TANDA syukur mestilah diterjemahkan dalam bentuk amalan dan tindakan seperti solat dan puasa.
TANDA syukur mestilah diterjemahkan dalam bentuk amalan dan tindakan seperti solat dan puasa.
Fahimi Zakaria

Kehidupan ini ibarat roda yang berputar, terkadang di atas dan terkadang di bawah. Ia mengajar manusia untuk memahami satu hakikat bahawa keseimbangan ini sebagai salah satu sunnah atau ketetapan di sisi Allah SWT yang saling menyempurnakan keperluan kehidupan duniawi manusia.  Al-Tawāzun (keseimbangan) ini sebenarnya satu peluang untuk kita melipatgandakan kebaikan sama ada sesama makhluk mahupun dengan pencipta itu sendiri. Setiap masa yang dilalui pasti ada sahaja ruang manfaatnya, sama ada kita mahu menggunakannya untuk manfaat atau mudarat, terpulang kepada sikap dan pilihan masing-masing.

Sesungguhnya Islam menganjurkan keseimbangan dalam setiap urusan kehidupan umatnya kerana ia akan menjadikan kehidupan umat Islam sentiasa dalam keadaan sederhana iaitu bersabar dan bersyukur dengan ujian. Ujian ini termasuk sama ada ujian kesusahan ataupun ujian kesenangan. Umat Islam yang diuji dengan kesusahan akan sentiasa bersabar dan terima dengan tidak sesekali meminta-minta manakala yang diuji dengan kesenangan pula akan sentiasa bersyukur dan membantu orang lain yang ditimpa kesusahan. 

Rasulullah SAW berbangga dengan sikap umatnya yang seperti ini menerusi sabdanya: "Sungguh hebat sifat orang Mukmin, apa sahaja ujian menimpanya pasti dia terima dan reda. Jika dia diuji dengan kesenangan, dia bersyukur manakala jika diuji dengan kesusahan, dia bersabar. Semuanya baik bagi orang mukmin." (HR Muslim). Syeikh Bin Bāz ketika mengatakan bahawa hadis ini sebagai galakan supaya umat Islam sentiasa bersabar apabila ditimpa musibah dan bersyukur apabila dikurniakan nikmat kerana setiap mukmin tidak akan dapat melarikan diri daripada ujian Allah SWT. (Riyādh al-Sālihīn)

Suasana negara yang sedang dilanda virus pandemik pada waktu ini adalah waktu yang tepat untuk umat Islam memahami hakikat ini. Selepas hampir sembilan bulan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pelbagai fasa, kini kita menyaksikan ramai rakyat yang menghadapi kesukaran akibat perniagaan yang merundum, gaji tidak menentu bahkan ada yang dibuang kerja dalam tempoh 24 jam. Di sinilah orang mukmin akan melihat ujian ini sebagai satu peluang untuk dia banyakkan bersabar dan reda dengan hati yang terbuka.

Pada masa sama, kesusahan ini perlu disusuli dengan usaha lebih keras untuk meneruskan kehidupan diri dan keluarga. Tidak sepatutnya menjadikan kesusahan ini peluang untuk bermalas-malasan dan suka meminta-minta daripada orang lain. Sementara kesenangan mukmin yang lain pula mestilah disyukuri dengan memanfaatkannya kepada mereka yang memerlukan. Jangan menunggu sehingga diminta-minta, tetapi segeralah mencari dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang ditimpa ujian kesusahan ini.

Allah SWT mengajar baginda agar bersyukur atas nikmat kesenangan menerusi firman-Nya: "Maka hendaklah kamu bersyukur atas nikmat kurniaan Tuhanmu." (al-Duhā: 11). Ketahuilah orang yang bersyukur pasti akan ditambahi rezekinya seperti seruan al-Quran (Ibrahim: 7). Tanda syukur mestilah diterjemahkan dalam bentuk amalan dan tindakan seperti solat, puasa dan sebagainya. Bersyukur juga melalui sedekah dan menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan. Inilah pengajaran daripada kisah Rasulullah SAW yang mendirikan solat sehingga pecah tapak kakinya, apabila ditanya mengapa baginda melakukannya sedangkan baginda telah dijamin syurga? Kata baginda: "Beginilah cara aku menjadi hamba yang bersyukur." (HR al-Tirmizi)

Mereka yang sedang diuji dengan kesusahan pula hendaklah bersabar menghadapi implikasi ekonomi yang merudum ini. Mulakan langkah baharu ke arah kehidupan yang lebih baik. Kesusahan satu ujian yang sentiasa datang dalam pelbagai bentuk seperti firman Allah SWT di dalam al-Quran: "Kami menguji manusia dengan ketakutan, kelaparan, kehilangan harta benda, kematian orang tersayang dan kerosakan tanaman. Khabarkanlah berita gembira (balasan) ini kepada orang yang bersabar." (al-Baqarah: 155). 

Ujian yang sedang dihadapi oleh sebahagian besar golongan miskin atau B40 pada waktu ini mungkin kehilangan pendapatan dan kewangan akibat ketidakstabilan ekonomi negara sejak penularan virus pembunuh ini. Allah SWT merakamkan di dalam al-Quran banyak kelebihan orang yang bersabar lantaran sifat sabar adalah sifat Nabi dan Rasul-Nya. Ujian para anbiya jauh lebih berat jika dibandingkan dengan hamba biasa seperti kita.  

Firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang bersabar akan diberi balasan (nikmat) yang tidak terkira." (al-Zumar: 10). Imam al-Tabari ketika mentafsirkan ayat ini, beliau mengatakan balasan yang dimaksudkan itu ialah kebahagiaan hidup di dunia, pahala yang berterusan dan nikmat syurga yang kekal abadi (al-Tafsir al-Tabari). Seterusnya Allah SWT mengampuni dosa orang yang bersabar kerana sifat kesabaran itu termasuk satu hal yang sangat berat (al-Syura: 43). Marilah kita banyakkan bersabar dan bertaubat kepada-Nya sebagai tanda kita hamba-Nya dan banyak melakukan dosa dan kesalahan kepada Allah SWT. Sesungguhnya hanya Dia yang maha pengampun lagi maha penerima taubat.

Semoga Allah SWT membalas jasa baik orang mukmin yang banyak menghulurkan bantuan sepanjang tempoh PKP dikuatkuasakan. Kita dapat lihat selain bantuan kerajaan terdapat pendakwah bebas, badan bukan kerajaan dan figura tertentu yang bermurah hati menghulurkan simpati terhadap nasib rakyat Malaysia yang menghadapi kesukaran hidup. Semoga mereka panjang umur dalam limpahan rezeki dan kemanisan iman.

Begitu juga kepada mereka yang diuji dengan kesukaran hidup, semoga banyakkan bersabar dan berusaha selagi yang termampu. Sesungguhnya kita semua milik Allah SWT, Dia berhak memberi dan menarik apa sahaja daripada hamba-Nya. Justeru, bersyukur ketika diberi, bersabar ketika ditarik kerana semuanya ada hikmah yang mesti dihayati dengan iman yang benar, hati yang lapang dan akal yang waras.

Penulis pensyarah di Management & Science University (MSU)

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 5:59 AM