AKHTAAR perkenalkan Mindful Muslim di kala umat Islam dihimpit pelbagai tekanan hidup. FOTO Ihsan Mindful Muslim
AKHTAAR perkenalkan Mindful Muslim di kala umat Islam dihimpit pelbagai tekanan hidup. FOTO Ihsan Mindful Muslim
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Pandemik Covid-19 yang berlaku sejak lebih setahun lalu banyak mencetuskan tekanan emosi kepada masyarakat selain menyebabkan gangguan kesihatan mental serius.

Isu ketidaktentuan kesihatan, kebimbangan terhadap kewangan serta bebanan di tempat kerja menyebabkan ramai terkesan dan berdepan masalah psikologi tanpa sedar.

Selain mencari ketenangan jiwa dengan mendekatkan diri pada Allah SWT, pengguna telefon pintar kini turut boleh memuat naik aplikasi Mindful Muslim di telefon pintar masing-masing.

Difahamkan sehingga kini berjuta individu di seluruh dunia memilih aplikasi Mindful Muslim yang mula dilancarkan pada tahun lalu itu sebagai alternatif mendapatkan ketenangan, rasa bersemangat dan memulihkan emosi.

Menariknya Mindful Muslim adalah aplikasi penenang jiwa berkonsepkan Islam pertama di dunia tampil menyediakan perkhidmatan seperti bacaan al-Quran, doa rukyah dan ceramah motivasi

Lebih menarik, ia diiringi dengan bunyi alam semula jadi seperti hujan, ombak dan air terjun yang menggantikan muzik dalam menimbulkan rasa tenang kepada penggunanya.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Mindful Muslim, Mohamad Akhtaar Abdul Ghani, berkata, aplikasi yang dilancarkan pada tahun lalu itu kini mempunyai 50,000 pengguna di serata dunia.

"Objektif utama pembangunan aplikasi ini adalah untuk membantu meningkatkan kesihatan mental umat Islam yang berdepan pelbagai cabaran pada masa kini dengan elemen Islamik.

"Bermula seawal pagi selepas solat Subuh, mereka boleh mendengar ceramah motivasi pagi untuk memulakan hari dengan penuh semangat menerusi aplikasi ini," katanya.

Menurutnya, idea memperkenalkan aplikasi berkonsep Islamik Mindful Muslim bermatlamat membantu umat Islam seluruh dunia dalam mendepani masalah tekanan jiwa.

Berkongsi idea membangunkan aplikasi tersebut, Mohamad Akhtaar memberitahu, ia bermula apabila dirinya berasa tertekan dengan kerja yang terlalu banyak dan memenatkan.

Susulan itu dia mencari platform untuk meredakan tekanan tetapi tidak menemui yang berkonsep Islamik dan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.

"Saya sering berasa tertekan sehingga sukar tidur akibat beban kerja yang terlalu banyak dan melayani pelbagai kerenah pelanggan.

"Justeru, saya cuba mencipta sesuatu sebagai terapi untuk diri sendiri dan menyedari bahawa perkara ini perlu diperluaskan kerana ia sangat berguna untuk membantu saudara Islam memulihkan semula emosi mereka," katanya.

Dia yang juga Pengarah Agensi Pemasaran Digital di ALQ Creative Pte. Ltd. berkata, Mindful Muslim mempunyai beberapa ciri istimewa iaitu bacaan ayat suci al-Quran, zikir, kisah-kisah para Nabi, ceramah motivasi, bacaan rukyah, doa-doa khas untuk menghilangkan tekanan dan pelbagai bunyian alam semula jadi.

"Aplikasi ini memiliki 51 kisah para Nabi dan setiap bulan akan dimuat naik tujuh cerita baharu.

"Pengguna juga boleh mendengar cerita ini dengan diiringi pelbagai pilihan bunyi alam semula jadi mengikut cita rasa masing-masing yang akan membuatkan perasaan berasa tenang," ulasnya yang kini sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Komunikasi di Auckland University of Technology (AUT), New Zealand.

Beliau berkata, menerusi kisah-kisah dan ceramah motivasi yang santai itu mengajar kita untuk lebih kuat, sabar dan yakin bahawa setiap ujian itu mempunyai hikmah tersembunyi.

Pengguna boleh memilih pelbagai surah, doa, ceramah motivasi serta kisah para Nabi untuk diletakkan di dalam senarai pemain dan mendengarnya sebelum melelapkan mata pada waktu malam. Menariknya, aplikasi tesebut juga mempunyai versi suara wanita dan lelaki agar pengguna boleh mendengarnya dengan lebih selesa mengikut jantina masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 11:49 PM