BERIMAN dengan qadak dan qadar bukan bermakna berserah bulat-bulat kepada takdir, tetapi mestilah disusuli ikhtiar. FOTO BERNAMA
BERIMAN dengan qadak dan qadar bukan bermakna berserah bulat-bulat kepada takdir, tetapi mestilah disusuli ikhtiar. FOTO BERNAMA
Dr Mohd Khafidz Soroni

Sesetengah manusia adakalanya lupa sesuatu yang terjadi itu dengan qadak dan qadar Allah SWT. Jika senang atau kaya, dia menganggap semuanya semata-mata nasib atau usahanya sendiri. Ini menyebabkan lahir penyakit tamak, sombong dan ego dalam dirinya serta lupa untuk bersyukur kepada Allah SWT. Sekiranya dia susah atau miskin pula, dia menganggap semuanya itu semata-mata kerana nasib atau kesilapan dirinya sendiri. Ini pula menyebabkan dia bersifat lemah semangat, suka mengeluh dan terlalu sedih dengan keadaan menimpa dirinya serta boleh jadi timbul sifat hasad dengki terhadap orang bernasib baik.

Sekiranya sesuatu musibah atau perkara yang tidak disukai berlaku, dia menjadi terlalu dukacita, tidak berpuas hati atau tidak habis-habis meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada orang lain. Boleh jadi juga dia menjadi kurang sabar, bertindak tanpa pertimbangan akal yang waras atau berlebih-lebihan dalam menolak apa yang berlaku seolah-olah tidak reda terhadap qadak dan qadar Allah SWT.

Beriman dengan qadak dan qadar adalah satu daripada rukun iman yang enam serta wajib bagi setiap Muslim meyakininya. Menolak qadak dan qadar menyebabkan iman seseorang itu rosak dan terjerumus dalam kesesatan yang nyata. Qadak ialah sesuatu yang berlaku ke atas makhluk semasa hidupnya atau perlaksanaan terhadap qadar yang ditentukan oleh Allah SWT. Qadar ialah sesuatu yang ditentukan oleh Allah SWT sejak azali yang akan berlaku kepada makhluk-Nya sebelum ia dijadikan, sama ada baik atau buruk. Ia juga disebut sebagai takdir.

Umat Islam wajib meyakini bahawa Allah SWT mengetahui sesuatu itu akan berlaku pada waktu tertentu dan dalam bentuk tertentu mengikut ketetapan ditentukan serta dikehendaki oleh-Nya. Tiada suatu apa pun yang tersembunyi bagi-Nya. Dengan keyakinan ini seseorang Muslim tidak akan berlagak sombong dan angkuh apabila beroleh kebaikan atau kejayaan dan tidak akan terlalu dukacita apabila mendapat keburukan atau kekalahan. Hatinya akan sentiasa tenang dan sabar dalam menghadapi qadak serta qadar Allah SWT serta menganggap semuanya itu hanya ujian daripada-Nya.

Firman Allah SWT bermaksud: "Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu melainkan telah sedia ada dalam Kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami menjadikannya. Sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur lagi membanggakan diri." (Surah al-Hadid: 22-23)

Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Ibnu 'Abbas RA: "Ketahuilah bahawa seandainya seluruh umat bersatu untuk memberikanmu sesuatu manfaat, mereka tidak akan mampu memberikan manfaat kepadamu kecuali apa yang ditakdirkan oleh Allah untukmu. Seandainya pula mereka bersatu untuk memberikanmu sesuatu mudarat‎, mereka tidak akan mampu memberikan mudarat kepadamu kecuali apa yang ditakdirkan oleh Allah ke atasmu. Semua pena telah diangkat dan semua lembaran telah pun kering (iaitu takdir telah ditetapkan)". (Riwayat at-Tirmizi, katanya: Hasan Sahih)

Beriman dengan qadak dan qadar bukan bermakna berserah bulat-bulat kepada takdir tanpa melakukan sebarang usaha dan ikhtiar. Sebaliknya, ia tidak menafikan sama sekali untuk kita berusaha dan berikhtiar. Ini kerana qadak dan qadar adalah urusan Allah SWT, bukannya urusan makhluk.

Makhluk hanya disuruh mengimaninya, bukan disuruh untuk mencampurinya. Kewajipan berusaha dan berikhtiar ini jelas apabila Allah SWT menyuruh kita supaya mematuhi segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Usaha dan ikhtiar ini yang akan menjadi sebab seseorang itu masuk ke syurga atau ke neraka.

Justeru itu, kita dituntut supaya berusaha menolak sesuatu qadar (ketentuan) dengan qadar yang lain. Misalnya, sakit adalah satu qadar yang perlu ditolak dengan cara berubat kerana ia juga satu qadar. Lapar dan dahaga juga adalah satu qadar yang perlu ditolak dengan qadar makan dan minum. Begitu juga sekiranya seseorang melakukan dosa, maka dia perlu bertaubat kepada Allah SWT untuk membersihkan dirinya. Namun, sekiranya dia terus melakukan dosa, bermakna dia memilih sebab untuk dikenakan balasan ke atas dirinya, sedangkan Allah tidak sekali-kali menzalimi hamba-Nya.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2022 @ 7:00 AM