FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Mohd Ajib Ismail

ANTARA berita yang sering ditunggu-tunggu oleh ramai pihak sepanjang mengikuti perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendepani Covid-19 ini termasuk berkaitan kebenaran mengadakan majlis akad nikah dan resepsi perkahwinan.

Perkahwinan hakikatnya adalah suatu ibadah dalam Islam. Ia dianjurkan bagi memelihara sekurang-kurangnya satu daripada maqasid syariah iaitu memelihara nasab dan keturunan.

Perkahwinan juga disyariatkan bagi mengurus keperluan semula jadi manusia selaras dengan tuntutan agama. Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud "Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami)." (Surah al-Dzariyat ayat 49).

Perkahwinan adalah dituntut apabila seseorang itu berkemampuan dari segi fizikal dan mental serta bimbang jika dirinya akan terjerumus dalam perbuatan dosa dan maksiat. Ia bertepatan dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud "Wahai anak muda. Sesiapa daripada kamu yang mampu untuk berkahwin, hendaklah dia berkahwin. Sesungguhnya ia akan menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu hendaklah dia berpuasa. Sesungguhnya puasa itu adalah perisai." (Sahih Muslim, Kitab an-Nikah).

Perkahwinan melatih individu membangunkan sifat kepemimpinan dalam diri, memupuk rasa kebersamaan dalam menghadapi cabaran rumah tangga, menjadikan suami dan isteri semakin matang dalam membuat keputusan, melatih sifat sabar dengan kerenah pasangan dan anak serta saling membantu dalam usaha mencari nafkah keluarga.

Perkahwinan yang didirikan atas asas syariat akan mewujudkan suatu ikatan kekeluargaan yang kukuh, mantap dan berkekalan berteraskan kasih sayang dan rahmat Allah SWT sebagaimana maksud ayat al-Quran "Dan di antara tanda-tanda membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Ia menciptakan untuk kamu (Wahai lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya. Dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir." (Surah al-Rum ayat 21).

Menganjurkan kenduri kahwin atau walimatulurus juga adalah suatu tuntutan syariat.

Ia adalah jamuan yang menjadi tuntutan agama dan bukan sekadar suatu upacara, adat atau budaya semata-mata.

Sebahagian ulama berpendapat hukum mengadakannya adalah sunat muakkad berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW kepada Abdul Rahman bin Auf sewaktu beliau berkahwin bermaksud "Hendaklah kamu mengadakan walimah walaupun dengan seekor kambing."

Walimah itu adalah jamuan makan yang diadakan kerana menerima khabar gembira mengenai perkahwinan.

Ia juga dilaksanakan untuk menzahirkan rasa syukur serta menghebahkan berita berkenaan kepada saudara-mara, sahabat handai dan masyarakat setempat.

Tetamu yang hadir juga dituntut agar mendoakan pasangan pengantin dengan kebaikan seperti hadis riwayat Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW apabila mengucapkan tahniah kepada pengantin, baginda akan menyebut: Semoga Allah memberkatimu, mengurniakan keberkatan kepadamu, dan mengumpulkan kamu berdua dalam kebaikan. (Jami' at-Tirmizi, Kitab an-Nikah).

Namun begitu, kenduri kahwin atau walimatulurus yang paling baik hendaklah dilakukan secara sederhana tidak sampai terjerumus dalam permasalahan hutang yang serius serta berlaku pembaziran yang amat dikeji oleh Islam.

Perbuatan itu hanya akan membebankan pasangan serta keluarga kedua-dua pihak pada masa hadapan. Sekiranya panduan dan nasihat agama dalam penganjuran walimah ini dipatuhi, perkara lain yang lebih utama serta perancangan masa hadapan dalam melayari bahtera rumah tangga akan dapat dilakukan dengan lebih tenang.

Keadaan ini akan memberi kesan dan impak yang amat baik kepada pasangan dalam menjalani kehidupan berumahtangga.

Sepanjang tempoh PKP ini, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengeluarkan beberapa garis panduan dan inisiatif bagi memudahkan urusan perkahwinan masyarakat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan.

Pada peringkat awal PKP dilaksanakan, majlis akad nikah secara sidang video dibenarkan melalui ketetapan dan syarat tertentu. Selain itu, ujian pemahaman secara dalam talian juga diadakan sebagai alternatif sementara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebagai ganti kepada Kursus Praperkahwinan Islam.

Manakala bakal pengantin di Wilayah Persekutuan akan diberi kelonggaran untuk mengikuti kursus Praperkahwinan secara dalam talian mulai Julai depan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga akan diberi pilihan sama ada menghadiri kursus secara fizikal atau dalam talian bagi menyokong amalan penjarakan sosial dan mengelak perhimpunan ramai.

Selain itu, khidmat nasihat dan runding cara kekeluargaan turut ditawarkan melalui medium dalam talian bagi memastikan kerukunan rumah tangga yang dibina sentiasa terpelihara.

Kebenaran yang diumumkan kerajaan bagi penganjuran majlis resepsi perkahwinan sudah pasti suatu berita yang dinanti-nantikan. Namun perkara lebih utama adalah tanggungjawab semua pihak untuk terus mematuhi segala SOP yang sudah ditetapkan serta mengikuti panduan syariat dalam penganjuran majlis agar perkahwinan mendapat keberkatan.

Penulis adalah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 8:23 AM