GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor

Peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah tidaklah asing bagi rakyat Malaysia khususnya dalam kalangan umat Islam. Saban tahun kita mendengar mengenai sambutan terhadap peristiwa ini. Malah di negara kita, sambutan mengingati peristiwa hijrah telah dilakukan sejak sekian lama apabila negara mengisytiharkan cuti bersempena dengan peristiwa ini.

Memang wajar bagi negara kita mengambil berat peristiwa ini dengan memberikan cuti umum kepada rakyat. Ini kerana hijrah bukanlah sekadar peristiwa biasa, tetapi ia adalah suatu peristiwa besar dalam sejarah kehidupan baginda yang mencetuskan kekuatan baharu kepada umat.

Sebagai rakyat yang berada di dalam negara yang berbilang kaum di Malaysia, kita meraikan peristiwa hijrah ini dengan penuh penghayatan terhadap semangat kekeluargaan. Pada hemat saya, tidak keterlaluan untuk kita mengatakan bahawa peristiwa ini mengajar kita mengenai keluarga besar sesebuah negara yang merangkumi penduduknya dalam kalangan Muslim dan bukan Muslim. 

Peristiwa hijrah adalah contoh terbaik dan sandaran jelas yang boleh dijadikan iktibar dalam perjalanan Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri kita. Sebagai sebuah keluarga, tentulah ia menuntut pelbagai usaha menjaganya agar institusi keluarga itu tidak runtuh.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW menunjukkan bagaimana Baginda mengangkat penduduk Madinah dalam konsep kekeluargaan 'Keluarga Madinah' yang diasaskan berdasarkan konsep ummah. Baginda menganggap seluruh penduduk Madinah dalam kalangan Muslim dan bukan Muslim pada awal hijrah tersebut sebagai satu ummah yang diasaskan melalui Piagam Madinah yang dibentuk dan dipersetujui bersama.

Penghayatan kepada konsep inilah yang menunjukkan betapa Baginda sangat berjiwa besar dengan membuktikan Islam boleh hidup bersama dengan kelompok lain. Tidak ada masalah dalam kehidupan masyarakat majmuk di mana rakyat diminta untuk saling hormat menghormati di antara satu sama lain, memperdalam toleransi dan mempunyai sikap tasamuh.

Maka ia dengan sendirinya menafikan cemuhan golongan yang anti Islam yang sering menuduh bahawa Islam membawa ajaran yang sempit, kolot dan sebagainya. Semua tuduhan ini tidak tepat malah tersasar daripada maksud sebenar ajaran Islam. Golongan sebegini adalah mereka yang berfikiran sempit dan pemuka kepada siri Islamofobia dalam dunia.

Peristiwa hijrah yang dilalui oleh Baginda bukanlah bermakna Baginda tidak sayang tanah air tempat kelahiran Baginda dan tempat di mana Baginda dibesarkan. Daripada aspek ini, kita boleh memahami ia adalah satu proses untuk membentuk jiwa Baginda yang kental dalam menyebarkan agama Islam kepada masyarakat.

Kehidupan di Makkah pada waktu itu tidak menunjukkan simpati kepada Baginda. Lebih teruk lagi, Baginda telah berdepan dengan pelbagai ancaman termasuk terdapat golongan yang ingin menamatkan riwayat hidup Baginda. 

Tanpa perasaan menyerah kalah, Baginda tetap teguh memperjuangkan agama dengan meneruskan usaha penyebaran agama kepada kelompok terdekat, ahli keluarga dan kepada masyarakat awam tanpa menghiraukan cemuhan, kecaman dan ancaman keselamatan yang diperolehinya.

Namun begitu, sampai tahap di mana baginda betul-betul terancam, lalu jalan dirintis untuk membolehkan Baginda membuka lembaran baharu di Kota Yathrib di mana masyarakatnya lebih bersedia untuk menerima kepemimpinan Rasulullah SAW.

Begitu besar jiwa masyarakat Madinah yang bersedia menerima Baginda untuk berhijrah dan memulakan kehidupan baru dalam suasana yang lebih menyokong kepada usaha-usaha yang dijalankan oleh Baginda.

Masyarakat Madinah juga berjiwa besar apabila sanggup menerima usaha penyatuan ummah yang dikemukakan oleh Rasulullah SAW kepada mereka. Sebelum kedatangan Baginda, penduduk Madinah sentiasa bergolak merebut takhta kuasa untuk menjadi kelompok yang dominan.

Tetapi mereka mula akur apabila usaha penyatuan dibuat di antara mereka dengan penyatuan atau istilah yang lebih biasa digunakan adalah persaudaraan. Ini berlaku di antara penduduk Madinah daripada kelompok Aus dan Khazraj.

Begitu juga penyatuan dibuat kepada golongan Muhajirin dengan golongan Ansar. Bayangkan jika tidak ada proses penyatuan ini, boleh sahaja terjadi konflik yang besar di kalangan kaum Muslimin. Penduduk yang berhijrah meninggalkan kampung halaman mereka di Makkah, telah disambut dengan semangat persaudaraan, di mana mereka dianggap seperti saudara sendiri oleh penduduk Madinah.

Ini dikuatkan lagi dengan perkahwinan silang antara Muhajirin dan Ansar. Hubungan kekeluargaan sebegini jarang berlaku di tanah Arab kerana mereka hanya menumpukan kehidupan dalam kabilah masing-masing sahaja. Jarang sangat yang boleh menerima kabilah lain untuk hidup bersama. Kebiasaanya hubungan antara kabilah dengan kabilah lain bolehlah digambarkan sebagai seteru yang bermusuhan.

Dalam proses penyatuan ini juga menunjukkan gagasan idea besar Rasulullah SAW untuk memastikan maslahah yang lebih besar dapat diperteguhkan. Fahaman sempit kekitaan dan bangga dengan kelompok sendiri sahaja telah dirungkaikan oleh baginda.

Melihat kepada apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW melalui peristiwa hijrah ini, menunjukkan betapa kita juga perlu memupuk semangat hijrah ini di dalam diri. Pemimpin tanah air memerlukan semangat hijrah untuk meneruskan penyatuan dalam kalangan ummah yang ada di tanah air.

Usahakan sesuatu dengan semangat hijrah dan gagasan jiwa besar ummah untuk mengungguli perpaduan dan penyatuan. Jangan biarkan rakyat berpecah belah hanya kerana terdapat pihak-pihak yang cuba memperjuangkan politik yang sempit. Berpolitik itu boleh, tetapi biarlah dalam keadaan untuk memperkukuhkan perjuangan agama, bangsa dan tanah air.

Jangan kita menggadaikan prinsip kesatuan kerana ia tidak memberi sebarang faedah dan hanya akan merugikan ummah. Apa yang ingin kita banggakan jika ummah berpecah belah tiada kesatuan? Apakah kita ingin melihat kehancuran dengan terus berbalah sesama sendiri? Apakah kita ingin menjadi golongan yang meremehkan penyatuan sedangkan terdapat perintah Ilahi yang meminta supaya jangan berpecah?

Renunglah sedalamnya perintah Allah SWT di dalam Surah Ali-Imran ayat 103: "wa la tafarraqu"  yakni jangalah kamu berpecah-belah, dan adunkan renungan ini dengan apa yang dilakukan oleh Baginda Nabi SAW ketika berhijrah ke Madinah. Sungguh besar apa yang dilakukan Baginda, menunjukkan betapa penyatuan ummah berasaskan 'pegangan teguh kepada tali Allah' itu adalah sesuatu yang menjadi dasar terpenting dalam melonjakkan ummah dan memperkasakan agama.

Oleh yang demikian, nyatalah bahawa peristiwa hijrah ini mempunyai maksud yang mendalam ketika Baginda memperkukuh sistem 'Keluarga Madinah' tersebut dan menjadi sesuatu yang penting untuk kita dalam kehidupan sebagai 'Keluarga Malaysia' untuk mendokong bersama prinsip tersebut.     

Sungguh tidak mudah untuk kita mengecapi penyatuan ummah ini, namun ia tidak mustahil. Asalkan kita boleh memahami akan kepentingannya dan tidak menggadaikan ataupun meleburkan prinsip kita hanya kerana kita ingin memperjuangkan agenda yang berbeza.

Ingatlah, sangat sukar jalan yang ditempuh Baginda sehingga berjaya meneguhkan Islam di bumi ini. Janganlah pula ada di antara kita yang sanggup menjadi perosaknya atau yang sanggup meruntuhkannya.

Elakkan menjadi golongan musyrikin yang ditegur di dalam al-Quran sebagai kelompok yang ingin memadamkan cahaya Islam. Firman Allah yang bermaksud: "Dan mereka sentiasa ingin memadamkan cahaya Allah (Islam), dan sesungguhnya Allah SWT yang menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya" (surah Al-Saff: 10)

Ayuh Keluarga Malaysia kita perteguhkan keluarga ini dengan mengambil iktibar 'Keluarga Madinah' yang menjadi asas penyatuan dan perpaduan bangsa.

   


Penulis Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya & Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2022 @ 6:00 AM