FOTO Reuters
FOTO Reuters
Kembara Mukmin

Arak adalah ibu kepada segala kejahatan. Apabila seseorang itu mabuk, fikirannya menjadi tidak menentu.

Ketika mabuk, seorang itu menjadi seperti tidak berakal sehingga boleh melakukan perkara yang memalukan diri sendiri.

Ia juga boleh menjurus pelakunya terbabit dengan pelbagai dosa dan maksiat seperti zina, sumbang mahram serta membunuh.

Menurut Mazhab Imam al-Syafie, arak dan minuman yang memabukkan adalah najis.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji).” (Surah al-Maidah, ayat 90)

Pelbagai nikmat Allah SWT kurniakan kepada hamba-Nya, namun, paling utama adalah akal fikiran.

Akal membezakan serta memuliakan manusia dengan makhlukyang lain.

Yang paling kita bimbang adalah meminum yang memabukkan itu boleh menghalang manusia mengingati Allah SWT.

Selain itu, ia pastinya menyebabkan rahmat dan kurniaan Allah SWT akan menjauhi mereka.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu, dengan sebab arak dan judi serta mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan mengerjakan solat. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?” (Surah al-Maidah, ayat 91)

Terdapat juga hubungan yang sangat rapat antara kemalangan jalan raya dengan pengambilan alkohol.

Dalam kejadian berlaku di negara kita baru-baru ini, jelas menunjukkan betapa arak bukan sahaja membinasakan diri sendiri, malah memberi mudarat kepada orang lain.

Dalam kejadian di Tawau, Sabah, empat lelaki maut selepas dirempuh kenderaan yang dipandu wanita mabuk ketika mereka berada di kawasan letak kenderaan.

Manakala dalam satu lagi kejadian di Lebuh Raya Maju Expressway (MEX), Kuala Lumpur, pun begitu juga.

Seorang wanita mabuk memandu kenderaannya dengan melawan arus lalu merempuh beberapa kenderaan sehingga mengorbankan satu nyawa.

Pengambilan alkohol mengakibatkan berlaku banyak gangguan terhadap fungsi biologi.

Kesan toksik alkohol juga dapat mempengaruhi sistem saraf sehingga menyebabkan berlaku gangguan perilaku manusia.

Apabila seorang itu mabuk, dia hilang kawalan dan ingatan, tiada lagi rasa malu kerana mereka berada dalam dunia mereka sendiri.

Menurut buku ‘Mengapa Rasulullah Tidak Pernah Sakit’ turut dinyatakan, bagi peminum tegar alkohol ia memberi kesan kepada tubuh badan selain turut mencederakan sistem hormon.

Tabiat meminum arak yang kronik boleh meningkatkan testosteron dan merosakkan organ penghadaman termasuk hati.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Julai 2018 @ 3:00 PM