Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: 'Terkurung' di rumah akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan boleh memberikan tekanan emosi dan mental kepada kanak-kanak dan remaja.

Sehubungan itu bagi yang tidak mahu membataskan aktiviti seharian di rumah, mereka sentiasa menerokai idea baharu yang boleh diterjemahkan ke bentuk aktiviti sihat.

Itu yang dilakukan Muhammad Daniel Haikal Azrul Affandi, 15, untuk mencungkil bakatnya dalam bidang muzik dengan mencipta lagu.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Impian itu menggunakan masa terluang untuk mengasah bakat sepanjang PKP dan berjaya menghasilkan lebih 10 lagu dengan hanya belajar menggunakan instrumen dan perisian muzik secara sendirian.

"Saya mula cipta lagu kerana mahu cari aktiviti yang boleh dilakukan sepanjang PKP memandangkan tidak boleh melakukan aktiviti di luar.

"Bermula sekadar suka-suka, saya mula menerokai bidang muzik menggunakan piano dan perisian khas sebelum menghasilkan lagu," katanya.

Malah, katanya, lagu yang dicipta turut membolehkan dia mengenali lebih ramai rakan sebaya dari serata dunia untuk bertukar pandangan dan idea.

Katanya, kolaborasi terkini bersama seorang remaja perempuan dari Manila, Filipina dan dua rakan dari Malaysia menghasilkan lagu bertajuk 'You'.

"Lagu itu kini mendapat 700,000 tontonan di TikTok dan tidak sangka mendapat sambutan yang menggalakkan walaupun pada mulanya sekadar mencuba.

"Segala proses mencipta melodi dan lirik kami hanya lakukan menerusi e-mel dan media sosial sebelum terhasilnya lagu bergenre 'Lo-Fi' ini.

"Saya tidak mahu tertekan kerana sekadar duduk di rumah tanpa membuat apa-apa sebaliknya mengasah kemahiran baharu dalam bidang muzik selain dapat berkenalan dengan lebih ramai kawan," kata anak sulung daripada lima beradik itu.

Bagi ibunya, Syazriha Abdul Hanif, dia dan suami memberi galakan kepada anak mereka untuk bereksperimentasi dengan bidang baharu yang diminati.

Katanya, kemahiran seperti ini perlu disokong kerana mahu anak-anak tidak tertekan dalam suasana kehidupan yang kini sudah berbeza.

"Sudah berapa bulan mereka tidak dapat keluar rumah. Apabila ada kemahiran baru yang dimiliki, kami akan menyokong malah mungkin akan menghantarnya ke kelas muzik formal pada masa akan datang," katanya.

Manakala bagi Hana Surihani Hairul Nizam, 8, pula, kesempatan berada di rumah membolehkan dia mempelajari kemahiran menyulam daripada ibunya.

Kini Hana Surihani mampu menghasilkan sulaman pada beg, pelitup muka dan baju mengikut corak dan karektor kartun yang diminati.

"Saya suka menyulam dan menjadikan ia aktiviti selepas mengikuti kelas dalam talian setiap hari bagi mengisi masa lapang.

HANA Surihani mendapat bimbingan ibunya  menyulam nama.
HANA Surihani mendapat bimbingan ibunya menyulam nama.

"Sempena Hari Guru baru-baru ini saya turut menghadiahkan guru hasil sulaman bagi menghargai jasa mereka mengajar," katanya.

Hana berkata, dia akan menonton Youtube bagi mencari idea baharu untuk disulam pada baju, beg dan pelitup muka.

Katanya, dia seronok dengan aktiviti kerana ibunya Suriani Suhaimi memberikan sokongan penuh untuk dia terus mengasah bakat.

Bagi Suriani, dia tidak menyangka Hana dapat 'tangkap' kemahiran menyulam dan dalam diam meminati aktiviti berkenaan.

"Saya akan memantau dia melakukan sulaman bagi memastikan tidak berbahaya dan boleh menjadi rujukan jika ada masalah.

"Walaupun tahu minat Hana, namun saya tetap memastikan dia menyiapkan tugasan diberikan guru sebelum boleh melakukan aktiviti sulaman pada masa lapang," katanya.

Dia yang juga seorang guru berkata, aktiviti sedemikian ternyata berguna kerana bukan saja boleh mengasah bakat malah mengelakkan anak-anak daripada tekanan emosi dan mental.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 9:00 AM
MUHAMMAD Daniel Haikal   mencipta lagu menggunakan aplikasi muzik di komputernya ketika ditemui di rumahnya di Kajang.
MUHAMMAD Daniel Haikal mencipta lagu menggunakan aplikasi muzik di komputernya ketika ditemui di rumahnya di Kajang.