FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Prof Madya Dr Mohd Ashrof Zaki Yaakob

Kecemerlangan ibadah pada bulan Ramadan seharusnya diteruskan ketika Syawal kini serta bulan-bulan seterusnya. Melalui hari-hari yang berlalu pada Ramadan tidak lengkap tanpa menjadikan al-Quran sebagai peneman utama yang menjadi kelaziman seorang Mukmin pada bulan mulia itu.

Bulan mulia ini merupakan kesempatan terbaik untuk mengkhatamkan bacaan 30 juzuk, di samping mentadabbur setiap isi kandungan dan pengajaran daripada surah-surah di dalam al-Quran.

Al-Quran al-Karim merupakan kitab suci yang mengandungi segala ilmu dan petunjuk yang menjadi pembimbing manusia ke jalan yang benar. Maka, tidak hairanlah sekiranya dalam setiap diri umat Islam meletakkan al-Quran sebagai dasar dan matlamat utama bagi tujuan hidupnya. Melalui al-Quran, kita meraih pelbagai faedah serta hikmah daripada kemukjizatan ayat-ayat di dalamnya. Ini termasuklah teras ilmu dan nilai ketakwaan, keadilan, menjaga hubungan sesama insan, bahkan tanggungjawab kita terhadap alam sekitar termasuk haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Begitulah sifat al-Quran iaitu kalamullah yang mulia menjadi panduan dan petunjuk sepanjang zaman.

Nilai dan panduan yang digagaskan dalam al-Quran sangat sesuai diterapkan pada setiap zaman dan keadaan. Kitab al-Quran yang tiada syak di dalamnya dan menjadi panduan bagi mereka yang beriman. Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 2 yang bermaksud: "Kitab Al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya, ia menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa."

Sebagai hamba yang diciptakan oleh Allah SWT di atas muka bumi ini, kita hendaklah sentiasa mendekatkan diri dengan al-Quran. Pada setiap masa, al-Quran perlu dijadikan teman sepanjang kehidupan, susah mahupun senang, ketika lapang ataupun dihambat kesibukan urusan dunia. Hendaklah kita sentiasa merujuk dan memandu diri ke arah jalan kebenaran melalui panduan al-Quran.

Menjadikan Al-Quran sebagai teman bererti sentiasa hampir, mendekati, mendampingi dan tidak mudah lupa dengannya. Teman atau sahabat yang kita rapati ini akan terus hampir dengan kita bukan sahaja di dunia fana malah akan menjadi teman setia kita ketika berada di alam barzakh dan di akhirat nanti.

Sekiranya kita tidak menjadikan al-Quran sebagai teman sejati dalam hidup ini, dikhuatiri akan diambil kesempatan oleh syaitan untuk mempengaruhi setiap perbuatan dan tindakan yang kita lakukan. Jiwa kita yang kosong pastinya akan diselubungi dengan hasutan yang akan merosakkan diri. Oleh itu, dekatkanlah diri dengan al-Quran dan jauhilah diri kita daripada gangguan serta hasutan syaitan kerana ia musuh utama manusia. Ini selaras dengan peringatan Allah SWT melalui firmannya dalam surah al-Zukhruf ayat 36 yang bermaksud: "Sesiapa yang berpaling daripada pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (al-Quran), kami adakan baginya Syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya."

Al-Quran sebagai teman sejati mencerminkan manifestasi ubudiyyah sangat mendalam bagi diri mukmin. Teman sejati adalah penting dalam memberi panduan dan dorongan untuk sentiasa berada di jalan Allah SWT. Teman atau sahabat yang baik akan memberi nasihat dan galakan untuk terus berada di jalan takwa. Sekiranya tiada teman sejati yang memandu ke arah kebenaran, mana mungkin kita dapat menzahirkan kecintaan dan kasih sayang kerana Allah SWT.

Oleh itu, untuk memastikan al-Quran hadir dalam diri kita dan hidup kita sentiasa dipandu oleh-Nya, terdapat beberapa kaedah untuk menjadikan al-Quran sebagai teman sejati. Pertama, sebagai umat Islam, kita perlu mengambil peluang untuk sentiasa mempelajari al-Quran, belajar membacanya, memahami makna ayat-ayat yang dibaca dan berusaha menghayatinya dalam segenap kehidupan. Al-Quran adalah kitab hidayah dan petunjuk, pengubat segala penyakit jiwa dan hati manusia agar sentiasa disirami dengan cahaya Allah SWT. Sesungguhnya dengan menjadikan al-Quran teman yang sentiasa didekati, kita dijanjikan Allah dengan tempat yang terbaik di syurga.

Orang yang membaca al-Quran diumpamakan sebagai buah yang berbau harum dan wangi disisi Allah SWT. Abu Musa RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: "Orang Mukmin yang selalu membaca al-Quran seperti buah utrujah, bau dan rasanya enak. Orang Mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah kurma, tidak berbau tetapi rasanya manis. Orang munafik yang selalu membaca al-Quran seperti raihanah, baunya harum tetapi pahit rasanya. Orang munafik yang tidak membaca al-Quran seperti buah hanzalah, tiada bau dan pahit rasanya." (Riwayat al-Bukhari)

Kedua, umat islam wajib meyakini akan mukjizat al-Quran sebagai kitab agung yang dikurniakan Allah SWT menjanjikan kemuliaan terutama bagi mereka yang sentiasa mendekatkan diri dengan al-Quran. Untuk mempunyai hubungan rapat dengan al-Quran, seseorang itu perlu sentiasa merujuk dan mempelajari hukum hakamnya yang bukan sahaja untuk dirinya dan ilmu di dunia sahaja malah sebagai bekal di akhirat nanti. Bahkan apa yang lebih utama adalah dapat menghindarkan diri kita daripada kesesatan yang nyata. Allah SWT berfirman dalam surah Taha ayat 123 yang bermaksud: "Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk daripada Ku, nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara."

Ketiga, bagi membuktikan persahabatan kita dengan al-Quran, maka kita perlu berusaha sedaya upaya untuk menghafaz ayat-ayatnya agar hafazan tersebut boleh menjadi penenang, penyubur dan sumber kekuatan bagi mendepani segala cabaran dalam kehidupan. Yakin dan percayalah bahawa bait-bait ayat yang dihafal itu bukanlah kata-kata syair atau pujangga yang sia-sia tetapi ia adalah kalamullah yang tinggi nilainya dan mampu membimbing kita ke arah kebenaran dan ketakwaan kepada-Nya. Segala ayat-ayat yang kita tekuni untuk membaca dan menghafaznya adalah kalam yang sangat mulia yang dijanjikan syurga dengan membacanya, bahkan dijanjikan syafaat yang pasti akan membantu kita di akhirat nanti. Daripada Abu Umamah al-Bahili RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Bacalah al-Quran, kerana ia akan datang pada hari Kiamat sebagai pemberi syafaat bagi pembacanya." (Riwayat al-Bukhari)

Allah SWT menjanjikan al-Quran akan memberi ketenangan kepada jiwa yang kosong dan bermasalah. Suasana tertekan dan kepayahan akibat bala dan ujian yang melanda pastinya memberikan kesan kepada sebahagian daripada kita. Maka solusi terbaik kepada sesiapa yang menghadapi kecelaruan jiwa dan merasa tidak tenang, dekatilah al-Quran tidak kira pagi, petang, siang mahupun malam. Tekunilah membacanya dan berusahalah untuk memahaminya, mudah-mudahan menjadi penawar untuk menenangkan hati-hati yang dibelenggu keresahan dan masalah. Begitu juga dengan mendengar dan menghayati bacaan ayat-ayat al-Quran itu, nescaya akan dapat menghiburkan perasaan yang sedih, menenangkan jiwa yang gelisah dan melunakkan hati yang keras serta memperoleh petunjuk daripada Allah SWT. Itulah yang dimaksudkan dengan rahmat Allah SWT. Firman Allah dalam surah Ar-Ra'd ayat 28 yang bermaksud: "Hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang."

Setiap manusia pastinya mengalami pelbagai perasaan seperti gembira, teruja, sedih, resah, dan sebagainya. Sepayah mana pun kehidupan yang dihadapi, dan seberat apapun masalah yang ditanggung, pastinya terasa lebih ringan dan damai jika ada teman yang setia bersama. Panduan daripadanya akan membimbing kita mencari jalan keluar yang terbaik selari dengan tuntutan syarak. Demikianlah juga hidup ini akan jadi lemah jika sebatang kara bersendirian tanpa saudara dan sahabat, maka teman yang setia hendaklah dicari untuk kebaikan hidup. Maka sudah tentu al-Quran layak menjadi teman kita di dunia dan akhirat.

Kesimpulannya, umat Islam hendaklah meyakini bahawa al-Quran al-Karim adalah kitab suci yang diturunkan bagi membimbing manusia ke jalan kebenaran dan ketakwaan kepada-Nya. Wajib menjadikan al-Quran sebagai teman sejati dengan membacanya, memahami, menghayati dan mengamalkan ajarannya.

Penulis Pengarah Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2023 @ 6:00 AM