IBU bapa perlu main peranan wujud persekitaran selamat untuk si kecil aktif bergerak dalam rumah. - FOTO Pexels
IBU bapa perlu main peranan wujud persekitaran selamat untuk si kecil aktif bergerak dalam rumah. - FOTO Pexels
Nurul Husna Mahmud


Kebanyakan situasi di usia bayi sehingga dua tahun, 'si kecil' menghabiskan masa membesar dalam rumah.

Dalam usia itu bayi menjadi semakin aktif apabila sudah mula belajar berguling, meluncur, merangkak atau berdiri.

Ketika itu juga bermakna refleks bayi cukup 'ligat' dan dia akan mencapai apa sahaja dalam membantu untuk mudah bergerak.

Sudah semestinya ibu bapa perlu memainkan peranan bagi mewujudkan persekitaran selamat untuk bayi mereka bergerak dalam rumah.

Perkongsian kali ini adalah untuk menyenaraikan beberapa perkara perlu ibu bapa semak dalam persekitaran rumah mereka supaya kalis bahaya bagi bayi anda.

1. Pasang pengesan asap dan karbon monoksida

Mempunyai pengesan ini di seluruh rumah membantu untuk memberi amaran dan melindungi bayi serta seluruh keluarga daripada kebakaran dan kebocoran karbon monoksida.

Periksa peranti ini setiap bulan dan menukar bateri apabila diperlukan.

2.Tutup saluran sumber elektrik

Langkah ini penting kerana kanak-kanak suka meletakkan jari dan mainan kecil dalam mana-mana ruang kecil yang ditemui.

Pastikan sumber elektrik ditutup dengan penutup khas. Jauhkan kabel elektrik daripada pandangan bayi.

3. Pasang pagar keselamatan bayi

Sebaik saja bayi sudah mula merangkak, pintu keselamatan dilihat antara penyelamat terutama untuk kawasan tangga.

Ibu bapa perlu memasang pagar supaya keselamatan di bahagian atas dan bawah. Pagar keselamatan bayi berguna bukan sahaja untuk tangga, tapi ia juga digunakan menghalang anak anda ke kawasan berisiko seperti bilik air dan dapur.

BAYI tertarik pada suis atau soket. - FOTO Freepik
BAYI tertarik pada suis atau soket. - FOTO Freepik

IBU bapa perlu sediakan persekitaran kalis bahaya untuk bayi. - FOTO Pexels
IBU bapa perlu sediakan persekitaran kalis bahaya untuk bayi. - FOTO Pexels

4. Perabot dipastikan dalam keadaan selamat

Periksa sama ada semua perabot dan barangan rumah yang besar (termasuk rak buku, televisyen, kabinet dan lampu) adalah stabil dan tidak boleh jatuh apabila ditarik.

Memastikan perabot itu benar-benar selamat, ibu bapa boleh memasang perabot berat pada dinding.

5. Elakkan kejadian tergelincir

Jika ibu bapa kepada bayi mempunyai lantai atau tangga yang licin, pertimbangkan untuk mengubah suai atau menutup kawasan itu daripada diakses oleh bayi.

Ibu bapa perlu memastikan anak tidak berjalan atau berlari di atasnya ketika memakai stoking.

6. Keluarkan bahan atau benda boleh mengundang risiko tercekik

Sentiasa periksa sekeliling rumah terutama atas lantai untuk mencari barang kecil yang mungkin cuba dimasukkan si kecil dalam mulut mereka.

Ia termasuk bateri, peranti dan objek biasa daripada mainan dan alat kawalan jauh, kunci kereta dan kalkulator mengandungi syiling atau bateri butang kecil.

Bayi mungkin cuba memasukkannya dalam mulut seperti yang mereka lakukan terhadap barangan kecil lain.

Bateri bukan sahaja bahaya tercekik, tetapi apabila bersentuhan dengan air liur dan ia menghasilkan arus elektrik yang boleh membakar tisu badan.

Jadi, menelan bateri boleh menyebabkan kerosakan yang meluas pada lapisan organ yang ditemuinya. Simpan semua bateri dan item kecil berkuasa bateri di luar jangkauan.

Buang bateri lama dengan selamat dan alihkan bateri pada semua peranti yang mengandungi bateri jika tidak digunakan lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2024 @ 6:49 AM