FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.
Suriany Awaludin

Sebelum ini pernah berlaku pergaduhan besar antara saya dan suami. Suami marah dan berkata, “Kau hendak ke aku lafaz...”

Suami berkata begitu berulang kali sambil menengking, namun saya hanya mendiamkan diri. Saya faham, maksud suami itu dia mengugut hendak melafazkan cerai terhadap saya. Bagaimanapun, tiada lafaz cerai atau seumpamanya diungkapkan suami dalam kejadian itu. Adakah jatuh talak dalam situasi berkenaan?

Keliru, Damansara

Dalam perkahwinan masyarakat Islam di negara ini, memang wujud segelintir suami menjadikan talak sebagai senjata dalam perbalahan bersama isteri.

Perkembangan itu amat tidak wajar berlaku dalam konteks dunia tanpa sempadan hari ini. Jika suami tiada pengetahuan berkenaan talak dan hukumnya, apa salahnya membuat carian dan ilmu menggunakan kelebihan teknologi.

Janganlah menjadikan talak sebagai bahan gurauan atau ugutan setiap kali berlaku pergaduhan. Dalam satu hadis masyhur bermaksud: “Perbuatan halal yang paling dibenci oleh Allah adalah talak.”

Oleh itu, suami perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan hukum syarak. Sekurang-kurangnya perkara asas berkaitan tugas dan tanggungjawab suami, mahupun jika menyentuh bab talak.

Lafaz talak itu terbahagi kepada dua jenis untuk menentukan sama ada jatuh atau tidak talak terhadap isteri.

Lafaz secara terang (sareh) iaitu lafaz yang digunakan itu adalah talak atau cerai seperti suami berkata: “Aku talak atau ceraikan engkau.”

Lafaz sindirian (kinayah) iaitu lafaz yang mengandungi makna talak dan makna lain berdasarkan niat orang yang melafazkan seperti suami berkata: “Berpisah kita, baliklah awak ke rumah ibu bapa awak” dan sebagainya.

Lafaz kinayah memerlukan niat untuk sah talak. Ertinya, suami yang mengucapkan kata-kata seperti itu mestilah niat yang dia bermaksud dengan kata-katanya itu sebagai talak.

Persoalan sama ada gugur atau tidak talak yang dilafazkan bergantung kepada rukun dan syarat rukun sudah dipenuhi atau tidak.

Rukun talak terbahagi kepada lima iaitu sighah (lafaz talak), mahal (orang yang ditalak atau isteri), wilayah (kekuasaan), qasad (niat) dan mutallaq (pentalak).

Dalam masalah berkenaan, ia perlu dilihat kepada rukun sighah dan pentalak. Syarat bagi suami yang menjatuhkan talak hendaklah:

l Baligh - Tidak sah talak daripada suami yang masih kanak-kanak.

l Berakal - Tidak sah talak daripada suami yang gila atau hilang akal kecuali yang disengajakan, maka jatuhlah talaknya.

l Dengan kehendak sendiri -Tidak sah talak secara paksaan sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak sah talak dengan paksaan.”

Pandangan Mazhab Shafie dalam paksaan atau marah cukup jelas sebagaimana kata Imam Nawawi dalam kitabnya, al-Muhazzab yang diulas oleh Imam al-Syirazi di dalam kitab al-Majmu’, maksudnya: “Dan jatuh talak jika dilafazkan dalam ketika rela (tidak dipaksa), ketika marah

dan ketika bersungguhsungguh dan jatuh juga ketika bermain-main dengan talak.

Berdasarkan hadis riwayat Abu Hurairah, bahawasanya Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga perkara yang dibuat sungguh jadi sungguh dan dibuat main-main jadi sungguh iaitu nikah, talak dan rujuk.”

Imam Ibn Qayyim memecahkan isu marah (ketika talak) kepada tiga kategori iaitu:

1. Kemarahan biasa yang mana ia langsung tidak mengubah akal dan dia sedar sepenuhnya setiap patah perkataan yang diucapkannya, maka talak jatuh tanpa khilaf lagi.

2. Kemarahan sederhana yang belum sampai ke puncak yang mana akal masih antara dikawal atau dikuasai oleh nafsu ammarah. Talak dalam keadaan ini juga tidak sah.

3. Marah yang boleh menghilangkan akal dan pertimbangan manusia. Maka, ia bertepatan pendapat jumhur, talak yang dilafazkan dalam situasi begitu tidak sah.

Menurut pandangan Mazhab Syafie, keadaan marah tidak dinyatakan secara terperinci peringkat atau kategori kemarahan. Namun, dari aspek kepentingan awam, mahkamah akan merujuk kepada pandangan mazhab lain dalam mengenal pasti tahap kemarahan yang dimaksudkan.

Oleh itu, suami yang melafazkan cerai atau talak ketika marah yang menyebabkan dia hilang pertimbangan sebagai manusia, maka tidak menjatuhkan talak.

Merujuk kepada lafaz yang dibuat itu, tidak ditemui pernyataan mengenai lafaz yang menggunakan perkataan cerai atau talak. Malah suami seolah-olah bertanyakan kepada isteri sama ada isteri mahu atau tidak suami melafazkannya.

Isunya, lafaz itu tergantung maksudnya dan tidak dinyatakan dengan jelas. Jika suami tiada sebarang niat untuk menceraikan isteri ketika bertempik itu, maka ia tidak menggugurkan talak.

Penulis ialah peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 1:59 AM