UMAT Islam disaran  mendapatkan bantuan dan pertolongan ketika berhadapan kesukaran sama ada melalui  ikhtiar mahupun berdoa kepada Allah SWT.
UMAT Islam disaran mendapatkan bantuan dan pertolongan ketika berhadapan kesukaran sama ada melalui ikhtiar mahupun berdoa kepada Allah SWT.
Datuk Mohd Ajib Ismail

KETIKA situasi getir dan mencabar melanda masyarakat terutama golongan yang terkesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tular kempen daripada warganet supaya mereka yang mengalami terputus bekalan keperluan dan makanan mengibarkan bendera putih di kediaman masing-masing sebagai ikhtiar untuk mendapatkan pertolongan dan bantuan segera daripada pelbagai pihak. Walaupun tabiat mengemis dan meminta sedekah tanpa keperluan dan darurat adalah haram dan dilarang, namun sekiranya terdapat keperluan yang mendesak maka ia memang dibolehkan di dalam ajaran Islam. Umat Islam disarankan agar mendapatkan bantuan dan pertolongan ketika berhadapan kesukaran sama ada melalui jalan ikhtiar mahupun beribadah dan berdoa kepada Allah SWT.

Di dalam sebuah hadis riwayat Muslim menyatakan bahawa suatu ketika Qabisah bin Mukhariq Al-Hilali mengadu kepada Rasulullah SAW, perihal kehidupannya yang sangat berat. Pada mulanya, Rasulullah SAW meminta Qabisah untuk bersabar dan menunggu sedekah yang akan datang kepadanya. Kerana tanggungannya yang begitu berat, dia bertanya kepada Rasulullah SAW, dengan malu-malu: "Wahai Rasulullah, sambil menunggu sedekah itu datang, bolehkah aku meminta-minta?" tanya Qabisah. Rasulullah SAW pun menjawab: "Bahawa meminta-minta itu tidak dibenarkan dalam Islam. Namun, ada tiga orang yang dibenarkan untuk meminta-minta iaitu: Pertama, orang yang memikul beban berat di luar batas kemampuannya. Rasulullah SAW menyatakan bahawa kelompok tersebut dibolehkan meminta-minta sehingga sampai cukup keperluannya. Ketika telah mencukupi, maka dia harus berhenti untuk meminta-minta. Kedua, orang yang terkena musibah dan hartanya hilang. Kelompok tersebut dibolehkan untuk meminta-minta, namun sekadar keperluannya mencukupi, kemudian dia wajib berhenti melakukannya. Ketiga, orang yang sangat miskin. Bagaimana cara mengukur kemiskinan tersebut? Rasulullah SAW memberikan standard bahawa apabila tiga orang jiran tetangganya menilai orang tersebut miskin, maka orang tersebut benar-benar miskin. Orang seperti ini dibolehkan untuk meminta-minta sehingga keperluannya mencukupi. "Di luar kelompok tersebut, wahai Qabisah, meminta-minta adalah tidak dibenarkan. Dan jika ada orang di luar kelompok itu meminta-minta, harta haram telah dimakan."

Selain itu, bantuan juga mesti dihulurkan kepada golongan yang tidak meminta-minta sedangkan kita mengetahui kesusahan yang dialaminya. Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 273 yang bermaksud: "(Pemberian sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka: orang kaya - oleh orang yang tidak mengetahui halnya kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan daripada harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya."

Islam menyarankan agar masyarakat menghulurkan bantuan dan mengambil berat terhadap kesusahan yang dihadapi oleh insan yang lain. Islam juga amat menggalakkan sesiapa sahaja untuk memberikan khidmat bakti kepada manusia lain dengan hati yang ikhlas kerana Allah SWT, menjaga sahsiah yang baik dan memelihara batas-batas syariat. Galakan tersebut bersandarkan prinsip fastabiqul khairat iaitu berlumba-lumba dalam berbuat kebajikan.

Firman Allah SWT di dalam al-Quran surah Ali Imran ayat 114  yang bermaksud: "Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) dan mereka pula segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah daripada orang-orang yang soleh."

Gerak kerja bagi membantu meringankan bebanan orang lain dilakukan atas asas memelihara hubungan dengan Allah SWT dan memelihara hubungan sesama manusia. Melalui penghayatan nilai pengorbanan yang wujud di dalam diri seorang Muslim dan mengharapkan balasan pahala di akhirat, seseorang Muslim akan lebih bersedia untuk membantu dan membela golongan yang terpinggir dan memerlukan dalam masyarakat.

Namun jangan pula ada golongan yang bersifat tamak dan berlebih-lebihan, sedangkan rezeki dan sumbangan yang diterima adalah untuk dikongsi bersama.

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sahl Ibn Hanzaliyyah RA yang menceritakan perbualan Nabi Muhammad SAW bersama sahabatnya yang bermaksud: "Barangsiapa yang meminta-meminta, padahal dia mempunyai sesuatu cukup untuk dirinya, maka bererti hanya memperbanyak bara api neraka Jahanam." Lalu para sahabat bertanya: "Bagaimanakah yang dikatakan cukup baginya?" Baginda menjawab: "Sesuatu yang mencukupi untuk makan siang dan malam." (Hadis riwayat Abu Daud)

Di dalam situasi kesempitan hidup masyarakat, jangan pula ada pihak yang mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain dengan perbuatan menipu dan mencuri. Islam menegah perbuatan mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain. Bagi golongan yang mengalami tekanan hidup yang melampau akibat situasi mencabar ini, jauhkanlah diri daripada melakukan sebarang tindakan yang menyalahi syariat serta dekatkanlah diri kepada Allah dengan doa dan sabar selain berusaha dan berikhtiar. Islam melarang manusia mendedahkan diri dalam kebinasaan dan berputus asa dengan kemiskinan dan kesusahan hidup bahkan mengharamkan perbuatan membunuh diri sendiri dan orang lain akibat tidak dapat bertahan dengan penderitaan. Hadapilah kesusahan hidup dengan menguatkan keimanan, bersabar dan mengharapkan pertolongan Allah SWT.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Isra' ayat 33 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar." Oleh itu, sebagai seorang Muslim, kita hendaklah sentiasa berhati-hati dan tidak membiarkan diri kita dan orang di sekeliling berada dalam kebinasaan.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu."

Di Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) melaksanakan pelbagai program seperti bantuan barangan keperluan melalui Jawi Food Bank dan Gerobok Rezeki Masjid dan Surau serta agihan makanan percuma setiap hari melalui inisiatif Dapur It'am.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga telah menegaskan komitmen untuk terus menyantuni masyarakat yang memerlukan di bawah inisiatif Musaadah untuk kebajikan rakyat.

Semua usaha tersebut bukan sahaja menjadi lambang keprihatinan, tetapi juga suatu didikan bagi membudayakan amalan memberi kerana ia sifat yang terpuji di dalam Islam. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Nabi SAW telah bersabda maksudnya: "Salah seorang daripada kamu yang keluar pada waktu pagi lalu memikul kayu di atas belakangnya untuk dijual, lalu dia mengeluarkan sedekah sebahagian daripada jualan kayu dan dengan (baki wang) itu dapat mencukupkan dirinya sehingga dia tidak perlu meminta kepada orang lain, adalah lebih baik baginya daripada meminta kepada seseorang (yang tidak pasti) diberi ataupun ditolak. Ingatlah tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Mulai dengan orang-orang yang ada dalam tanggunganmu." (Hadis riwayat Muslim)

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 5:59 AM