SULAMAN kelingkan memerlukan pelapis untuk diwarisi.
SULAMAN kelingkan memerlukan pelapis untuk diwarisi.
Hafiz Ithnin


Ketika zaman kanak-kanak, wanita ini hanya menjadi pemerhati nenek saudaranya menyulam kelingkan.

Ketika itu juga, sedikit pun dia tidak mempunyai minat untuk menjadi penyambung warisan kerana melihat masa yang diambil untuk menyiapkannya terlalu lama.

"Sehelai selendang misalnya, mengambil masa paling awal tiga minggu untuk disiapkan. Bayangkan jika cadar atau alas yang lebih besar, pasti berbulan-bulan untuk disiapkan sulaman ini," kata Nik Marhammah Nik Megat, 50.

Ternyata, darah seni menyulam kelingkan itu sebenarnya lambat turun kepada wanita itu iaitu pada usia 33 tahun.

Itu pun secara tidak sengaja dia mempelajari sulaman berkenaan daripada nenek saudaranya.

SULAMAN kelingkan di tepi kain.
SULAMAN kelingkan di tepi kain.

Jelasnya, pada usia 33 tahun itu terdapat satu kelas sulaman berkenaan di kampungnya di Kubang Pasu, Kelantan. Dia hanya menjadi pengganti sahaja kerana seorang daripada pelajar menarik diri.

"Secara tidak langsung saya terus menjadi pelajar dan dari situ timbul minat sedikit demi sedikit sehingga sekarang. Mungkin saya seorang yang cepat belajar cara untuk menyulam dan dari situ rasa minat semakin mendalam.

"Sebenarnya kelingkan ini adalah satu teknik sulaman yang menggunakan benang perak untuk menghasilkan beberapa motif bunga tabur atau biku pada helaian kain yang dibuat. Masa bukan sahaja lama diperlukan, malah seorang penyulam itu perlu tertib untuk menghasilkan sebuah karya yang halus," katanya.

NIK Marhammah tekun menyiapkan sulaman kelingkan.
NIK Marhammah tekun menyiapkan sulaman kelingkan.

Nik Marhammah yang kini mengusahakan sulaman itu di Kubang Pasu, Kelantan melihat pewaris untuk seni sulaman itu semakin 'menipis' kerana mungkin ia mengambil masa yang lama untuk disiapkan dan memerlukan ketelitian untuk menghasilkannya.

Jelasnya, permintaan sulaman kelingkan tidak dinafikan mempunyai permintaan dan harga yang agak tinggi untuk dipasarkan. Namun, bukan mudah untuk mendidik kesabaran si pembuat.

MENGGUNAKAN benang perak asli untuk menyulam.
MENGGUNAKAN benang perak asli untuk menyulam.

"Terdapat cabaran untuk kita hasilkan kelingkan ini kerana mata perlu tajam untuk memastikan sulaman yang dilakukan itu mampu menghasilkan motif yang diinginkan.

"Jika pada sebelah malam pula, cabarannya adalah pantulan cahaya pada benang perak itu menyebabkan silau dan bukan senang untuk kita beri fokus untuk menyulam," katanya.

Tambahnya, benang perak yang digunakan juga adalah benang perak asli dan harganya juga agak tinggi di pasaran.

"Malah, benang perak ini juga semakin sukar untuk didapati. Jika dahulu saya membelinya dari Singapura dengan RM200 satu. Kini, ia agak sukar untuk mendapatkannya terutama dari segi memastikan benang itu benar-benar tulen.

HASIL sulaman kelingkan yang disiapkan mempunyai harga yang tinggi.
HASIL sulaman kelingkan yang disiapkan mempunyai harga yang tinggi.

"Bagi saya ketulenan benang memainkan peranan paling penting untuk menghasilkan kelingkan ini kerana mampu menzahirkan seni sulaman yang ingin kita sampaikan," katanya.

Nik Marhammah berkata, bagi sebidang selendang yang disulam kelingkan paling murah dijual pada RM3,000 dan boleh mencapai lebih mahal dari itu jika permintaan sulaman yang lebih kompleks.

"Paling mahal pernah saya hasilkan mencecah lebih RM20,000 membabitkan sehelai kain yang agak besar dan mempunyai motif rekaan corak yang banyak serta memerlukan masa yang panjang untuk disiapkan," katanya.

Katanya, memandangkan menyulam kelingkan mengambil masa yang lama, dia mengakui apabila siap sahaja menyulam sehelai kain, pasti perasaan untuk menatap seni itu sepuas-puasnya timbul.

"Apabila dapat siapkan sulaman ini, saya tidak akan memberitahu pelanggan mengenainya kerana ingin melihat dan menatapnya dahulu. Apatah lagi ia adalah satu seni yang bukan mudah untuk kita hasilkan.

"Mengambil masa yang lama dan memerlukan ketelitian untuk menyulamnya. Jadi, saya mahu menatapnya dahulu sebelum diserahkan kepada pelanggan. Ini kerana apabila pelanggan sudah tahu tempahan sudah siap mereka sememangnya segera ingin mengambilnya kerana masa yang ditunggu bukannya sekejap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2024 @ 7:00 AM