PENGGUNAAN kaedah tarjih pernah diajar Nabi SAW bagi memilih orang yang layak menjadi imam solat.
PENGGUNAAN kaedah tarjih pernah diajar Nabi SAW bagi memilih orang yang layak menjadi imam solat.
Dr Mohd Khafidz Soroni

DALAM perbincangan ilmu mukhtalif al-hadith, tiga kaedah digunakan bagi merungkai percanggahan antara hadis iaitu kaedah jam' (penyelarasan), kaedah tarjih (pemilihan) dan kaedah naskh (pemansuhan). Dalam siri lalu sudah dibincangkan kaedah jam' sekiranya dua hadis yang saling bertentangan dari segi zahir boleh diselaraskan secara bersama.

Namun, jika kedua-dua hadis tidak dapat diselaraskan, ulama akan menggunakan langkah kedua iaitu kaedah tarjih (pemilihan). Kaedah ini bertujuan memilih mana satu hadis yang lebih kuat berdasarkan kriteria tertentu.

Penggunaan kaedah tarjih pernah diajarkan Nabi SAW bagi memilih orang yang layak untuk menjadi imam. Daripada Abu Mas'ud RA, katanya: Sabda Rasulullah SAW: "Hendaklah mengimami suatu kaum itu orang yang paling mahir membaca al-Quran. Jika mereka dari segi bacaan al-Quran sama, maka orang yang paling mengetahui sunnah. Jika mereka dari segi pengetahuan mengenai sunnah sama, maka orang yang paling awal berhijrah. Jika mereka dari segi hijrah pun sama, maka orang yang paling awal memeluk Islam." Dalam riwayat lain: "Orang yang paling berusia." Hadis Riwayat Muslim

Ulama usul menyenaraikan sehingga lebih daripada 100 kaedah tarjih bagi merungkai pertentangan antara nas syarak yang berlaku. Dalam aspek hadis, hadis yang ramai perawinya didahulukan ke atas hadis yang sedikit perawinya, hadis yang perawinya lebih kuat ingatan, alim dan warak didahulukan ke atas hadis yang perawinya tidak sedemikian, hadis yang perawinya masyhur didahulukan ke atas hadis yang perawinya tidak masyhur, hadis yang mutawatir didahulukan ke atas hadis ahad, hadis musnad didahulukan ke atas hadis mursal, hadis yang berbentuk tutur kata didahulukan ke atas hadis yang hanya berbentuk perbuatan dan sebagainya.

Adakalanya proses tarjih memerlukan kepada aspek sokongan luar seperti hadis yang disokong oleh ayat al-Quran, sunnah, ijmak, qiyas, amalan ahli Madinah atau amalan sebahagian Salaf perlu didahulukan ke atas hadis yang tiada apa-apa sokongan.

Ukuran yang perlu diambil kira ialah wujud sangkaan (az-zann) yang kuat terhadap salah satu hadis bahawa ia lebih dekat kepada hakikat yang sebenar daripada Nabi SAW. Oleh itu, dalam proses tarjih ini, sering berlaku perselisihan pendapat dalam kalangan ulama berdasarkan dimensi ijtihad masing-masing.

Contohnya, banyak pandangan hukum dalam mazhab Syafie dipilih setelah melalui proses tarjih, seperti membaca surah al-Fatihah di belakang imam, membaca Bismillah secara jahr (suara kuat), takbir sambil mengangkat tangan untuk rukuk dan iktidal, berqunut Subuh, talkin mayat dan sebagainya.

Seorang pelajar pernah bertanya saya, "Bolehkah kita mengikut pandangan mazhab lain dalam sesuatu masalah, ustaz?" Saya jawab, "Kita tidak boleh sesuka hati mengikut pandangan mazhab lain begitu saja." "Tapi bagaimana kalau kita yakin dengan pandangan ulama mazhab itu?" tanya dia lagi. "Maka, apakah kita tidak yakin dengan pandangan ulama mazhab kita?" balas saya.

"Justeru soalnya sekarang, ulama mana yang lebih kita yakini? Ulama mazhab kita atau ulama mazhab lain? Bagi masyarakat awam, sudah memadai mereka mengikuti dan meyakini pandangan mufti di tempatnya. Ini kerana mazhab orang awam ialah mazhab mufti yang diminta fatwa daripadanya. Jika orang awam boleh sesuka hati memilih (tarjih) mana-mana pandangan ulama yang mereka yakini selain mufti di tempatnya, nescaya akan berlaku nanti banyak perpecahan dan pertikaian dalam kalangan masyarakat. Hal ini tentunya boleh mendatangkan mudarat yang lebih besar serta ditegah oleh syarak."

Sambung saya lagi, "Apakah soal memilih ulama mana yang lebih diyakini itu tugas orang awam? Apakah mereka tahu dalil yang diguna pakai oleh setiap ulama itu? Bagaimana mereka hendak mengukur hujah siapakah yang lebih kuat? Apakah kelayakan dan syarat ijtihad yang mereka ada untuk memutuskannya? Mampukah mereka membuat perbandingan, menganalisis dan membincangkan setiap dalil berdasarkan kaedah usul fiqah? Jika tidak, memadailah mereka meyakini pandangan mufti di tempatnya."

Ringkasnya, soal memilih ulama mana yang lebih diyakini ini bukan soal mudah, boleh dibuat sesuka hati dan bukan hanya semata-mata melihat kepada populariti dan kepetahan tutur kata.

Oleh itu, masyarakat perlu yakin dengan kemantapan ilmu ulama yang dijadikan sebagai sumber rujukan.

Jika perselisihan pendapat secara ilmiah tetap tidak dapat dielakkan, pastikanlah ia berlaku dalam situasi harmoni dan menjaga adab ikhtilaf. Dengan cara inilah, keempat-empat mazhab fiqah yang muktabar dalam Islam iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali diwarisi secara konsisten sehingga hari ini.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 9:48 AM