TIDAK akan berlaku kiamat sehingga manusia
TIDAK akan berlaku kiamat sehingga manusia
Oleh Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

Apakah faedah memahami dan mengkaji tanda-tanda kiamat?

Memahami dan mengkaji tanda-tanda kiamat mempunyai faedah yang sangat besar. Maklumat berkaitan tanda-tanda kiamat ini tidak sekadar ilmu yang datang berkala di sebalik sesuatu fenomena atau bencana. Tetapi merangkumi perjalanan kehidupan keseluruhan. Faedah memahami dan mengkaji tanda-tanda kiamat ini telah disebut dalam al-Quran sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara ghaib dan mendirikan solat serta membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka."  (Surah al-Baqarah ayat 3)

Perkataan ghaib merujuk kepada perkara atau benda yang tidak dapat dilihat. Ini termasuk percaya kepada Allah, malaikat, kitab-kitab Allah, nabi dan rasul, Hari Kiamat dan Qada dan Qadar.

Adakah tanda-tanda kiamat merupakan salah satu daripada perkara ghaib?

Percaya kepada Hari Kiamat dan tanda-tanda kiamat merupakan perkara ghaib yang wajib diyakini. Tanda kiamat ini merangkumi tanda kiamat kecil dan tanda kiamat besar. Terdapat juga tanda yang telah berlaku seperti terutusnya Baginda Nabi SAW, pembelahan bulan dan kewafatan Baginda SAW. Tanda yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku seperti kemunculan nabi palsu. Tanda yang sedang berlaku dan akan berlaku seperti pembinaan bangunan tinggi. Dan tanda yang akan berlaku seperti tanda besar kiamat.

Adakah Baginda Nabi SAW mengetahui bila kiamat akan berlaku?

Rasulullah SAW berkata-kata berdasarkan wahyu daripada Allah SWT dan bukan daripada akal sebagaimana manusia biasa. Setiap pengetahuan Baginda adalah petunjuk daripada Allah dan bukan rekaan atau tekaan semata-mata.

Masa dan saat yang tepat berlakunya kiamat tidak dinyatakan oleh Baginda Nabi SAW, namun banyak hadis merakamkan tanda-tanda yang akan memperlihatkan kebenaran Nabi SAW tersingkap. Maka tanda secara umum ini bertujuan agar semua manusia sentiasa bersedia menghadapi saat kiamat tiba. Allah SWT berfirman maksudnya: "Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapapun - melainkan kepada mana-mana Rasul yang di redai-Nya (untuk mengetahui sebahagian daripada perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Ia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan)." (Surah al-Jinn ayat 26-27)

Adakah dengan memahami tanda-tanda kiamat akan menghapuskan pemahaman terhadap teori konspirasi?

Apabila seseorang berpegang dengan al-Quran dan hadis, maka pasti dia dapat menghapuskan banyak kekeliruan yang membelenggu pemikiran khususnya apabila melibatkan teori konspirasi seterusnya dapat membezakan perkara yang benar dan palsu.

Sebagai contoh, kita disajikan dengan keadaan fizikal Dajjal yang bermata satu di tengah-tengah, sedangkan Nabi SAW telah menjelaskan keadaan Dajjal sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud: Daripada Abdullah ibn Umar RA beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Ketika aku sedang tidur, aku melihat diriku bertawaf di Kaabah. Tiba-tiba (aku melihat) seorang lelaki yang berkulit sawo matang, berambut lurus (berada) di antara dua lelaki. Kepalanya (seperti) menitiskan air. Aku bertanya: 'Siapakah orang ini?' Mereka menjawab: '(Isa) putera Maryam.' Kemudian aku menoleh dan (melihat) seorang lelaki berkulit merah, bertubuh besar, berambut keriting, cacat mata kanannya, seakan-akan matanya seperti sebutir anggur yang menonjol keluar. Aku berkata: 'Siapa ini?' Mereka berkata: 'Ini ialah Dajjal!' Orang yang paling mirip dengannya ialah Ibnu Qathn.'" (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Bagaimanakah sumber rujukan utama yang perlu disandarkan?

Apabila ingin memahami tentang tanda-tanda kiamat, asas utama yang perlu dilihat adalah sumber rujukan yang benar berasaskan al-Quran dan hadis yang sahih. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunah Nabi-Nya." (Hadis Riwayat Imam Malik)

Allah SWT berfirman maksudnya: "Katakan tidak seorang pun di langit dan di bumi yang mengetahui apa yang tersembunyi kecuali Allah. Dan mereka tidak mengetahui bilakah mereka akan dibangkitkan."  (Surah al-Naml ayat 65)

Oleh itu, sekiranya sesuatu maklumat yang dikongsi meragukan dan banyak unsur yang luar biasa (mistik) tanpa rujukan dan dalil yang jelas, maka maklumat itu secara jelas tertolak.

Sekiranya sesuatu maklumat diragui, bagaimanakah cara untuk memahaminya?

Apabila sesuatu maklumat yang diperoleh mempunyai keraguan atau kurang jelas, kita perlu bertanya kepada orang yang lebih arif tentang ilmu tersebut. Mereka itu adalah alim ulama yang mendalami dan meneliti perkara tersebut.

Allah SWT berfirman maksudnya: "Dan Kami tidak mengutus rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka (bukan malaikat); maka bertanyalah kamu kepada Ahluz Zikri jika kamu tidak mengetahui."  (Surah al-Anbiya' ayat 7)

Dalam hal ehwal tanda kiamat ini, wajib bagi seseorang yang mempunyai persoalan untuk bertanya terus kepada mereka yang betul-betul pakar dan bukan bertanya pada mereka yang bukan dalam bidang kajian Hari Kiamat walaupun seseorang itu agamawan. Perkara ini bagi mengelak berlakunya tokok tambah dalam penceritaan sehingga maklumat yang sepatutnya sahih menjadi porak peranda.

Adakah boleh meletakkan sesuatu bencana atau peristiwa dengan tanda kiamat?

Banyak peristiwa yang berlaku dahulu dan kini sering kali dikaitkan dengan tanda kiamat. Kita sering mendengar, asap tebal disebabkan jerebu adalah 'dhukhan', virus Covid-19 juga adalah tanda kiamat dan banyak lagi peristiwa dan malapetaka yang kita sandarkan terus kepada tanda dan hampirnya kita dengan kiamat.

Tanda-tanda kiamat yang dikhabarkan oleh Baginda Nabi SAW adalah bersifat umum dan tiada garis masa tertentu kecuali beberapa peristiwa yang telah berlaku. Oleh itu, tidak boleh kita katakan sesuatu peristiwa itu adalah tanda kiamat yang telah tetap kerana mungkin juga perkara yang sama telah ada pada masa lalu dan akan menjelma pada masa akan datang.

Sebagai contoh apabila kita melibat pembinaan bangunan pencakar langit yang tinggi, Baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak akan berlaku kiamat sehingga manusia berlumba-lumba meninggikan bangunan."  (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Al-Hafiz Ibnu Hajar menjelaskan maksud berlumba-lumba dalam meninggikan bangunan ialah apabila seseorang mendirikan bangunan, maka akan ada yang lain ingin membina bangunan yang lebih tinggi daripada yang sebelumnya. Perkara ini akan berterusan sehingga saat terhenti apabila kiamat tiba.

Maka sekiranya kita melihat kepada trend pembinaan bangunan pencakar langit pada hari ini, adakah bangunan tersebut akan terhenti pembinaannya apabila mencapai ketinggian tertentu? Atau sekiranya sesebuah negara telah membina bangunan pencakar langit, negara lain sudah tidak boleh membinanya?

Jadi situasi ini adalah mustahil bahawa ia telah muncul dan terhenti. Maka benarlah sabda Baginda, tidak akan berlaku kiamat sehingga manusia berlumba-lumba membina bangunan tinggi yang merujuk kepada persaingan yang tidak akan diketahui bilakah noktah pengakhirannya.

Penulis Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 6:01 AM