SHEIKH Prof Dr Yusuf al-Qaradawi menghasilkan 120  buku termasuk naskhah perundangan Islam serta menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa.
SHEIKH Prof Dr Yusuf al-Qaradawi menghasilkan 120 buku termasuk naskhah perundangan Islam serta menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa.
Muhammad Saufi Hassan


Dunia Islam dikejutkan dengan pemergian ulama tersohor kelahiran Mesir iaitu Prof Dr Yusuf al-Qaradawi yang menghembuskan nafas terakhir semalam.

Allahyarham meninggan dunia pada usia 96 tahun di Doha, Qatar dan perkara itu disahkan menerusi akaun rasmi Facebook milik Allahyarham lewat petang semalam waktu Malaysia.

Beliau antara ulama yang berpengaruh menerusi buah fikirannya, komentar dan buku tulisannya.

Allahyarham yang dilahirkan pada 9 September 1926 menghasilkan lebih 100 naskhah buku dan kitab merangkumi pelbagai disiplin ilmu.

Sejak beberapa tahun lalu, dunia Islam kehilangan ramai ulama terkemuka selain Allahyarham Dr Yusuf, iaitu antaranya ulama besar Syria, Allahyarham Sheikh Muhammad Ali al-Sabuni pada 19 Mac 2021 dan pemikir ulung Yaman, Habib Abu Bakar al-Adni Ali Mahsyur pada 27 Julai lalu.

Maka benarlah sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak menghapus ilmu pengetahuan dengan cara mengambil sekali gus daripada hamba-Nya, tetapi Allah menghapus ilmu pengetahuan itu dengan kematian ulama sehingga tiada lagi orang yang alim.

"Ketika itu orang ramai melantik ketua mereka dalam kalangan orang yang jahil dan apabila mereka ditanya mereka memberi fatwa dengan sewenang-wenangnya tanpa berpandukan ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat lagi menyesatkan." (Riwayat al-Bukhari, No 100 dan Muslim, No 2673)

Daripada Abi Ja'far rahimahullah berkata: "Mati seorang alim lebih disukai oleh Iblis daripada mati tujuh puluh orang ahli ibadat." (Riwayat al-Baihaqi, 4/344 dan Abu Nu'aim, 3/183)

Pernah ditanya kepada Sa'id Bin Jubair: "Apakah alamat binasanya manusia?

Jawabnya: "Dengan kematian para ulama mereka."

Allahyarham Prof Dr Yusuf dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di Qatar, tempat beliau tinggal dalam buangan berikutan penggulingan tentera kerajaan pimpinan Ikhwanul Muslimin di Mesir pada 2013.

Sepanjang hayatnya, Allahyarham menghasilkan lebih 120 buah buku termasuk naskhah perundangan Islam serta menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa.

Allahyarham sangat masyhur menerusi program Sharia and Life' terbitan saluran berita antarabangsa, Al-Jazeera yang dianggarkan ditonton 40 hingga 60 juta penonton di seluruh dunia.

Atas jasa baktinya dalam dunia Islam, kerajaan Malaysia menganugerahkan Allahyarham Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa pada 2009.

Selain itu, Allahyarham pernah menerima pelbagai penghormatan antaranya Anugerah Raja Faisal (Arab Saudi), Anugerah Antarabangsa Kitab Suci al-Quran (Dubai, Emiriah Arab Bersatu), Anugerah Sultan Hassanal Bolkiah (Brunei) dan beberapa anugerah lain.

Pada masa sama, Allahyarham Prof Dr Yusuf turut diiktiraf sebagai pemikir Islam serta diletakkan pada kedudukan 10 pemikir Islam yang unggul terbitan sebuah firma berpangkalan di United Kingdom (UK).

Prof Dr Yusuf adalah antara pemikir Islam yang banyak mempertahankan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah serta tohmahan yang pernah dilemparkan kepada manhaj Al-Azhar suatu ketika dulu.

Pengiktirafan oleh Allahyarham Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi tentang akidah Asyairah sebagai akidah majoriti umat Islam disebut dalam satu majlis apabila beliau menjawab persoalan orang awam yang hadir.

Menerusi perkongsian Pejabat Mufti Negeri Sembilan menyatakan dalam pada menjawab soalan lain daripada salah seorang yang hadir yang bertanya: "Sebahagian manusia mentohmah akidah Al-Azhar As-Syarif. Maka, apa jawapan tuan (Sheikh Prof Dr Yusuf) yang dihormati, terhadap perkataan (tohmahan) itu?"

Maka Sheikh Al-Qaradawi menjawab dalam bentuk persoalan yang penuh takjub: "Aqidah Al-Azhar As-Syarif?"

Beliau berkata: "Saya lihat orang yang berkata sebegitu adalah orang yang mengkritik (akidah) Al-Asya'irah."

Seterusnya beliau berkata: "Bukan Al-Azhar satu-satunya yang (berakidah) Asy'ari. Ummah Islamiyyah adalah Asya'irah (majoritinya). Al-Azhar (berakidah) Asy'ari. Az-Zaituniyyah (berakidah) Asy'ari. Ad-Deoubandi (di India) berakidah Asy'ari. Nadwah Al-Ulama berakidah Asy'ari dan Sekolah-sekolah di Pakistan juga (berakidah) Asy'ariyyah. Seluruh Dunia Islam Asy'ari (berakidah Asy'ari)."

Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradawi turut menjelaskan wujudnya golongan Al-Asya'irah di Saudi yang dikenali sebagai markaz Salafiyyah Wahhabiyyah.

Beliau menambah: "Kalau ingin dikira majoriti umat Islam, maka majoriti ummah adalah Al-Asya'irah. Itu hanyalah perselisihan dalam masalah furu' akidah. Kesemuanya bersepakat terhadap iman kepada tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah dan Muhammad itu adalah Rasulullah. Semuanya bersepakat terhadap kenabian (Rasulullah SAW) dan pada keimanan terhadap Allah, kitab-kitab, para rasul-Nya dan beriman kepada Hari Akhirat."

Oleh itu, Allahyarham Sheikh Prof Dr Yusuf Al-Qaradawi adalah antara ulama Islam yang berpengaruh dan pemergiannya adalah satu kehilangan yang besar untuk ummah.

Al-Fatihah untuk Allahyarham Sheikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi dan didoakan semoga ditempatkan dalam kalangan solihin, auliya dan kekasih Allah. Amin.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2022 @ 7:00 AM