SEMANGAT ukhuwah dalam perhabatan amat tinggi.
SEMANGAT ukhuwah dalam perhabatan amat tinggi.
Bersama Mohd Rizal Azman Rifin

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Tanpa perpaduan dalam kalangan rakyat, semua pelan pembangunan, rangka kerja dasar serta pendekatan untuk kesejahteraan dan kemakmuran tidak mungkin tercapai.

Sejarah zaman awal Islam dahulu menyedarkan kita bahawa sebarang persengketaan dan perbalahan tidak memberikan sebarang kebaikan.

Sebaliknya, masyarakat hidup diselubungi keresahan dan huru-hara.

Selepas kewafatan Rasulullah SAW, berlaku polemik yang kritikal antara kaum Muhajirin dan Ansar menyentuh persoalan besar iaitu melantik siapa yang bakal menerajui negara Islam Madinah.

Belum lagi jenazah Rasulullah SAW dimakamkan, pemimpin masyarakat Ansar berjumpa sesama mereka untuk mengadakan pertemuan di Saqifah Bani Saidah.

Mereka bertemu bagi membincangkan pelantikan ketua baharu bagi menggantikan Baginda SAW.

Hal itu sebenarnya tidak dilibatkan kaum Muhajirin. Kumpulan Ansar melantik Sa’ad bin Ubadah sebagai pengganti Rasulullah SAW.

Selepas mendapat khabar berita itu, Saidina Abu Bakar bersama rakan karibnya, Saidina Umar al-Khattab serta beberapa pemimpin kaum Muhajirin bergegas ke Saqifah Bani Saidah.

Sebaik tiba di sana, Abu Bakar berucap di hadapan pemimpin Ansar. Antara isi ucapan Abu Bakar:

“Wahai sahabat-sahabat Ansar. Butir-butir air mata kamu masih belum kering kerana tangisan haru selepas mengingati pesanan Rasulullah SAW, ‘Tidakkah kamu rela jika orang-orang Muhajirin itu pulang membawa kambing dan unta. Sedangkan kamu pulang membawa Rasulullah ke tempat Kamu?

“Padahal ternyata kami (kaum Muhajirin) lebih dahulu beriman dan berjuang bersama Rasulullah SAW. Kami telah merasakan pahit getir perjuangan bersama Rasulullah SAW. Kami menanggung pelbagai derita demi membela perjuangan Rasulullah SAW menegakkan agama Allah.

“Kami rela berkorban harta benda, tenaga dan fikiran semata-mata kerana Islam. Kami diusir dari kampung halaman kami sendiri demi membela Allah dan Rasul-Nya. Namun, Rasulullah SAW memuliakan kamu, wahai kaum Ansar.”

Lalu Abu Bakar membaca apa yang pernah disabdakan Baginda SAW:

“Wahai sahabat-sahabat Ansar. Kami mengakui sepenuh jiwa akan jasa baik kamu terhadap kami kaum Muhajirin). Kamu menyambut dan menerima kami (kaum Muhajirin) dengan penuh mesra semasa kami tiba di bumi Madinah ini.

“Kamu menolong kaum Muhajirin dengan harta kamu sewaktu kami tiada apa harta pun dimiliki.

“Kamu bersama kami untuk turut serta membela perjuangan menegakkan risalah Islam. Memusuhi kamu (kaum Ansar) adalah tanda nyata munafik dan kekufuran. Mencintai kamu adalah bukti nyata keimanan dan keIslaman.”

Kemudian Abu Bakar berkata lagi, “Itulah perintah Rasulullah SAW yang selalu kami ingat dan patuhi. Oleh itu, wahai sahabat-sahabatku kaum Ansar, Rasulullah SAW sentiasa membabitkan kamu dalam setiap gerak kerja dakwah dan perjuangan. Malah, Baginda SAW tidak sesekali meminggirkan kamu.

“Oleh itu, jika kaum Muhajirin memimpin, maka kaum Ansar pun ikut sama.

“Kebersamaan jitu antara kita, Muhajirin dan Ansar bagaikan amir (pemimpin) dan wazir (menteri) kami adalah amir dan sahabat-sahabat sekalian adalah wazir.

“Saya berseru, dari bumi Saidah ini, marilah kita selesaikan perselisihan faham

antara kita. Marilah kita hidupkan jiwa dalam kebersamaan iman dan persaudaraan Islam sebenar.”

Intipati terpenting daripada kisah itu adalah sikap kebersamaan serta semangat ukhuwah Islamiah perlu ditegakkan dalam apa jua situasi.

Hanya sifat kebersamaan dan semangat kekitaan menjadi perisai ummah yang mampu memacu kejayaan hidup di dunia serta memperoleh rahmat Allah di akhirat kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 8:45 AM