UMAT Islam perlu mencorakkan kehidupan mendatang lebih baik dari sebelumnya. FOTO Arkib NSTP
UMAT Islam perlu mencorakkan kehidupan mendatang lebih baik dari sebelumnya. FOTO Arkib NSTP
Mohd Shahrizal Nasir

Setiap saat yang berlalu dalam kehidupan tidak akan berulang kembali. Maka setiap yang berlalu itu disebut sebagai pengalaman hidup. Kita pasti mempunyai pengalaman hidup yang tersendiri. Sama ada pengalaman itu baik atau sebaliknya, ia adalah pengalaman yang dilalui sendiri. Kadang kala pengalaman datang tanpa diduga dan tanpa sebarang perancangan.

Pengalaman bukan sekadar untuk dikenang begitu sahaja. Ia perlu dihayati dan diambil iktibar daripadanya. Bukan sahaja pengalaman yang baik, malah pengalaman yang kurang baik juga perlu diambil kira dan dijadikan pedoman untuk kehidupan masa akan datang. 

Hakikatnya, pengalaman mendewasakan kehidupan setiap manusia. Setiap saat yang mendatang perlu diisi dengan kebaikan berdasarkan pengalaman yang dilalui. Sungguh malang apabila orang Islam menemui kegagalan yang sama untuk kali kedua kerana tidak mengambil pengajaran daripada pengalaman kali pertama.

Rasulullah SAW ada mengingatkan umatnya agar berhati-hati dalam kehidupan agar tidak melakukan kesilapan sama berulang kali. Sabda baginda SAW bermaksud:  "Tidak selayaknya seorang Mukmin dipatuk ular dari lubang yang sama sebanyak dua kali."  (Muttafaq 'alaih)

Menurut Ibn Hajar al-'Asqalani dalam kitabnya  Fath al-Bari:  "Seorang Muslim harus sentiasa berwaspada, jangan sampai lalai, sama ada dalam urusan agama mahupun urusan dunianya."

Kenyataan ini bertepatan hadis Rasulullah SAW yang dinyatakan sebelum ini mengenai keperluan setiap umat Islam mengambil iktibar perkara buruk berlaku dalam kehidupan. Manusia yang sentiasa mengambil iktibar daripada pengalaman lalu akan dapat menyelamatkan dirinya daripada kesilapan yang pernah dilakukan sebelumnya.

Umat Islam perlu mencorakkan kehidupan mendatang yang lebih baik daripada sebelumnya. Kehidupan umat Islam perlu bergerak maju ke hadapan dengan mengambil kira pengalaman lepas. Perkara yang buruk dielakkan, manakala perkara yang baik diteruskan malah dipertingkatkan kualitinya dari semasa ke semasa.

Jika dilihat kepada sirah Rasulullah SAW, banyak perkara yang berlaku dijadikan panduan oleh Rasulullah SAW dan sahabat untuk mengatur strategi baharu. Lihat sahaja proses dakwah Baginda SAW yang bermula di Makkah. Apabila dakwah baginda SAW mendapat tentangan penduduk Makkah, Baginda mengatur langkah ke Taif untuk menyebarkan dakwah Islam. Keadaan yang sama baginda SAW lalui ketika di Taif. Dengan perintah Allah SWT, Baginda SAW dan umat Islam berhijrah ke Madinah untuk memulakan proses dakwah yang lebih besar sehingga terbinanya sebuah negara Islam yang sangat hebat. Kejayaan Baginda ini diteruskan pula dengan pembukaan Makkah yang menjadi bukti keberkesanan strategi Rasulullah SAW dengan panduan serta petunjuk daripada Allah SWT. Allah SWT berfirman menjelaskan keperluan umat Islam agar berusaha mencari kebaikan dalam hidup setelah ditimpa pelbagai ujian yang bermaksud:  "Sesungguhnya orang yang diambil nyawanya oleh Malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: 'Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu? Mereka menjawab: Kami dahulu adalah orang yang tertindas di bumi. Malaikat bertanya lagi: Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya? Maka orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.'"  (Surah an-Nisa', ayat 97)

Semua strategi yang diatur oleh Rasulullah SAW mengambil kira pengalaman yang dilalui sendiri oleh Baginda sepanjang proses menyebarkan Islam. Sudah tentu semuanya berlangsung dengan ketentuan dan izin Allah SWT, namun perancangan berdasarkan pengalaman dakwah Baginda SAW turut memberi kesan positif kejayaan penyebaran Islam.

Perkara ini perlu dicontohi oleh umat Islam dalam mengatur kehidupan seharian. Untuk menjadi orang yang bijak mengatur strategi bagi mencapai sesuatu kejayaan, pengalaman yang dilalui perlu diambil kira kerana ia sangat bermakna.

Contoh lain dapat dilihat apabila menelusuri peristiwa perang besar dalam Islam iaitu perang Badar dan perang Uhud. Tentera Islam mencapai kemenangan semasa dalam perang Badar namun perkara yang sama tidak berlaku semasa perang Uhud. Lihatlah di dalam al-Quran apabila Allah SWT menggandingkan dua perang besar ini dalam satu ayat bagi membolehkan umat Islam mengambil iktibar daripada pengalaman yang mereka lalui ketika berlakunya peperangan tersebut.

Firman Allah SWT bermaksud:  "(Patutkah kamu melanggar perintah Rasulullah)? dan (kemudian) apabila kamu ditimpa kemalangan (dalam perang Uhud), yang kamu telah pun memenangi seperti itu sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan kemalangan kepada musuh dalam perang Badar), kamu berkata: 'Dari mana datangnya (kemalangan) ini? Katakanlah (wahai Muhammad): Kemalangan itu ialah daripada kesalahan diri kamu sendiri (melanggar perintah Rasulullah). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.  Dan apa yang telah menimpa kamu pada hari bertemu dua kumpulan (angkatan tentera di medan perang Uhud) itu, maka (adalah ia) dengan izin Allah dan dengan tujuan Allah hendak melahirkan dengan nyata akan orang yang (sebenarnya) beriman.'"  (Surah Ali 'Imran, ayat 165-166)

Apakah antara hikmah Allah SWT merakamkan dua peristiwa penting tersebut dalam al-Quran? Adakah untuk kita dengar dan sekadar mengetahuinya? Tentu sekali ada banyak pengajaran yang boleh diambil daripada pengalaman umat Islam sebelum ini. Cuba pula hayati ayat al-Quran yang menceritakan kisah nabi dan umat terdahulu. Semuanya adalah perkara yang sudah berlalu dan menjadi pengalaman berguna dalam lipatan sejarah dunia ini.

Firman Allah SWT bermaksud:  "Demi sesungguhnya, kisah para Nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah para Nabi yang terkandung dalam al-Quran) bukanlah ia cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam kitab agama yang terdahulu daripadanya dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman."  (Surah Yusuf, ayat 111)

Oleh itu, marilah sama-sama kita merenung pengalaman yang pernah singgah dalam kehidupan sebelum ini. Usah biarkan pengalaman itu berlalu pergi tanpa mengambil pengajaran berguna. Renungilah pengalaman baik yang pernah berlaku untuk diterapkan dalam kehidupan hari ini agar kita dapat mencipta pengalaman yang lebih baik.

Apa yang lebih penting, setiap pengalaman yang berlalu pasti direkodkan dalam buku catatan amalan. Semoga semuanya adalah pengalaman baik yang dapat jadi  hasanat  (kebaikan) berguna untuk kehidupan di akhirat nanti. 

Penulis Pensyarah di Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 8:23 PM