MUKMIN yang berjiwa pemalu adalah seorang individu yang sentiasa berhati-hati dalam setiap gerak-geri kehidupan.
MUKMIN yang berjiwa pemalu adalah seorang individu yang sentiasa berhati-hati dalam setiap gerak-geri kehidupan.
Addin

Senario sepanjang kempen pilihan raya baru-baru ini jelas mempamerkan gelagat dan perilaku yang kurang mengharmonikan. Sentimen perbalahan akibat perbezaan aliran ideologi politik mengakibatkan segelintir pihak yang tanpa segan dan malu untuk menghamburkan tutur kata dan watak yang bertentangan adat dan normal masyarakat bersusila. Bertepatanlah dengan apa yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW: "Kalau tidak malu, berbuatlah apa sahaja." 

Sebenarnya, Islam amat menyanjung tinggi sifat malu, hinggakan ia menjadi antara cabang iman yang seharusnya terterap utuh dalam diri setiap kalangan Mukmin. Sifat malu sebenarnya termasuk dalam kategori akhlak mulia yang sepatutnya dimiliki. 

Zaid bin Abu Talhah ada memberitahu bahawa Baginda SAW pernah berpesan yang sabdanya: "Setiap agama memiliki akhlak dan akhlak (utama agama) Islam adalah malu" - (Hadis diselidiki oleh Ibnu Majah-status hadis sahih). Jadi, berdasarkan sabda Nabi SAW itu menunjukkan bahawa rasa malu adalah antara sifat jati diri orang Mukmin. 

Rasulullah SAW juga pernah mengingatkan umatnya dalam sabdanya: "Sesungguhnya rasa malu dan keimanan, kedua-duanya dijadikan sepasang. Jika salah satunya dihilangkan, yang lain juga dihilangkan" - (Hadis riwayat Hakim-status hadis sahih). Ini menjelaskan kepada kita betapa pentingnya sifat malu berbuat maksiat kepada Allah mahupun yang bertentangan dengan nilai norma masyarakat.

Semakin tebal rasa malu berbuat maksiat atas dasar kesedaran yang Allah Maha Melihat segala perbuatan para hamba-Nya, maka akan lebih sejahtera dan harmoni situasi sosial. Dengan erti kata lain, sifat malu pada diri setiap anggota masyarakat menjadi pemangkin kepada wujudnya keamanan dan kesejahteraan. 

Rasa atau sifat malu bak perisai yang akan membentengi diri daripada terjebak ke kancah maksiat dan yang bertentangan dengan nilai dan adat masyarakat. Sahabat agung Rasulullah SAW, Umar al-Khattab ada mengungkapkan: "Barang siapa yang sedikit rasa malunya, waraknya pasti sedikit. Barang siapa yang sedikit waraknya, bererti hatinya telah mati." 

Pada zaman Nabi SAW dahulu, para sahabat Baginda SAW amat menyanjung tinggi peribadi individu yang bersifat malu. Misalnya, Abu Musa al-Ansyari dilaporkan begitu malu dengan pemerhatiaan Allah hinggakan semasa beliau tidurpun, dia tetap memakai baju kerana takut auratnya tersingkap. Begitu jugalah halnya dengan Ibnu Abbas yang diriwayatkan sangat memelihara diri agar sentiasa bersifat malu khususnya terhadap pemerhatian Allah. Beliau ada berkata: "Sesungguhnya, aku sangat malu kepada Allah jika Dia melihatku telanjang di kamar mandi." 

Berbeza sekali dan amat jauh sekali situasinya dengan manusia moden hari ini yang sesetengah pihak menganggap perkara yang ringan sahaja dengan terapan sifat malu dalam jiwa. Percayalah bahawa Mukmin yang berjiwa pemalu adalah seorang individu yang sentiasa berhati-hati dalam setiap gerak-geri kehidupan agar tidak terpesong daripada yang dituntutkan oleh Islam. 

Pada kisah yang lain dilaporkan oleh Abdul Rahman bin Abu Bakrah yang menceritakan bahawa Asyaj bin Ashar berkata kepadanya: Rasulullah SAW pernah bersabda kepadaku: "Sesungguhnya ada dua sifat di dalam dirimu yang disukai Allah". Lalu aku bertanya kepada Baginda: "Apakah dua sifat itu wahai Rasulullah?" 

Bagindapun menjawab soalanku: "Murah hati (lemah lembut) dan sifat malu". Jawapan Baginda itu membuatkanku bertanyanya lagi: "Apakah sifat itu ada sudah lama atau baru-baru sahaja, wahai Rasulullah?" Jawab Baginda: "Sudah lama". Kemudiannya Asyaf berkata: "Segala puji bagi Allah yang telah menciptakan aku dengan dua perangai yang kedua-duanya Dia sukai." (Hadis yang dikaji dan direkodkan oleh Abu Daud dan Imam Ahmad)

Pelbagai penyelewengan dan salahlaku dalam masyarakat dan negara hari ini sebenarnya ada hubungkait dengan hilangnya rasa malu. Hilang rasa malu kepada Allah, maka akan mudahlah hilang rasa malu sesama manusia. 

Tidak menghairankan apabila banyak kes penyelewengan daripada undang-undang negara dan norma masyarakat dengan sewenang-wenang dilalukan kerana dalam jiwa si pelakunya sudahpun ketandusan sifat malu. Hilang rasa malu, maka robohlah benteng yang menahan diri daripada berbuat mungkar dan maksiat terhadap Allah dan manusia. 

Dengan wujudnya rasa malu akan membuatkan kita berasa tidak selesa hidup dengan perbuatan maksiat dan dosa. Lantas, bersebabkan jiwa rasa malu kepada Allah itulah akan menghalakan diri kita untuk sentiasa menjalani kehidupan atas landasan benar yang dikehendaki Allah dan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. 

Sahabat Rasulullah SAW, Abdullah bin Mas'ud (Ibnu Mas'ud) memberitahu bahawa, Rasulullah SAW ada bersabda: "Malulah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar malu". Ibnu Mas'ud mengatakan kemudiannya para sahabat menjawab: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami memang malu (kepada Allah)". Balas baginda: "Bukan begitu, tetapi malulah kepada Allah dengan sebenar-benar malu, maka jagalah kepala dan kandungannya (seperti telinga, mulut dan mata), jagalah perut dan semua yang berhubungan dengannya (seperti kemaluan, tangan, kaki dan hati), serta ingatlah kematian dan kehancuran (di dalam kubur) sesiapa yang melakukan semua ini, dia telah malu kepada Allah dengan sebenar-benar malu." (Hadis riwayat Imam Tirmizi)

Pun begitu jika kita melihat pada perkembangan sosial hari ini jelas menampakkan yang rasa malu semakin tenggelam dan akibat daripada fenomena hilangnya deria malu telah mengakibatkan pelbagai insiden yang mencalarkan imej peribadi selaku seorang Mukmin yang sejati.

Malah, terlucutnya rasa malu itu bukan hanya menyebabkan hilang rasa malu kepada manusia sahaja, sebaliknya yang amat penting ia tidak lagi berasa berdosa kepada Allah yang sentiasa memperhatikan setiap sisi kehidupan.

Kita sudahpun melepasi musim pilihan raya. Biarlah yang lepas dijadikan teladan dan bersamalah untuk kita memperbetulkan apa yang terkhilaf. Seharusnya kita tetap terus beristiqamah melalui kehidupan di dunia yang fana ini dengan acuan murni yang telah Baginda Rasulullah SAW tinggalkan buat kita. Ingatlah, tanpa malu, pelbagai kerosakan boleh berlaku.

Penulis Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2022 @ 7:01 AM