ARAB Saudi menetapkan wukuf di Arafah tahun ini pada Jumaat, 8 Julai ini. FOTO Arkib NSTP
ARAB Saudi menetapkan wukuf di Arafah tahun ini pada Jumaat, 8 Julai ini. FOTO Arkib NSTP
Dr Mohd Khafidz Soroni

Berdasarkan laporan cerapan hilal (anak bulan) awal Zulhijah pada petang Rabu, 29 Jun lalu yang melibatkan 29 lokasi seluruh Malaysia didapati sebagai hasil rasmi rukyah, hilal tidak kelihatan disebabkan cuaca mendung, hujan dan berawan. Oleh itu, berdasarkan kaedah rukyah dan hisab diputuskan 1 Zulhijah 1443H adalah pada Jumaat, 1 Julai 2022. Maka, Hari Arafah di Malaysia jatuh pada Sabtu dan Aidiladha pada Ahad, 10 Julai 2022. Ini berbeza dengan Arab Saudi yang menetapkan wukuf di Arafah pada Jumaat dan Aidiadha pada Sabtu.

Antara isu yang sering mengelirukan sebahagian masyarakat ialah penetapan tarikh yang berbeza antara Malaysia dan Arab Saudi. Perlu diketahui bahawa kita tidak sepatutnya terus keliru dan mempersoalkan keputusan yang dibuat pihak ulil amri (pemerintah). Lebih-lebih tiada dalil jelas lagi muktamad dalam masalah ini dan ia termasuk dalam perkara ijtihad sahaja.

Dalam isu ijtihad, perbezaan pandangan tidak semestinya menunjukkan kita berpecah dan kesatuan pandangan pula tidak semestinya menunjukkan kita bersatu. Mereka yang masih mengkiaskan isu ijtihad dengan kesatuan umat Islam sebenarnya masih melihat isu sebegini daripada sisi pandangan yang sempit. Contohnya, perayaan agama lain yang disambut serentak pada tarikh sama di seluruh dunia contohnya, tidak semestinya menunjukkan mereka bersatu padu.

Sedangkan umat Islam adalah tertakluk kepada rukyah hilal di negara masing-masing. Justeru, kita tidak boleh bertaklid sahaja tarikh yang ditetapkan oleh Arab Saudi kerana matla' hilal (permulaan terbit anak bulan) di Malaysia berbeza dengan Arab Saudi. Maka, yakinlah dengan keputusan pihak ulil amri yang tentunya telah melantik barisan pakar yang terdiri daripada mufti negeri dan ahli falak profesional. Sekiranya ada perselisihan sekalipun hendaklah ditangani secara toleransi, namun masing-masing perlu akur dengan keputusan ulil amri. Mentaati ulil amri kewajipan bagi umat Islam selagi bukan pada perkara maksiat.

Realitinya, perpaduan setempat ini lebih munasabah dipelihara kerana kesamaan matla' hilal dan matlamat untuk menentukan waktu yang lebih teliti serta tepat berkaitan hal ibadah, di samping kesamaan daripada sudut bahasa, bangsa dan budaya pada kebiasaannya. Maka, tidak sepatutnya ada yang masih terus berbalah dan gemar mempertikai keputusan yang dibuat. Berdasarkan ijtihad ini, maka termasuk juga perbahasan tentang kelebihan 10 hari pertama Zulhijah. Maka, tidak kira sama ada di Malaysia atau Arab Saudi, kelebihan 10 hari berkenaan tetap diperoleh walaupun berbeza tarikh mulanya. Tidak ada istilah 'kita rugi kerana tertinggal satu hari.'

Sepuluh hari pertama Zulhijah adalah hari yang cukup istimewa sebagai penutup akhir tahun Hijrah. Amal soleh yang dilakukan pada waktu ini sangat disukai oleh Allah SWT. Daripada Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Tiada mana-mana hari pun yang amal soleh pada masa itu lebih disukai oleh Allah berbanding hari-hari ini iaitu 10 hari (pertama Zulhijah). Sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah?" Baginda menjawab: "Walaupun jihad di jalan Allah, kecuali seorang lelaki yang keluar dengan diri dan hartanya serta tidak balik semula daripadanya dengan sesuatu apa pun." Riwayat Abu Dawud dengan sanad sahih

Amal soleh yang perlu ditekankan ialah amalan sunat, selain amalan fardu yang memang tidak boleh ditinggalkan. Antaranya solat sunat, puasa sunat, bersedekah dan membaca al-Quran. Selain itu, terdapat dalil khusus agar memperbanyakkan berzikir dengan bertasbih, bertahmid, bertakbir dan bertahlil. Daripada Ibnu Umar RA bahawa Nabi SAW bersabda: "Tiada mana-mana hari pun yang lebih besar di sisi Allah dan yang lebih dicintai Allah akan amal soleh padanya berbanding hari-hari sepuluh ini. Oleh itu, perbanyakkanlah kamu sekalian bertahlil, bertakbir dan bertahmid." Riwayat Ahmad

Oleh kerana ia umum, maka boleh sahaja berzikir dengan zikir ma'thur atau zikir para solihin yang bertepatan dengan syarak seperti amalan tahlil yang disebutkan oleh Syeikh Abd al-Hamid Qudus al-Makki dalam kitab 'Kanz al-Najah wa al-Surur' dengan syarat tidak menisbahkannya sebagai hadis.

Begitu jugalah perbahasan tentang kelebihan puasa Hari Arafah. Maka, tidak kira sama ada di Malaysia atau Arab Saudi, kelebihannya tetap diperoleh walaupun berbeza harinya antara kedua-dua negara. Sabda Rasulullah SAW: "Puasa Hari 'Arafah akan menghapuskan dosa dua tahun, tahun lalu dan tahun kemudiannya." Riwayat Ahmad, Muslim dan Abu Dawud

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2022 @ 7:00 AM