ANGGARAN sebanyak 176,000 pembunuhan kerana keganasan belia.
ANGGARAN sebanyak 176,000 pembunuhan kerana keganasan belia.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan anggaran sebanyak 176,000 atau 37 peratus pembunuhan berlaku dalam kalangan belia berusia 15 hingga 29 tahun di seluruh dunia setiap tahun.

Sekali gus menjadikan ia sebagai punca ketiga kematian bagi kumpulan berkenaan.

Bagi setiap belia terbunuh, ramai lagi mengalami kecederaan yang memerlukan rawatan di hospital.

Kadar pembunuhan belia menurun di kebanyakan negara antara 2000 hingga 2019.

Namun, penurunan yang direkodkan itu lebih besar di negara berpendapatan tinggi berbanding di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Majoriti mangsa pembunuhan remaja adalah lelaki dan kebanyakan pelakunya juga lelaki.

Serangan senjata api lebih kerap berakhir dengan kematian berbanding tendangan kaki, menumbuk, serangan pisau dan objek tumpul.

Keganasan seksual juga memberi kesan kepada sebahagian besar belia. Dianggarkan seorang daripada lapan belia dilaporkan mengalami penderaan seksual.

Pergaduhan fizikal dan buli juga biasa berlaku dalam kalangan belia. Kajian di 40 negara membangun menunjukkan purata 42 peratus kanak-kanak lelaki dan 37 peratus kanak-kanak perempuan terdedah kepada gejala buli.

Bunuh diri dan keganasan yang tidak mengakibatkan kematian kalangan belia, bukan sahaja menjadi penyumbang besar kepada bebanan kematian awal global, kecederaan serta hilang upaya.

Tetapi juga mempunyai kesan serius sepanjang hayat iaitu fungsi psikologi dan sosial seseorang.

Ini boleh menjejaskan keluarga mangsa, rakan dan masyarakat. Keganasan belia meningkatkan kos perkhidmatan, kesihatan, kebajikan dan keadilan jenayah.

Pencegahan keganasan belia memerlukan pendekatan komprehensif bagi menangani penentu keganasan sosial seperti ketidaksamaan pendapatan, perubahan demografi dan sosial yang ketara serta tahap perlindungan sosial rendah.

WHO dan rakan kongsi berusaha untuk mengurangkan keganasan belia melalui inisiatif yang membantu mengenal pasti, mengukur dan bertindak balas terhadap masalah berkenaan.

Perkara pertama ialah menarik perhatian kepada keseriusan keganasan belia dan keperluan untuk pencegahan.

Kedua membina bukti mengenai perkara yang berkesan untuk mencegah keganasan belia, termasuk dalam ruang dalam talian.

Ketiga, memperkukuh program pencegahan keganasan berasaskan sekolah.

Keempat, bekerjasama dengan negara anggota WHO dan semua sektor yang berkaitan untuk mencegah keganasan belia dan mengukuhkan tindak balas terhadapnya.

Kelima, menyokong integrasi strategi pencegahan berasaskan bukti untuk mencegah keganasan belia dalam inisiatif kesihatan remaja dan belia.

Keenam, bekerjasama dengan agensi dan organisasi antarabangsa untuk mencegah keganasan belia di peringkat global.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 6:45 AM