranya, takbir Haram bin Milhan RA ketika ditikam seorang kafir musyrik sewaktu beliau dan 70 sahabat lain diutuskan baginda SAW untuk berdakwah kepada Bani Amir. Namun, apabila tiba di telaga Ma'unah mereka semua diserang dan dibunuh oleh kabilah Ri'il, Zakwan dan Usayyah. Ketika Haram RA ditikam, beliau mengucapkan: "Allahuakbar. Aku telah berjaya, demi Tuhan Kaabah!" Peristiwa ini menyebabkan baginda SAW amat sedih, lalu melakukan doa qunut nazilah selama 40 hari. Dalam riwayat lain, 30 hari. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Antaranya, seorang lelaki pernah datang kepada Nabi SAW lalu bertanya mengenai amalan jahiliyyah: "Apa pendapat tuan, seorang lelaki yang melakukan segala jenis dosa hingga tiada satu dosa pun yang ditinggalkannya. Di samping, dia juga tidak meninggalkan seorang wanita pun semasa musim haji melainkan dia mendatanginya (untuk berzina). Maka, apakah ada taubat lagi baginya?" Balas baginda: "Apakah kamu telah memeluk Islam?" Jawabnya: "Adapun aku, maka aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya dan sesungguhnya engkau pula adalah utusan Allah." Lalu sabda Nabi SAW: "Ya. Engkau buatlah kebaikan dan tinggalkan kejahatan. Maka, Allah akan menjadikannya untukmu sebagai kebaikan seluruhnya." Beliau bertanya lagi: "Termasuk semua perbuatan khianat dan zalimku (ketika jahiliah)?" Jawab baginda SAW: "Ya." Lantas katanya: "Allahuakbar." Beliau pun terus bertakbir dan berlalu sehingga hilang daripada pandangan. (Riwayat al-Tabarani. Hadis hasan)

Ringkasnya, takbir boleh diucapkan dalam apa jua situasi yang sesuai untuk kita membesarkan Allah SWT dan dalam waktu sama juga dapat mengecilkan, bahkan memadamkan dalam jiwa segala sesuatu yang lain daripada-Nya. Malah, Imam an-Nawawi dalam al-Azkar menganjurkan supaya bertakbir untuk memadamkan sesuatu kebakaran, berdasarkan hadis: "Apabila kamu sekalian melihat kebakaran, maka bertakbirlah. Sesungguhnya takbir itu dapat memadamkannya." (Riwayat Ibn as-Sunni. Hadis daif)

Walaupun hadis ini daif, namun harus diamalkan sebagai fadilat ucapan takbir, bahkan di dalamnya juga sebenarnya tersirat permohonan bantuan kepada Allah SWT. Jika kita dapat membesarkan Allah SWT ketika orang lain membesarkan dan memandang tinggi atau gerun sesuatu yang lain daripada-Nya, mengapa takbir perlu dihalang?

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 7:01 AM