Dr Mohd Hasrul Shuhari

SEBUAH buku yang wajar menjadi rujukan umat Islam bertajuk Akidah Salaf ditulis oleh Ustaz Nur Hidayat Muhammad.

Kitab ini menjelaskan salah faham dalam kalangan umat Islam yang keliru dalam mengaitkan beberapa pandangan kontroversi dengan golongan salaf soleh (ringkasnya, bermaksud golongan yang bermula pada zaman Nabi SAW sehingga kurun ketiga Hijrah atau dalam pandangan lain sehingga kurun kelima Hijrah).

Contohnya, ada beberapa individu kontemporari yang mendakwa berpegang dengan salaf mengkritik Sheikh Ali al-Sabuni kerana al-Sabuni menyeru kepada mentanzihkan (menyucikan) Allah daripada jisim, kelopak mata, lubang telinga, lidah, kerongkong, shakl (bentuk) dan surah (gambaran).

Alasan kritikan itu adalah salaf tidak pernah menafikan perkara terbabit wujud pada Allah.

Sedangkan al-Sabuni adalah benar dan menepati akidah salaf soleh yang sebenar dalam menafikan perkara terbabit.

Terdapat juga dakwaan bahawa dibolehkan menetapkan Allah memiliki jisim yang tidak seperti jisim-jisim makhluk (jism la ka al-ajsam).

Selain itu, dakwaan menyatakan bahawa Allah berpindah (intiqal) dari atas ke bawah, Allah memiliki lima jari, Allah menggenggam dengan sesuatu alat yakni yad (tangan dianggap alat) dan Allah mampu untuk berada atas nyamuk tanpa nyamuk terbabit terasa berat.

Maka, ini memberi faham seolah-olah Allah mempunyai sifat anggota badan seperti tangan dan mata meskipun mereka mendakwa anggota badan tangan dan mata Allah tidak sama dengan tangan dan mata makhluk-Nya.

Sedangkan salaf soleh dalam menjelaskan sifat mutashabihat (secara ringkasnya, ia bermaksud ayat yang samar-samar maksudnya atau ayat yang menunjukkan seolah-olah Allah menyerupai makhluk-Nya) adalah jauh daripada apa yang didakwakan itu.

Bahkan salaf soleh yang sejati memberi ancaman kepada sesiapa yang menggerakkan tangan atau menunjukkan jarinya ketika menjelaskan lafaz yadun (tangan) dan asabi' (jari-jari) bagi Allah dengan hukuman potong tangan dan jarinya.

Meskipun mereka tidak benar-benar melakukan hukuman terbabit, tetapi ia cukup menunjukkan ketegasan mereka mengenai bahaya tajsim dan tasybih.

Sikap sebenar salaf soleh ini dapat dilihat dalam kitab yang menjadi rujukan salah satu subjek Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berjudul al-Firaq al-Islamiyyah tulisan al-'Allamah al-Sheikh Ishaq ibn 'Aqil 'Azuz al-Makki.

Ibn Hajar al-'Asqalani menjelaskan salah faham yang hampir sama dalam kitab Fath al-Bari bahawa terdapat hadis sahih riwayat al-Bukhari yang menunjukkan bahawa Nabi menunjukkan isyarat ke mata dengan jarinya ketika bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak buta mata satu."

Golongan Mujassim berhujah dengan hadis ini mendakwa Allah memiliki mata seperti mata makhluk-Nya.

Ibn al-Jauzi juga membangkitkan perkara sama dalam Daf'u Syubah al-Tasybih ketika menegur golongan yang mendakwa Allah memiliki dua mata (bukan satu, tiga atau lebih) berdasarkan hadis ini.

Sedangkan maksud sebenar hadis itu adalah isyarat menafikan kekurangan bagi Allah.

Ia tiada kaitan bahawa Allah mempunyai alat mata atau memiliki bilangan jumlah mata tertentu.

Perbahasan berkenaan akidah salaf soleh yang sebenar amat penting.

Ini berdasarkan permasalahan semasa yang menunjukkan bahawa ramai masyarakat yang keliru berkenaan pegangan salaf soleh yang tulen.

Kenyataan Imam Ibn Syahin al-Hanbali ini menunjukkan bahawa dua ulama besar Ahli Sunnah wal Jamaah ini sering dipergunakan nama mereka oleh golongan ahli bidaah.

Golongan Syiah mendakwa Imam Jaafar al-Sodiq adalah imam mereka dalam ajaran Syiah manakala golongan Mujassimah atau Musyabbihah dan yang cenderung kepada fahaman mereka selalu mengaitkan Imam Ahmad dengan pandangan tajsim (ajaran yang menyatakan Allah ada jisim) dan tasybih (ajaran yang menyamakan Allah Ta'ala dengan makhluk).

Sedangkan Imam Jaafar al-Sodiq dan Imam Ahmad adalah ilmuwan besar salaf soleh dalam Ahli Sunnah wal Jamaah yang bebas daripada ajaran Syiah, Mujassimah dan Musyabbihah.

Imam Ibn al-Jauzi daripada mazhab Hanbali juga antara ilmuwan yang turut menyedari bahaya ini.

Pada ketika itu, sebahagian daripada pengikut mazhab Hanbali terpengaruh ajaran tajsim dengan mendakwa bahawa pandangan itu yang dipegang Imam Ahmad ibn Hanbal.

Ini fitnah (huru-hara) yang berlaku dalam mazhab Hanbali suatu ketika dahulu sebagaimana yang dibangkitkannya dalam kitab Daf'u Syubah al-Tasybih.

Beliau berkata: "Maka janganlah kalian memasukkan fahaman yang bukan berasal daripada lelaki salaf soleh ini (Imam Ahmad ibn Hanbal), jika tidak nescaya kalian telah memakaikan mazhab Hanbali dengan pakaian yang buruk sehinggalah sampai ke tahap mazhab Hanbali dianggap sebagai Mujassim."

Beliau juga menegur mereka kerana tidak menggunakan kaedah majaz (kiasan) yang merupakan kaedah takwilan yang diiktiraf dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah untuk menghindari tajsim.

Begitu juga mereka tidak menggunakan kaedah salaf soleh yang sebenar iaitu baca sifat-sifat Allah dan diam (tidak membicarakannya dan mendalaminya).

Ia juga dikenali sebagai tafwid (serah makna sifat mutashabihat yang sebenar kepada Allah) yang juga mampu menghindari tajsim.

Sebaliknya mereka membicarakannya juga dengan membawa makna zahir bagi sifat Allah sehingga terjebak kepada tajsim seperti istiwa' difahami dengan makna zahir duduk (al-qu'ud) dan nuzul difahami dengan makna zahir berpindah (al-intiqal).

Sejarah ini juga disebut oleh ilmuwan kontemporari iaitu Sheikh Abu Zahrah dalam kitab Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah yang menjadi antara rujukan penting dalam salah satu subjek di UniSZA.

Beliau membangkitkan persoalan adakah salaf soleh memahami sifat Allah secara zahir makna tanpa takwil.

Kemudian beliau membawakan pandangan Ibn al-Jauzi berkenaan fahaman tajsim yang berlaku pada kurun keempat Hijrah dengan menegaskan bahawa ia bukan fahaman salaf soleh tulen seperti yang dibawa Imam Ahmad ibn Hanbal.

Abu Zahrah juga menzahirkan bahawa kaedah sebenar adalah kaedah yang dibawa oleh al-Maturidi, Ibn al-Jauzi dan al-Ghazali berkaitan kaedah tafwid dan takwil.

Pendedahan mengenai sejarah ini kepada golongan terpelajar dalam negara amat penting kerana mereka adalah pewaris negara generasi berikutnya.

Antara perkara bidaah (yang disepakati ulama sebagai haram bahkan boleh membawa kepada kerosakan akidah) yang perlu didedahkan bahayanya kepada mereka ialah ajaran tajsim dan tashbih terbabit, apatah lagi ia sering didakwa sebagai ajaran salaf soleh.

Perbezaan pandangan antara ilmuwan salaf soleh dan khalaf toyyib adalah pada perkara cabang akidah sahaja.

Perlu diakui bahawa fahaman salaf soleh adalah pandangan yang paling afdal (terbaik).

Maka, kebarangkalian ini ramai yang cuba mencari dan memilih pandangan mereka.

Tetapi, situasi semasa menzahirkan terdapat sebilangan pihak yang mendakwa telah memilih salaf soleh terbabit, tetapi hakikatnya ia bukan mewakili golongan terbaik terbabit, meskipun mereka sering menggunakan nama gelaran mulia seperti salaf soleh, athariyyah, salafiyyah, ahlul hadis dan seumpamanya.

Menjadi tanggungjawab kepada sekurang-kurangnya sebahagian ulama untuk menjelaskan bahaya ini kerana hukumnya adalah fardu kifayah.

Jika tidak dilaksanakan maka akibatnya semua pihak menanggung dosa bersama.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 5:59 AM