GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Qira’ah Fatwa

Apa hukum memuat naik gambar tidak menutup aurat (gambar dahulu) dalam cabaran #10yearschallenge?

MEMANDANGKAN ia isu baru, maka kami melihat gambar yang bercetak atau dalam bentuk digital boleh diqiyaskan hukumnya kepada pantulan objek pada cermin atau air yang dibincangkan ulama.

Dalam bab ini, Imam al-Ramli ketika mensyarahkan pendapat Imam Nawawi dalam Al-Minhaj menyebut: Diharamkan seorang lelaki yang baligh daripada melihat aurat wanita ajnabi yang merdeka, tetapi tidak haram jika aurat itu sekadar imej, gambar atau pantulan.

Maka, tidak diharamkan melihat aurat melalui cermin sebagaimana yang difatwakan sekumpulan ulama kerana ia tidak dikira melihat aurat secara langsung atau terus.

Bagaimanapun, keharusan itu terpakai selagi ia tidak menimbulkan fitnah. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 6/187) Hal itu juga disebutkan Syeikh Abu Bakr ad-Dimyathi dalam I’anah at-Thalibin, 3/301.

Isu penting untuk diperhatikan adalah sama ada gambar dahulu itu ketika mumayyiz atau belum mumayyiz.

Sekiranya belum mumayyiz, kami cenderung menyatakan hukumnya harus selagi tidak membawa fitnah. Manakala bagi yang sudah mumayyiz, hukumnya adalah haram.

Ini kerana memuat naik gambar yang tidak menutup aurat sempena fenomena cabaran #10yearschallenge yang tular itu bukan satu keperluan penting dan sekadar suka-suka.

Ia tidak termasuk dalam pengecualian dan kelonggaran yang kami bahaskan pada 21 Mei tahun lalu iaitu Irsyad al-Fatwa berhubung ‘hukum memuat naik gambar tidak menutup aurat di media sosial’.

Selain itu, sikap wara’ dan berhati-hati hendaklah diutamakan. Potensi untuk gambar dahulu yang tidak menutup aurat (walaupun sekarang menutup aurat) untuk menjadi fitnah amat tinggi.

Maka, di sini asas pengharamannya berdasarkan kaedah sadd al-zari’ah iaitu mencegah perkara harus yang boleh membawa kepada yang haram.

Ia juga berdasarkan kaedah fiqh lain yang bermaksud: “Apa sahaja yang membawa kepada yang haram, maka ia haram.”

Ini juga berdasarkan satu kaedah bermaksud: “Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan.”

Kaedah itu diambil daripada kata-kata Saidina Umar R.A: “Barang siapa yang menempuhi laluan tohmahan, akan ditohmah.”

Sebarang perkara berisiko menimbulkan fitnah, hendaklah sedaya upaya dielakkan kerana ia akan memberi kesan buruk baik untuk jangka pendek atau panjang.

Sebarang bentuk gambar yang boleh dimanipulasi untuk tujuan tidak baik, hendaklah dipertimbangkan sebaik-baiknya sebelum dimuatnaik. Apatah lagi dalam suasana zaman sekarang yang terdedah kepada bahaya, termasuk isu membabitkan ‘child predator’ dan pedofil.

Sumber: Al-Kafi Li al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 10:44 AM