FOTO hiasan
FOTO hiasan
Mohd Shahrizal Nasir

WAHYU pertama Allah SWT turunkan kepada Rasulullah SAW menunjukkan kepentingan membaca.

Ia meletakkan ilmu sebagai asas utama dalam penyebaran dakwah Rasulullah SAW dan sahabat Baginda.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia me-ngajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Surah al-‘Alaq, ayat 1-5)

Adakah kita termasuk dalam kalangan orang yang suka membaca? Is-lam memandang tinggi perbuatan membaca dalam proses pembentukan masyarakat yang berilmu.

Pelbagai ilmu pengetahuan dan maklumat baharu dapat ditemui melalui tabiat membaca.

Allah SWT mengangkat amalan membaca serta memberi petunjuk kepada hamba-Nya tentang kepentingan perbuatan ini bagi memandu mereka ke arah kehidupan yang lebih sempurna.

Tanpa ilmu pengetahuan, manusia akan terus berada dalam kegelapan dan mungkin juga menjadi mangsa kepada tipu daya kehidupan dunia.

Kemajuan teknologi telekomunikasi masa kini membuatkan ramai orang dapat membaca hanya menggunakan telefon pintar masing-masing.

Amalan membaca menjadi petunjuk bagi membezakan antara orang yang bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu dengan orang malas.

Hanya dengan ilmu pengetahuan, manusia dapat mencipta kejayaan untuk manfaat diri sendiri seterusnya membentuk tamadun yang terbilang.

Pemilihan bahan bacaan berkualiti juga perlu dititikberatkan dalam proses membina identiti Muslim berilmu dan berakhlak mulia.

Ibu bapa perlu memilih bahan bacaan terbaik dalam proses menggalakkan anak minat membaca.

Tanpa kawalan dan tapisan, anak mungkin terdedah kepada pelbagai bentuk pengaruh dan ideologi negatif yang cuba disebarkan pihak yang tidak bertanggungjawab melalui bahan bacaan.

Kepesatan teknologi sedikit sebanyak menurunkan minat golongan remaja untuk memilih buku sebagai bahan bacaan utama.

Kebanyakan daripada mereka lebih memilih duduk berjam-jam di hadapan komputer untuk melayari Internet daripada memperuntukkan masa untuk membaca buku.

Tanpa menafikan peranan Internet, usaha perlu diteruskan bagi memupuk minat masyarakat membaca bahan ilmiah yang mengandungi fakta lebih tepat dan bermanfaat.

Usaha yang dilakukan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menggalakkan masyarakat membudayakan amalan membaca perlu disokong.

Kementerian berhasrat menjadikan tempoh masa 10 tahun iaitu dari 2021 sehingga 2030 sebagai Dekad Membaca Kebangsaan.

Hasrat murni itu pastinya memerlukan aktiviti yang menyokong ke arah sasaran pencapaian yang ditetapkan.

Membaca juga dapat mengasah minda manusia untuk berfikir dengan kritis. Hakikatnya, manusia diperintah untuk menyaksikan kehebatan Allah SWT dan berfikir mengenainya.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan Dialah yang menjadikan bumi terbentang luas, dan menjadikan padanya gunung-ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir). Dan daripada tiap-tiap jenis buah-buahan, Dia jadikan padanya pasangan, dua-dua. Dia juga melindungi siang dengan malam silih berganti. Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu) berfikir.” (Surah ar-Ra’d, ayat 3)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 7:00 AM