Gambar hiasan
Gambar hiasan
BERNAMA

TIGA daripada 10 anak muda Malaysia pernah menjadi mangsa buli secara dalam talian yang menjejaskan pelajaran dan kehidupan sosial mereka dengan majoriti mengalaminya menerusi aplikasi pesanan peribadi.

Menurut kajian terbaharu Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan wakil khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai keganasan terhadap kanak-kanak di 30 negara, seorang daripada lima anak muda dilaporkan ponteng sekolah berpunca buli siber dan keganasan.

Meluahkan perkara itu tanpa menyebut nama menerusi alat pembabitan belia, hampir tiga suku daripada anak muda yang terbabit dalam kajian itu berkata rangkaian media sosial termasuk Facebook, Instagram, Snapchap dan Twitter saluran yang paling banyak berlaku buli dalam talian.

Pengarah Eksekutif UNICEF, Henrietta Fore berkata, perbuatan buli tidak hanya berlaku di sekolah tetapi juga menerusi alam siber.

Di Malaysia, daripada 5,000 orang yang menyertai kajian itu hanya 457 orang (9 peratus) mengaku mereka pernah menggunakan teknologi platform digital untuk mengganggu atau membuli orang lain.

Data juga menunjukkan 63 peratus koresponden Malaysia tidak menyedari ada perkhidmatan bantuan dalam talian bagi mangsa buli siber untuk mereka mendapatkan bantuan.

Sehubungan itu Wakil Khas Setiausaha Agung PBB mengenai Keganasan Terhadap Kanak-Kanak, Najat Maalla Mjid menyeru semua pihak termasuk pihak berkuasa bekerjasama bagi menangani masalah itu.

Salah satu mesej utama yang dapat kita perhatikan daripada pandangan mereka adalah keperluan untuk pembabitan anak-anak muda dan apabila ditanya siapa yang bertanggungjawab untuk menamatkan buli siber, pendapat sama dibahagikan antara pemerintah, penyedia perkhidmatan Internet (sektor swasta) dan golongan muda itu sendiri.

Seramai 170,000 responden berusia antara 13 hingga 24 tahun dari 30 negara termasuk Bangladesh, Vietnam, India, Indonesia, dan Perancis mengambil bahagian dalam kajian itu.

Bagi mereka yang mengalami buli dalam talian boleh hubungi CyberSecurity Malaysia, Cyber999 melalui e-mel ke [email protected], SMS ke 15888 menggunakan format berikut: CYBER999 REPORT atau hubungi 1-300-88-2999.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 6:55 PM